Ciri-ciri dan Keperluan Murid Pintar Cerdas
 
DEFINISI PINTAR CERDAS.
Siapakah yang dikatakan pintar cerdas?
Kanak-kanak pintar cerdas ini secara umumnya
mempunyai keunikan mereka tersendiri. Kebolehan dan kelebihan mereka telah ditonjolkan sejak dari awal lagi, dan keadaan ini boleh dikenalpasti oleh ibu bapa mereka sendiri.Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat sebenarnya mempunyai potensi yang tinggi dalam pelbagai bidang mengikut kecenderungan masing-masing. Keupayaan mereka adalah berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya dengan mereka dan sesetengahnya dapat mengatasi kepintaran atau kebolehan yang dimilki oleh orang yang lebih dewasa daripadanya.

Terdapat pelbagai pendapat mengenai kanak-kanak pintar cerdas oleh penulis-penulis yang terdiri daripada beberapa pakar dalam pelbagai bidang. Biasanya mereka akan memberikan pendapat berdasarkan bidang mereka. Antaranya ialah:

Menurut Stanford Binet (1916) iaitu orang yang pertama menjalankan ujian pintar cerdas yang dikenali sebagai “The Stanford Binet Test” memberikan definisi pintar cerdas sebagai merujuk kepada keupayaan individu memahami, membuat pertimbangan dan penaakulan dengan baik.
Seterusnya menurut Susan K. Golant di dalam bukunya The Joys and Challenges Of Raising a Gifted Childs berpendapat, kanak-kanak yang pintar cerdas menunjukkan minat yang tinggi bagi belajar, curiga dan mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi kepada persekitaran serta berupaya menggabungkan beberapa maklumat dalam menghasilkannya.

Manakala Lewis Terman (1916) memberi definisi pintar cerdas sebagai seseorang yang
berkebolehan untuk berfikir secara abstrak.

Menurut Piaget (1950) pula, pintar cerdas merujuk kepada kebolehan individu
membuat adaptasi terhadap persekitaran fizikal dan sosial.

Seterusnya menurut Jim Delisle dan Judy Galbraith (2002), tidak ada seorang pun yang benar, tepat atau secara umumnya boleh diterima definisi yang mereka berikan mengenai pintar cerdas. Ini adalah kerana setiap pakar yang memberikan definisi mengenai pintar cerdas akan memberikan pandangan berdasarkan kepada kepakaran mereka. Beliau juga bersetuju dengan definisi yang diberikan oleh Howard Gardner iaitu “The bottom line is a deep interest in children and how their minds are different from one another, and in helping them use their minds well”
Manakala menurut Kamus Dewan pula, pintar cerdas diistilahkan sebagai cekap dan pandai, manakala cerdas didefinisikan sebagai sempurna anal. Maka, secara umumnya, pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan individu yang memiliki potensi yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan. Seperti yang diterangkan di dalam Teori kepelbagaian Kecerdasan (Multiple Intelligences) oleh Howard Gardner.
Ahli biologi mendefinisikan pintar cerdas sebagai kebolehan luar biasa yang dimiliki oleh seseorang individu untuk melakukan adaptasi dan manipulasi terhadap keadaan dan perubahan persekitaran. Pakar psikologi pula mendefinisikan istilah pintar cerdas sebagai kanak-kanak yang berupaya melakukan taakulan iaitu mempunyai kebolehan berfikir dengan logik dan mempunyai fungsi kognitif yang hebat. Kanak-kanak pintar ini berkebolehan mencari dan mengaitkan sebab musabab terhadap sesuatu fenomena yang abstrak.

Seterusnya menurut Nik Azis Nik Pa dan Noor Aini Khalifah (1982), kanak-kanak pintar cerdas adalah mereka yang mempunyai interaksi tiga kelompok sifat manusia iaitu kebolehan intelek umum yang atas purata (murid yang mempunyai IQ melebihi 120 dikategorikan sebagai kanak-kanak pintar cerdas), aras yang tinggi dalam tanggungjawab kepada tugas dan aras kreativiti yang tinggi.

Daripada pelbagai definisi yang diberikan, ini menunjukkan bahawa, pintar cerdas boleh kita takrifkan sebagai satu kepandaian luar biasa yang dimiliki oleh seseorang yang mengatasi rakan yang seusia. Namun demikian, sesorang kanak-kanak pintar cerdas itu tidak semestinya mempunyai semua ciri-ciri yang biasany disenaraikan sebagai ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas. Walaubagaimana pemantauan yang berterusan ke atas kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai pintar cerdas akan memabantu bahawa mereka mengembangkan lagi potensi yang sudah sedia ada dalam diri mereka. Namun demikian, kadangkalanya kanak-kanak pintar cerdas ini juga digolongkan dalam kumpulan kanak-kanak bermasalah positif kerana sikap mereka yang tidak sama berbanding kanak-kanak seusianya dan ini mungkin menimbulkan masalah kepada guru-guru di sekolah untuk mengawal dan memberi tumpuan yang berbeza kepada mereka.

3.0 CIRI-CIRI KANAK-KANAK PINTAR CERDAS
Jika hendak disenaraikan ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas ini adalah terlalu banyak. Namun demikian ia boleh dikategorikan kepada dua ciri utama iatu ciri-ciri kognitif dan juga ciri-ciri afektif.
3.1 CIRI-CIRI KOGNITIF
Kognitif adalah merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental yang terlibat dalam beberapa keupayaan untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah, menaakul, menganalisis, dan membentuk konsep. Biasanya keupayaan kognitif kanak-kanak dalam golongan pintar cerdas ini dapat dikenalpasti seawal peringkat bayi lagi. Perkembangan kanak-kanak ini dapat diperhatikan dan dipantau oleh ibu bapa kerana biasanya mereka akan menunjukkan perkembangan yang lebih jauh berbanding dengan kanak-kanak seusianya. Sebagai ibubapa yang perihatin mereka akan memberikan sokongan dan tumpuan yang lebih bagi membantu perkembangan kanak-kanak ini. Tahap kebolehan kognitif kanak-kanak boleh diuji menggunakan ujian IQ. Kanak-kanak pintar cerdas biasanya akan mencapai tahap pencapaian sebanyak 140, namun kadangkalanya mereka boleh mencapai sehingga 170 mata. Namun demikian, kesahihan ujian ini masih boleh dipertikaikan kerana ada yang mengatakan perbezaan tahap umur akan menjejaskan perbandingan pencapaian dalam ujian IQ ini.
Di bawah ini akan disenaraikan beberapa ciri kognitif kanak-kanak pintar cerdas. Antaranya ialah;
a) Kanak-kanak pintar cerdas ini biasanya mempunyai daya tumpuan yang tinggi dalam melakukan sebarang kerja atau aktiviti.
Contohnya kanak-kanak yang diberikan permainan “blok dan puzzle” akan berusaha sedaya upaya bagi melengkapkannya. Mereka akan meninggalkan atau tidak menghiraukan orang atau keadaan sekeliling mereka kerana daya tumpuan mereka terhadap aktiviti yang menarik minat mereka yang terlalu tinggi. Mereka juga kurang berminat dengan permainan yang dimilki oleh rakan mereka.
Dalam proses pembelajaran pula, mereka akan memberi sepenuh tumpuan mereka kepada bidang yang mereka minati.
b) Boleh dan mempunyai minat membaca diusia yang muda.
Biasanya kanak-kanak ini akan mula boleh membaca dalam usia kurang daripada 5 tahun. Mereka juga akan fasih bercakap disamping boleh menggunakan laras bahasa dan kosa kata yang tinggi jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang seusianya.
c) Mempunyai kelebihan yang luar biasa dalam mengingat sesuatu.
Dengan kelebihan yang mereka ada, mereka tidak perlu menghafal sesuatu fakta atau ilmu yang mereka pelajari. Mereka hanya perlu memahami isi kandungan dan akan meluahkan semula menggunakan bahasa sendiri. Kelebihan yang ada juga dapat membolehkan mereka membaca dengan cepat dan cepat memahami apa yang mereka ingati.

d) Perasaan ingin tahu
Disebabkan perasaan ingin tahu mereka yang kuat, kanak-kanak pintar cerdas biasanya akan sentiasa mengemukakan soalan-soalan yang mencabar dan inovatif yang mana kadangkalanya pemikiran mereka diluar jangkauan akal kanak-kanak normal. Pada peringkat kanak-kanak lagi sifat ini boleh dikenalpasti, contohnya mereka akan membuka kereta mainan mereka untuk mengetahui komponen-komponen yang ada dalam kereta tersebut. Kadangkalanya sifat ini akan dikenalpasti sebagai perosak oleh ibubapa yang kurang memahami anak mereka yang pintar cerdas.
e) Kebolehan membuat rumusan, menganalisa dan menaakul
Kanak-kanak pintar cerdas bukan sahaja mampu untuk memahamai pelajaran malah mereka juga boleh membuat rumusan ke atas proses pengajaran dan pembelajaran serta boleh menganalisa dan memberi alasan kepada keputusan yang diambil selepas sesuatu analisa dibuat.
f) Memindahkan apa yang dipelajari ke bidang lain.
Contohnya, mereka boleh mengaitkan teori-teori yang dipelajari berkaitan dengan burung dengan mengaitkannya dengan bagaimana terciptanya kapal terbang.
g) Memahami dua konsep yang seolah-olah sama
Ini bermaksud kanak-kanak pintar cerdas ini mampu memahami atau membezakan dua konsep yang seolah-olah sama contohnya mereka dapat membezakan konsep berat dan ketumpatan, Cahaya dan terang dan menakrifkan perbezaan antara makan dan minum.
h) Tertarik kepada pemikiran abstrak
Kanak-kanak pintar cerdas ini mampu memahami pengetahuan yang canggih, abstrak dan kompleks sehingga diluar jangkauan akal kanak-kanak normal yang lain. Umpamanya mereka akan cuba memikirkan alam selepas kematian manusia.
i) Memahami kebolehan intelek sendiri
Kanak-kanak pintar cerdas ini telah menyedari potensi mereka pada peringkat awal usia mereka lagi, jadi dengan kesedaran itu maka mereka akan cuba untuk melakukan sesuatu mengikut impian dan juga gaya pembelajaran mereka sendiri. Mereka telah menyedari di mana kekuatan yang mereka ada dan akan mengaplikasikannya bagi mencapai matlamat mereka. Mereka juga menyedari bahawa sekiranya mereka tidak mengaplikasikan pengetahuan yang mereka ada mungkin mereka akan lupa.
Manakala ciri-ciri istimewa kanak-kanak pintar cerdas yang berkaitan dalam bidang matematik pula ialah;
a) boleh membuat generalisasi
b) kebolehan menaakul
c) kebolehan untuk mengingat
d) berfikir secara logik
e) fleksibel dan
f) kebolehan dalam menyelesaikan masalah
Sebagai contoh, kanak-kanak pintar cerdas Adi Putra telah dikenalpasti bakat dan kebolehannya dalam bidang matematik sejak berumur tiga tahun lagi. Bermula dari usia yang sangat muda dia telah menunjukkan potensi diri yang luar biasa antaranya ialah;
a) Mencipta kaedah menguasai sifir 1 hingga 12 dengan cara baru.
b) Semasa berumur 5 tahun dia mula mencipta kaedah pengiraan cepat bagi 4 operasi asas iaitu, tambah, tolak, darab dan bahagi.
c) Semasa berumur 6 tahun dia telah menonjolkan dirinya kepada umum dan mampu membuat soalan-soalan algebra, log, trigonometri, bearing dan lain-lain serta mampu untuk menerangkan kepada orang lain bagaimana mendapatkan jawapan tersebut. Dia juga dianggap telah dapat mengatasi bagaimana seorang professor mengajar.
3.2 CIRI-CIRI AFEKTIF
Ciri kedua yang akan dibincangkan di sini ialah ciri-ciri afektif kanak-kanak pintar cerdas. Menurut kamus Dewan edisi keempat, afektif adalah berkaitan dengan perasaan dan emosi dan bukannya fikiran atau daya berfikir. Untuk memperkembangkan minat dan motivasi di kalangan kanak-kanak ciri-ciri afektif haruslah berkembang serentak dengan ciri-ciri kognitif mereka.
Manakala menurut Krathwohl dan rakan-rakannya (1964) iaitu orang pertama yang menggunakan terminology ‘afektif” telah menemukan satu lagi domain penting adalam perkembangan manusia iaitu afektif. Mereka telah mengkategorikan afektif kepada 3 ciri iaitu penerimaan (receiving), tindakbalas (responding), menghargai dan menilai sesuatu idea (valuing), menyelaraskan sistem nilai (organizing a value set) dan mengamalkan sesuatu mengikut sistem nilai yang kompleks (characterization).
Antara ciri-ciri afektif kanak-kanak pintar cerdas ialah;
a)karismatik
Kanak-kanak pintar cerdas ini biasanya mempunyai gaya tersendiri dan personaliti yang agak berbeza daripada orang lain. Oleh itu biasanya mereka akan menjadi bintang di sekolah dimana mereka akan menjadi perhatian dalam masyarakat di sekelilingnya.
b) Mementingkan kesempurnaan (Perfectionist)
Kanak-kanak pintar cerdas ini akan melakukan kerja-kerja dengan penuh minat dan mereka amat mementingkan kesempurnaan. Walaupun mereka dapat menyiapkan kerja-kerja mereka namun masih mementingkan kepada kesempurnaan dan sikap ini akan menyebabkan mereka meluangkan banyak masa terhadap apa jua kerja yang dilakukan. Kadangkalanya mereka akan melakukannya sehingga berulang kali bagi mendapatkan hasil yang benar-benar memuaskan hati mereka. Sikap ini juga kadangkalanya akan menimbulkan kemarahan dan ketidak puasan hati mereka terhadap orang lain atau rakan-rakan mereka kerana mereka juga akan menjangkakan hasil yang sama seperti yang dilakukannya daripada orang lain.
c) Berasa tertekan
Sebagai seorang yang bersikap teliti dan mempunyai matlamat sendiri semenjak dari awal lagi, mereka akan mudah rasa tertekan dalam usaha untuk mengatasi orang lain. Sikap ini juga menunjukkan bahawa mereka takut kalah kepada orang lain dan akan mencetuskan kesan sosio emosi yang lain seperti cemburu.
d) Sensitif
Kanak-kanak pintar cerdas biasanya mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Mereka akan berfikir di luar jangkauan kanak-kanak normal dan ini akan menyebabkan mereka mudah terangsang. Contohnya ketika tidur, mereka mudah terjaga kerana terlalu memikirkan imaginasi mereka. Mungkin bila menonton cerita seram, mereka mula memikirkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan rentetan cerita tersebut. Berikutan dengan sikap ini mereka mungkin akan menjadi fobia kepada bencana seperti kegelapan dan kematian kerana mereka akan sentiasa memikirkan. Contohnya mereka akan selalu bertanya mengenai soal kematian, apa yang berlaku kepada manusia selepas mati, boleh tak kalau manusia tak mati. Persoalan-persolan seumpama ini akan menyebabkan mereka menjadi terlalu sensitif dan fobia kepada sesuatu kejadian.
e) Sentiasa bekerja kuat
Kanak-kanak pintar cerdas biasanya telah mengenalpasti matlamat mereka sejak awal lagi dan mereka akan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat mereka itu. Disebabkan terlalu memikirkan kepada sesuatu yang dilakukan sehingga kadang kalanya mereka tidak tidur. Contohnya kanak-kanak yang bermain “puzzle”, mereka tidak akan tidur sehinggalah dapat melengkapkannya.
f) Suka menyendiri
Disebabkan terlalu menumpukan kepada kerja, kanak-kanak pintar cerdas ini dikatakan lebih suka menyendiri dan menyebabkan hubungan sosialnya agak kurang baik.
4.0 Keperluan kanak-kanak pintar cerdas
Setelah mengenalpasti ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas ini, adalah lebih mudah bagi menentukan program yang bersesuaian dengan mereka. Ini adalah kerana pengenalpastian ciri-ciri kepintaran seseorang individu adalah langkah penting dalam menyediakan program yang membuahkan kejayaan dengan program yang sesuai serta menepati keperluan kanak-kanak pintar cerdas. (Cox, Daniel & Boston, 1985).
Keperluan yang akan dibincangkan di sini adalah lebih tertumpu kepada kurikulum dan keperluan pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas.
Kanak-kanak pintar cerdas merupakan golongan minoriti istimewa yang memerlukan perhatian khusus seperti juga kanak-kanak berkeperluan khas yang lain. Di Malaysia program bagi kanak-kanak berkeperluan khas telah diberi banyak penumpuan namun usaha masih kurang dijalankan bagi memberi tumpuan khusus kepada golongan kanak-kanak pintar cerdas ini. Sebenarnya kanak-kanak pintar cerdas juga memerlukan perhatian khusus kerana mereka akan merasa cepat bosan dengan program pembelajaran biasa. Akhirnya mereka digolongkan dalam kumpulan kanak-kanak istimewa kerana bersikap mengganggu rakan dan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Menurut Joyce Van Tassel Baska, isu yang biasanya dikaitkan dengan kanak-kanak pintar cerdas ialah mereka biasanya akan dilabel sebagai ‘bermasalah’, tidak mendapat ekuiti atau kesamarataan, biasanya keperluan golongan majoriti menjadi keutamaan, keperluan yang diberi tidak bertepatan dan sistem pengredan yang terlalu sempit.

1 comments: