Falsafah Pendidikan Guru (FPG)

Pengenalan
Pertama-tamanya eloklah jika kita memahami apa yang dimaksudkan dengan falsafah pendidikan guru itu sendiri. Menurut laman web ensaiklopedia bebas, wikipedia, falsafah ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Manakala perkataan pendidikan bermaksud usaha sistematik yang disengajakan,yang dibuat oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya, usaha memperkembangkan potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia.

            Seterusnya, menurut Noor Jamaluddin (1978: 1) guru adalah pendidik, yaitu orang dewasa yang bertanggungjawab memberi bimbingan atau bantuan kepada anak didik dalam perkembangan jasmani dan rohaninya agar mencapai kedewasaannya, mampu berdiri sendiri dapat melaksanakan tugasnya sebagai makhluk Allah khalifah di muka bumi, sebagai makhluk sosial dan individu yang sanggup berdiri sendiri. Berdasarkan kepada dasar yang telah digubal oleh kerajaan, Falsafah Pendidikan Guru adalah seperti berikut:

“Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu-padu, demokratik, progresif dan berdisiplin”

Matlamat Falsafah Pendidikan Guru
Matlamat falsafah pendidikan guru adalah untuk melahirkan guru yang berkualiti dari segi peribadi, professional, sosial, menguasai ilmu dan kemahiran serta amalan keguruan. Seseorang guru cemerlang perlu mempunyai ciri-ciri dalaman iaitu peribadi yang seimbang terlebih dahulu. Ianya sangat penting kerana seseorang guru perlulah mempunyai emosi yang stabil untuk membolehkan mereka membentuk generasi yang positif pula. Guru juga akan menjadi contoh teladan kepada murid-murid. Justeru, guru harus menjadi ikon yang terbaik kepada murid-murid.

            Seterusnya, guru perlulah professional tentang karier mereka. Seseorang bakal guru perlulah berusaha sehabis mungkin untuk mendalami ilmu berkaitan keguruan ketika masih dalam tempoh latihan agar mereka tidak kekok ketika bertugas di kemudian hari.

            Disamping itu, falsafah pendidikan guru juga adalah untuk melahirkan guru yang berkualiti dari segi sosial. Guru perlulah mempunyai bijak bergaul dengan semua masyarakat sekeliling tidak kira dalam kawasan sekolah mahupun dengan masyarakat luar. Ini kerana, ke mana sahaja seseorang guru itu pergi dia akan membawa imej seorang guru.  Guru juga perlu mempunyai penguasaan terhadap ilmu dan kemahiran keguruan. Seseorang guru itu bukan hanya perlu memberikan didikan akademik, tetapi dia juga perlu menyelitkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharian. 

Konsep Falsafah Pendidikan Guru
Bagi memahami sesuatu perkara kita terlebih dahulu perlu memahami konsep perkara atau tajuk itu. Justeru sama seperti falsafah pendidikan guru ini, kita perlu memahami konsep yang ingin disampaikan menerusi falsafah ini terlebih dahulu. Di Malaysia, falsafah pendidikan guru ini digubal berasaskan model konseptual pendidikan guru .

            Berdasarkan model tersebut, karakter seorang guru berkait rapat dengan tiga dimensi utama iaitu ketuhanan, kemasyarakatan dan kendiri. Bagi elemen ketuhanan, ia berkaitan peningkatan ilmu, penghayatan dan amalan individu berteraskan kepercayaan dan kepatuhan kepada ajaran agama. Seterusnya menerusi kemasyarakatan, model ini memberi penekanan mengenai peranan guru sebagai pendidik, pemimpin dan agen perubahan. Manakala aspek kendiri memberi penekanan pembinaan daya kefahaman dan patriotisme, pemupukan budaya ilmu serta pembentukan sahsiah murni dan berpekerti mulia.

            Dalam hal ini, seorang guru itu harus terlebih dahulu melengkapkan tiga elemen asas mengikut model konseptual guru ini iaitu pengetahuan, nilai serta kemahiran tentang keguruan. Pengetahuan yang dimaksudkan ialah yang berhubung dengan perkembangan dan kepentingan pendidikan dalam kehidupan. Manakala kemahiran menekankan tentang kemahiran menggunakan bahan-bahan pelajaran dengan tujuan meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran.

            Nilai pula merujuk kepada amalan nilai-nilai murni, perlakuan seorang guru, berdaya tahan, patriotik dan patuh terhadap profession keguruan. Guru pada peringkat rendah harus memberi contoh yang sesuai yang melambangkan ciri-ciri kesempurnaan dari segi jasmani dan rohani. Selain itu, guru perlu mengamalkan dan menghayati nilai-nilai yang diajar. Ini kerana, nilai-nilai yang dihayati oleh guru akan tercermin dalam amalan-amalan sehariannya.

            Berhubung model konseptual pendidikan guru ini juga, ia turut menekankan matlamat mengembangkan potensi guru secara seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Keempat-empat aspek ini juga adalah selaras dengan matlamat falsafah pendidikan kebangsaan. Aspek yang dititikberatkan ini adalah penting kerana seorang pendidik itu haruslah terlebih dahulu mempunyai unsur dalaman yang stabil agar berupaya pula  melahirkan generasi seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan falsafah pendidikan negara kita.  

            Justeru, dapatlah disimpulkan disini mengikut model konseptual guru ini bahawa seseorang guru itu perlulah mengukuhkan terlebih dahulu aspek dasar iaitu ketuhanan, kemasyarakatan dan kendiri. Langkah seterusnya ialah memantapkan unsur rohani, jasmani, intelek dan nilai. Selepas itu, memupuk serta mengekalkan aspek kemahiran, pengetahuan serta nilai seorang guru. Bersatunya kesemua unsur-unsur dalam model konseptual ini dapat memantapkan lagi unsur akauntabiliti seorang guru.   

2 comments: