PENGENALAN KONSEP KENDIRI.

Pembangunan Kendiri merupakan satu aspek yang amat penting khususnya dalam menghadapi arus globalisasi dunia semasa. Dengan adanya pengetahuan yang mendalam terhadap aspek pembangunan kendiri, seseorang dapat mempersiapkan dirinya secara mental bagi menghadapi cabaran yang wujud dalam arus semasa. Setiap individu mempunyai anggapan terhadap diri sendiri dan bagaimana orang lain memandang dirinya. Konsep kendiri adalah merujuk kepada apa yang difikirkan oleh individu kepada dirinya sendiri mengenai kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri individu tersebut ataupun personalitinya. Oleh kerana itu, konsep kendiri merupakan satu elemen yang sangat penting dalam diri setiap individu kerana ia akan digunakan untuk meramalkan apa yang akan berlaku terhadap individu tersebut pada masa hadapan. 



Selain itu, konsep kendiri juga banyak membantu individu untuk membuat keputusan dan menentukan tindakan yang bakal diambil pada masa hadapan. Konsep Kendiri amat berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Secara amnya, sebagai seorang guru atau pendidik yang bertanggungjawab mestilah memahami dan mengamalkan konsep kendiri ini dalam kehidupan seharian. Konsep kendiri sudah diterima sebagai suatu pemboleh ubah penting yang mampu untuk mengingatkan perkembangan pelajar dan pembelajaran mereka. Seseorang pelajar dikelilingi oleh persekitaran sosial yang bertindak mempengaruhinya membuat keputusan dan menentukan masa depan. Agen-agen persekitaran seperti ibu, bapa, guru dan rakan sebaya adalah agen yang mempengaruhi seseorang pelajar. Agen-agen tersebut membantu seseorang pelajar bertindak hasil daripada apa yang difikirkan dalam mindanya. 

Rogers (1951)adalah tokoh penting yang membicarakan tentang konsep kendiri. Melalui Terapi Pusatan –Klien beliau mengemukakan teori konsep kendiri yang dikatakan lebih bersifat kemanusiaan. Pada asas setiap individu sama ada pelajar dan bukan pelajar adalah golongan yang dilahirkan lengkap, berbudi dan boleh dipercayai. Dalam erti kata lain, setiap individu yang baru dilahirkan adalah diibaratkan seperti kain putih. Agen-agen yang berada disekelilingnya akan mencorakkan kain putih tersebut mengikut corak yang diminati mereka.

Dalam kehidupan seharian seorang pelajar, mereka akan menempuh pelbagai bentuk interaksi dengan persekitarannya. Oleh kerana itu, pelajar tersebut akan membuat keputusan dan menentukan apakah tinadakan yang akan diambil. Apabila berlaku interaksi pelajar dengan persekitarannya, maka konsep kendiri akan timbul dan mula terbentuk dalam diri setiap pelajar . Selain itu, sifat kendiri bagi seseorang individu juga boleh terbentuk apabila seseorang itu membayangkan dan mengambil nilai-nilai yang terdapat pada orang lain dan menjadikan nilai tersebut sebagai nilai dirinya sendiri. Lama kelamaan sifat kendiri itu akan menjadi semakin tekal. Seseorang individu akan bertindak mengikut apa yang dipegangnya. Dalam kehidupan seharian seseorang individu akan berhadapan dengan perkara yang sentiasa bertentangan dengan sikap kendiri dirinya. Tentangan ini boleh dianggap sebagai satu bentuk ‘ancaman’ kepada struktur kendiri yang terbentuk dalam diri seseorang.

0 comments:

Post a Comment