Temubual Kaunseling Kali Pertama
3.1
FASA
1- Memulakan Sesi
Keadaan tempat
merupakan satu perkara penting dalam hubungan kaunseling. Kaunselor sebaiknya
mewujudkan tempat yang mempunyai unsur-unsur teraputik yang wujud elemen-elemen
penyembuhan seperti bilik yang berhawa dingin, dengan warna yang lembut dan
hiasan-hiasan bilik yang menarik serta jauh dari gangguan yang boleh
menyebabkan proses kaunseling terencat seperti bunyi bising dan sebagainya.
Selain dari
itu, jarak duduk antara kaunselor dan klien merupakan sesuatu yang dapat
membantu komunikasi antara mereka. Menurut Brammer, (1973) jarak kedudukan
kerusi semasa temu bual lazimnya berbeza-beza yang bergantung bagaimana mesra,
selesa dan ikut serta klien sendiri. Sesetengah orang lebih suka
bersemuka dalam jarak terlalu dekat kerana mereka rasa selamat dan dikawal. Jelas
di sini, keyakinan klien terhadap kaunselor dapat dibentuk melalui kedudukan
interaksi antara kaunselor dan klien mengikut kesesuaian dan mengambil kira
faktor silang budaya.
Dalam fasa ini juga seharusnya kaunselor menunjukkan
minat yang besar untuk mendengar pengaduan kliennya melalui beberapa cara
sebagai menandakan ia bersedia, seperti merenung tepat ke muka klien dengan
bersungguh-sungguh, mencondongkan badannya ke hadapan, lebih dekat ke arah
klien, mengangguk-anggukkan kepala ataupun berpeluk tubuh menandakan ia sanggup
menyimpan rahsia.
Amalan kaunseling Islam bermula dengan taaruf.
Taaruf ertinya pengenalan. Pada pertemuan yang pertama kali, seorang
klien datang berjumpa dengan kaunselor tentulah banyak perkara yang tidak
diketahui antara satu sama lain. Oleh itu masing-masing akan cuba mengenali antara satu
sama lain seperti bertanyakan nama, alamat tempat tinggal dan lain-lain perkara
yang asas dalam perkenalan. Konsep taaruf dilihat sama dengan membina hubungan
yang mana proses ini menggalakkan interaksi awal antara kaunselor dan
klien. Persamaan ini juga ada pada
amalan memulakan sesi kaunselor pelajar
sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang menggunakan
borang latar belakang Ala Konseptualisasi Kes Lewis – Fessel dan borang catatan
pertemuan.
Peringkat awal
dalam proses kaunseling merupakan proses membuka rahsia serta mengeratkan
hubungan antara kaunselor dan klien. Menurut Buchheimer dan Balogh (1961)
menjelaskan:
“The
counselor as a collaborator as he work with the client in the process of
self-exploration, probleam-solving and gaining new perceptions into a person’s
life situation. The counseling process is both intimate and objective”.
Intimate yang dimaksudkan adalah hubungan dua
insan yang begitu rapat dan mereka dapat meluahkan perasaan secara jujur dan
ikhlas manakala objektif pula merupakan usaha kaunselor yang cuba membantu
meyelidik dan mengenalpasti perasaan dan sikap klien yang akan membantu membuka
jalan penerokaan diri yang lebih luas.
Kaunselor perlu berinteraksi dengan baik, menunjukkan empati, ketulenan,
kemesraan dan anggapan positif kepada klien. Keadaan mesra ini diperlukan
supaya klien lebih bersedia untuk
berkongsi masalahnya serta bercerita lebih lanjut. Antaranya dengan mengaplikasi kemahiran
interpersonal. Kemahiran komunikasi interpersenol merujuk kepada kemahiran
dalam perhubungan seseorang secara bersemuka dengan seseorang yang lain dalam
menyampaikan mesej dan diharapkan mesej itu difahami. Apabila kaunselor
menggunakan kepakaran interpersonel ini, klien akan merasakan kehadirannya
diterima, dihargai dan di sinilah tempatnya yang paling selamat untuk berkongsi
masalah.
Proses temubual juga melibatkan kemahiran mendengar. Kaunselor hendaklah memberi tumpuan
pendengaran kepada semua aspek terhadap klien. Ini mencerminkan betapa hormat,
bersemangat dan bertenaganya kaunselor terhadap permasalah klien. Patterson (1969) mengatakan, kaunselor
hendaklah dapat memahami perasaan yang sedang dialami oleh klien, serta
mendengar apa sahaja yang diperkatakan oleh klien dan memberi peluang supaya
klien dapat menceritakan masalah
kepadanya. Ini juga melahirkan rasa kemesraan yang antara kaunselor dan
klien. Proses interaksi dalam tembual kaunselor – klien ini penting dalam
menentukan kelangsungan sesi kaunseling.
Pada peringkat ini klien
memerlukan banyak bantuan daripada kaunselornya kerana pada masa ia akan
menggantungkan harapan sepenuhnya untuk mengadu. Justeru itu kaunselor perlu
menyediakan suasana menolong yang membolehkan klien berterus terang, terbuka
dan bebas berkata apa sahaja. Suasana ini dapat dibentuk melalui proses
perkenalan antara kaunselor dan kliennya seperti memperkenalkan nama, usia,
hobi dan sebagainya. Kaunselor mungkin memulakan sesi dengan bertanya khabar
dengan bahasa yang penuh penerimaan. Contohnya:
·
Apa
khabar ? Terima kasih
banyak kerana sudi datang ke sini.
·
Apa
khabar? Saya hargai kehadiran awak. Terima kasih banyak.
Kaunselor boleh mengambil
masa beberapa minit untuk berbual ringan dengan klien. Masa yang terlalu
panjang tidak digalakkan diambil pada fasa ini kerana dikhuatiri topik yang
diperkenalkan mungkin akan mengalih perhatian klien kepada topik tersebut
sebaliknya bukan isu yang akan dibawa. Contohnya,
·
Saya sudi
bantu saudara melalui perbincangan kita selama 30 minit.
·
Kita ada
masa 40 minit, ceritakan pada saya apa
yang merunsingkan saudara .
Matlamat awal
dalam proses kaunseling perlu ditentukan dan dijelaskan kepada klien. Terdapat
klien yang menyedari dengan jelas akan masalahnya dan tujuan ia berjumpa dengan
kaunselor. Ada
juga klien yang mengemukakan masalah awal kepada kaunselor yang bukan masalah
utama yang akan menjadi topik perbincangan dengan kecenderungan menyelesaikan
masalah yang mungkin lemah, pertengahan atau tinggi. Apa pun, kaunselor mesti
memastikan bersama klien apakah matlamat yang ingin dicapai diakhir sesi. Engelkes
dan Vandergeot (1982) mengatakan ‘baharulah kita sebagai kaunselor yang
menggunakan kemahiran membantu klien itu mencapai objektifnya. Tanpa
identifikasi yang cermat, pemilihan yang tepat, dan diskripsi perhatian untuk
membantunya ke arah lebih selamat dan sempurna dalam objektifnya, akan
merosakkan seluruh matlamat hubungan kaunseling dan bimbingan itu sendiri.
Dalam fasa ini
juga kaunselor perlu mula mengasaskan struktur pertemuan dan menekankan batasan
masa yang perlu dilalui disamping menggambarkan tanggungjawab menggerakkan temu
bual ini terletak pada klien untuk menggunakan masa yang diberi sebaiknya.
3.2 FASA
2: Menstruktur Sesi Temu Bual
Kaunselor
mesti mengambil berat mengenai aspek menstruktur sesi temu bual awal dan pada
hubungan kaunseling jangka panjang kerana ia penting kepada klien terhadap
gambaran apa yang akan berlaku dalam proses kaunseling. Menurut Egan (1990),
penstrukturan adalah penerangan yang berkaitan dengan proses kaunseling yang
dialami dalam usaha membentuk klien memahami diri dan menyelesaikan masalah
yang dihadapi.Kaunselor yang serius dalam kerjanya memerlukan penglibatan dan
struktur yang tegas. Pada pertemuan kali pertama ini kaunselor perlu
menjelaskan kepada klien mengenai
peranan kaunselor, peranan klien, matlamat dan risiko klien bertemu kaunselor,
kerahsiaan dalam kaunseling dan isu atau masalah yang akan ditumpukan.
Sesetengah
ahli psikologi mengatakan proses menstruktur ini sebagai proses ‘kontrak’
apabila kedua belah pihak berjanji dan bersetuju melakukan sesi kaunseling tersebut. Menurut
Brammer (1973):
“…proses
ini merupakan persetiaan antara pembantu dengan orang yang ingin ditolong
bahawa mereka akan bekerjasama ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan.
Setiap orang daripada mereka akan memikul tanggungjawab tertentu dalam mencapai
matlamat itu. Hasilnya nanti akan menjadi bukti bahawa pertolongan itu telah
berjaya di mana pembantu juga bersetuju mencarikan beberapa jenis maklumat,
membuat perancangan dan berikhtiar supaya proses menolong itu berjaya. Setelah
ia mendapati ketiga-tiga pilihan yang dipilih itu, dia pun mengesah dan
menghadkan data yang akan dipilih…”
Kontrak ini
diikat antara klien dan kaunselor atas persetujuan kedua-dua belah pihak.
Kesediaan klien menceritakan masalahnya tanpa segan silu sementara kesediaan
kaunselor mendengar dengan cermat dan teliti, sambil memikirkan alternatif yang
sesuai untuk diambil oleh kliennya merupakan satu jalinan ikatan kontrak.
Menurut
Zainal Abidin (2005), menstrukutur temubual adalah penting kepada klien.
Anggapan-anggapan klien yang tidak realistik seperti masalah boleh diselesaikan
dengan cepat, kaunselor adalah orang yang memberi nasihat perlu diperjelaskan
awal-awal lagi. Antara perkara yang perlu ditekankan pada awal pertemuan ialah
berkenaan dengan peranan kaunselor, peranan klien, matlamat dan kerahsiaan. Bagi memberi kefahaman kepada klien
tentang proses kaunseling, kaunselor harus memberi tahu bagaimana kaunseling
boleh membantu dengan menjelaskan cara-cara berinteraksi dalam setiap sesi
termasuk peranan masing-masing.
Peranan kaunselor menurut Rogers (1962)
sebagai fasilitator yang membantu klien agar dia tidak bersifat defensif
dan membantu klien melihat diri dan masalahnya dengan jelas. Selain daripada itu, kaunselor juga sedia mendengar
segala masalah yang dikemukakan. Contoh penstrukturan lisan yang dibuat
berkenaan peranan kaunselor:
·
Kita akan
sama-sama berbincang berkenaan masalah
puan dan saya cuba membantu.
·
Sebagai
kaunselor anda, saya akan bersedia mendengar, memahami dan berinteraksi dengan
anda.
Peranan klien juga dinyatakan lebih awal semasa penstrukturan. Klien mestiliah komited untuk mencari penyelesaian
masalahnya. Contohnya:
”Untuk
menjadikan proses kaunseling kita bermakna dan berjaya, tanggungjawab proaktif
terletak di tangan anda. Saya menghargai sekiranya anda dapat berkongsi apa
sahaja demi memanfaatkan hubungan teraputik kita ini. Anda digalakkan
membebaskan diri dari segala bentuk halangan dan meluahkan apa sahaja kepada
saya.”
Begitu juga dengan kerahsiaan dan batas kerahsiaan kerana menjaga kerahsiaan
dan maruah klien merupakan etika seorang kaunselor. Mengikut Kod Etika
Kaunselor 1998, kaunselor hendaklah menjelaskan kepada klien mengenai
keperluan, proses dan implikasi perkhidmatan kaunseling.
Kaunselor hendaklah mencapai persetujuan dengan kliennya diperingkat awal sesi kaunseling mengenai batasan umur kerahsiaan. Apa-apa persetujuan di antara kaunselor
dan klien mengenai kerahsiaan boleh disemak
semula dan diubah dengan persetujuan bersama. Dalam
kes di mana jelas terbukti bahawa klien, mengikut pertimbangan kaunselor
menunjukkan dengan jelas, diri klien atau orang Iain berada dalarn keadaan
bahaya, kaunselor hendaklah menggunakan budi bicaranya mengambil tindakan wajar
untuk menjaga kepentingan klien dan orang lain yang terlibat.
Kod Etika Kerahsiaan dan limitasinya
juga diamalkan oleh Persatuan Kaunselor Amerika seperti berikut:
” Counselling
relationships and information resulting therefrom are kept confidential.
However, there are the following exceptions to confidentiality; when disclosure
is required to prevent clear and imminent danger to the client or others; when
legal requirements demand that confidential material be revealed; when a child
is in need of protection.”
(CCA BORD, 1999)
(CCA BORD, 1999)
Pada peringkat ini menurut kaunseling Islam merupakan
peringkat tafahum. Tafahum ertinya
kefahaman. Pada peringkat ini klien dan kaunselor telah mengenali antara satu
sama lain. Klien sudah boleh menceritakan segala konflik yang timbul pada
dirinya yang mungkin melibatkan rahsia hidupnya kerana klien sudah boleh
mempercayai kaunselor. Oleh itu kaunselor perlu cuba memahami konflik yang
dialami oleh kliennya.
Peranan
kaunselor yang lain adalah membimbing klien terhadap pembentukan sikap
bertanggungjawab terhadap tingkah lakunya disamping perlu berkhidmat dengan
dedikasi, ikhlas, jujur dan membuktikan kemahiran dan kecekapan
profesionalismanya. Kaunselor perlu menunjukkan kefahamannya semasa klien
bercerita sama ada mencelah perbualan atau merumuskannya. Persediaan untuk
mendengar klien dengan hati yang terbuka akan menambahkan keakraban hubungan
klien dan kounselor seperti dalam tingkah laku tanpa lisan umpama gerak-geri,
mimik muka, perubahan kedudukan postur badan dan sebagainya, bagi menambahkan
perasaan hubungan antara kaunselor dan klien yang sebenarnya.
3.3 FASA
3: Matlamat Sesi Pertama
Pertemuan
antara kaunselor dan klien untuk yang pertama kali adalah penting kerana pada
titik inilah klien mula membina perasaan percayakan kaunselornya. Proses ini
secara tidak langsung membina hubungan baik melalui keyakinan dan rasa selamat
yang diperolehi oleh klien semasa berada dalam sesi temu bual itu. Menurut kaunseling Islam fasa ini merupakan fasa
taawun. Taawun ertinya seimbang. Maksudnya ialah kedua-dua pihak sudah seimbang
dan dapat menghormati pendapat masing-masing yang berlainan. Dengan ini dapat
diwujudkan kemampuan, potensi dan tanggapan yang berbeza tentang sesuatu
perkara.
Menurut Zainal (2005), membuat keputusan tentang matlamat yang hendak
dicapai tidaklah begitu mudah. Ada klien yang mengemukakan pelbagai isu yang
membuatkan dia tidak berfungsi dengan efektif. Dalam keadaan begini, kaunselor
dicadangakan menumpukan kepada masalah
yang menyebabkan klien tidak selesa. Fasa
membina matlamat ini juga disebut ”personalizing”. Personalizing bermakna
menumpukan kepada masalah klien yang sebenar. Kaunselor meminta klien memilih
cara terbaik untuk mengatasi masalah yang telah dikenalpsati dan mendorongnya
juga kepada keupayaan untuk melaksanakan cara yang dipilh. Kaunselor yang ramah, mengambil berat,
mesra kasih dan berminat menjadikan klien senang hati. Ia dapat diperkukuhkan
lagi apabila kaunselor dapat menenangkan keraguan dan kegelisahan klien dalam
sesi temu bual tersebut yang kadang kala mengalami situasi kesenyapan apabila
klien tiba-tiba sahaja terdiam sejenak.
Dalam
teknik membuat keputusan Steward, Winborn, Johnson, Burks dan Engelkers (1978)
berpendapat bahawa diam sejenak itu sebagai
‘…memberi
masa atau kesempatan pada klien berhenti dan memikirkan kemahiran yang bakal
digunakan bagi menyelesaikan masalahnya. Pendekatan begini akan memberikan
kebebasan kepada klien…’.
Dari
situasi ini diharapkan mereka dapat menyatukan perasaan sebelum masing-masing
menghuraikannya pula. Dengan tidak menganggu kesenyapan ini, klien berasa
seolah-olah kaunselornya benar-benar memahami perasaannya ketika itu. Keadaan
ini juga memberi peluang kepada klien untuk menilai dirinya kembali disamping
kaunselor cuba
dalam proses memahami perhubungan antara mereka. Dengan memahami keadaan ini
akan mudahnya timbul rasa percaya-mempercayai dan keyakinan yang memudahkan klien untuk meluahkan rasa
hatinya.
Roger
(1961), Traux & Carkhuff (1967) bersetuju bahawa membina keyakinan yang
mendalam adalah perlu seperti kata mereka:
‘…hampir semua pendekatan menolong secara
peribadi ini mengarah kepada andaian bahawa sekiranya kaunseling itu mahu
berkesan, maka kliennya mestilah mengalami sama perasaan, percaya mempercayai
terhadap kaunselornya. Dia hendaklah mempunyai keyakinan bahawa dia sanggup
bercerita tentang kendirinya, peribadinya, perihatinnya, kebimbangannya,
kekeliruannya serta perasaan dalamannya terhadap orang lain…’.
Arbuckle,(1965)
mengatakan:
‘It
is likely that the goals and objectives expressed by individuals for other
people are reflective rather of needs of the person who expresses the goal that
of the people for whom we supposed have the goal.
Jelas di sini
matlamat kaunseling perlulah mengikut kemahuan klien dan bukan kehendak
kaunselor semata-mata. Walaupun demikian kehendak ini perlulah dipersetujui
bersama. Menurut Hansen, Stevic dan Warner, (1972),
‘…once
the client has developed this new understanding of his behavior, his behavior
will change. The counselor can enhance this process by providing encouragement
to the client, so that, this encouragement takes the form of helping the
client understand that he was the one
who was causing his own difficulty and, further, he is the one in whom the
responsibility lies for improving his situation…’
Semasa proses
menggunakan segala maklumat untuk membuat keputusan kaunseling biasanya
menggunakan dua cara seperti yang disarankan oleh Brammer,dan Shostrom (1968),
“First,
he begins to develop predictions about the client’s probabilities of success in
the various alternatives of decision. The second use is to aid the client
toward a batter understanding of himself and the probabilities that exist”.
Setelah
berteka-teki dan mendapat kata sepakat, barulah kaunselor dan klien mengkaji
sedalamnya berbagai kemungkinan atau potensi keputusan seterusnya bertindak
berdasarkan kemungkinan yang terbit untuk mencari jalan penyelesaian dimana
kaunselor akan memberi kebebasan kepada klien untuk memilih keputusan yang
sesuai untuknya setelah mempertimbangkan berbagai alternatif yang dipilih dan
bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan tersebut.
Justeru
itu daripada penjelasan di atas bolehlah disimpulkan bahawa matlamat kaunseling
itu menjurus kepada enam perkara iaitu menyediakan perubahan tingkah laku,
membantu membuat keputusan, membentuk kemahiran daya tindak, mempercepat
seseorang menjadi rasional, memperbaiki hubungan, dan memahami serta
mengelolakan kecemasan. Oleh yang demikian matlamatnya perlulah ringkas, jelas,
realistik, boleh diukur dan dicapai.
3.4 FASA 4: Menamatkan Sesi Pertama
Pada
penghujung perbincangan sesi pertama, kaunselor dan klien harus membuat satu
keputusan sama ada mahu diteruskan sesi kaunseling ini pada masa akan datang.
Menurut Brammer dan Shostrom (1968), penamatan sesi temuduga itu merupakan satu
rumusan dan kesimpulan kepada proses kaunseling itu sendiri, sama ada ia berupa
resolusi atau kesimpulan perbincangan dalam sesi tersebut mahupun kesimpulan
bagi proses kaunseling keseluruhannya. Menurut Gibsen & Mitchell (1986)
pula menjelaskan bahawa penamatan sesi temuduga bolehlah dianggap sebagai satu
tahap penyelesaian.Dalam peringkat ini klien yang dibantu bertanggungjawab
menunjukkan kemampuannya untuk membuat keputusan sementara kaunselor pula
berusaha untuk menamatkannya seperti menurut Gibson & Mitcheel, (1981);
‘…adalah
menjadi tanggungjawab kaunselor menggalakkan tindakan kliennya sebagaimana yang
ditetapkan untuk menyelesaikan masalah itu. Semasa klien sibuk membuat penyelesaian,
kaunselor hendaklah selalu mengawal hubungannya sebagai perujuk yang berterusan
iaitu sebagai penyokong dan sekaligus penggalak kepada kliennya..’.
Menurut George & Cristiani, (1981) seorang
kaunselor harus belajar menamatkan sesi kaunseling dengan berkesan. Dia harus
biasa dengan isu-isu dan kemahiran yang terlibat secara langsung dalam proses
penamatan temuduganya bagi menamatkan hubungan dalam kaunselingnya itu. Dalam
situasi ini kaunselor seharusnya telah memberitahu kliennya bila sesi itu akan
berakhir di awal lagi. Penamatan sesi yang mengejut dan mendadak boleh memberi reaksi
dan emosi negatif kepada klien.
Menurut Maznah
Baba & Zainal Madon (2003) terdapat beberapa panduan untuk menamatkan sesi
iaitunsebelum menamatkan sesi , kaunselor perlu membuat rumusan perkara yang
dibincangkan sepanjang sesi yang lepas dan memberi tugasan yang sesuai atau
menyatakan apakah rancangan dan perkara fokus pada sesi akan datang dengan
memberi ingatan dan dorongan kepada klien melaksanakan tugasan yang diberi
seterusnya memberi ruang kepada klien menerus atau menamatkan sesi dan merancang
temu janji akan datang. Kaunselor yang professional tidak mengalami kesukaran
untuk menamatkan sesi kaunseling dan bertindak dengan mudah seperti mengubah
sedikit kedudukannya atau meletakkan tangannya di atas birai kerusi atau
menyandarkan belakangnya jauh daripada klien. Semua ini memberi gambaran kepada
klien bahawa kaunselor tidak berminat untuk meneruskan sesi tersebut.
Dalam proses
menamatkan sesi ini kaunselor dapat melihat satu perubahan berlaku kepada kliennya di mana klien yang
mengambil keputusan serta membuat penyelesaian masalahnya akan berasa lega dan
merasakan dirinya dihargai dan diambil perhatian. Ini bermakna proses
kaunseling itu tamat dalam pertemuan sesi pertama ini. Walaubagaimanapun jika
sebaliknya pula yang berlaku, klien mungkin akan melalui sesi kaunseling yang
lain atau perlu dirujukkan kepada kaunselor atau mereka yang lebih pakar lagi
sebagai usaha lanjutan.
Jelas di sini
bahawa proses menamatkan sesi pertemuan pertama ini merupakan satu
penilaian terhadap kaunselor yang cuba melihat
sejauh manakah peranan kliennya selepas dia menetapkan strategi yang bakal
diambilnya. Dari sini dapatlah dinilai sama ada perkhidmatan yang telah
diberikan dan proses pertemuan itu berjaya dan bermanfaat atau sebaliknya.
Justeru itu, mereka boleh mengukur adakah mereka sama-sama telah memenuhi
kehendak masing-masing atau jika sebaliknya adakah mereka telah menetapkan langkah
seterusnya bagi sesi yang akan datang.
Bagi pengamal perhubungan kaunseling Islam, fasa ini
dinamakan fasa berdoa dan bertawakal. Apabila
sudah selesai segala usaha yang dijalankan oleh kaunselor dan klien maka
sebagai langkah yang terakhir, diserahkanlah segala kejayaan usaha tadi kepada
Allah yang Maha Berkuasa dan Penentu segalanya. Sentiasalah berdoa dengan
sepenuh hati agar Allah menolong diri yang berada dalam keadaan konflik dan
diselesaikan segala masalah dengan secepat yang mungkin. Bertawakkal pula ialah
menyerahkan diri kepada Allah terhadap konflik yang dihadapi dengan penuh
keyakinan bahawa Allah pasti menolong hambanya.
3.5 FASA
5: Membuat Rujukan
Dalam keadaan
tertentu ada masanya kaunselor tidak dapat meneruskan kaunseling kerana
keupayaannya menangani masalah yang dihadapi di luar kebolehannya. Justeru itu,
kaunselor perlu merujuk klien ini kepada kaunselor yang sesuai atau agensi
lain. Menurut Maznah Baba & Zainal Madon (2003). ‘merujuk’ merupakan proses
di mana kaunselor merujuk klien kepada pakar lain untuk mendapatkan
perkhidmatan yang khusus atau ketidakmampuan kaunselor mengendalikan
kaunseling. Rujukan boleh berlaku pada peringkat awal atau selepas melalui sesi
kaunseling.
Proses merujuk
perlu dilakukan apabila kaunselor tidak dapat melaksanakan proses kaunseling
secara professional ke atas klien. Ini biasanya berlaku apabila klien yang
dihadapi merupakan sahabat atau saudara, atau ahli keluarga kepada kaunselor. Menurut
Zainal Abidin (2004) adalah sukar, malah tidak digalakkan kaunselor meneruskan
hubungan kaunseling dalam jangka masa panjang dengan sahabat atau ahli saudara.
Keadaan tidak profesioanl ini juga boleh berlaku apabila klien pula merasakan
perasaan yang lain pula kepada kaunselor atau kaunselor merasakan personaliti
klien bertembung dengan personalitinya dan menganggu proses kaunseling kerana
sukar mencapai penyelesaian.
Kaunselor juga
boleh melakukan proses merujuk ini apabila masalah yang dihadapi klien terlalu
rumit serta kompleks dan di luar keupayaannya kerana proses membuat keputusan
merupakan satu keadaan yang mencabar seperti menurut Hansen, Stevis, &
Warner:
“dicision
making offers counselor and client an important milieu for counseling. The
counseling process involves a situation in wich the client can examine himself
and the possibilities open to him. There is need to understand such personal
variables as risk taking propensity. There is also a need to have much accurate
information as possible about the alternatives which exist so that the best
decision possible is made. The counselor should be a potent contributor to the
client’s decision making”.
Kaunselor
perlu mengenalpasti tahap pengetahuan dan keupayaan diri sendiri dan perlu
dinyatakan kepada klien mengapa ada limitasi dan kepada siapa ia akan dirujuk
untuk mengelakkan buruk sangka atau klien rasa tidak sangka. Faktor lain yang
boleh menyebabkan proses kaunseling dirujuk kepada pihak lain apabila klien
enggan menerangkan masalahnya kepada kaunselor atas beberapa sebab yang tidak
diketahui. Terdapat juga keadaan di mana selepas beberapa sesi kaunseling
dengan klien, kaunselor mendapati hubungannya dengan klien tidak dirasakan
berkesan atau ia gagal memahami klien. Menurut Parker (1966) kaunselor mestilah
peka terhadap orang lain, memiliki kemampuan menganalisa kekuatan dan kelemahan
seorang lain secara objektif, mempunyai kesedaran mengenai perbezaan diri
manusia dan kemampuan mengenalpasti kesukaran-kesukaran pembelajaran. Mowrer
(1951) pula menganggap kematangan seorang kaunselor akan menjayakan proses
kaunselingnya dengan berkesan sekali.
Jelaslah di
sini bahawa kaunselor tidak perlu menganggap dirinya kurang cekap atau gagal kerana
terpaksa menghantar klien kepada orang lain. Sebenarnya, kaunselor mesti ada
kemahiran untuk mengenal keadaan, bila masanya dia boleh menawarkan diri untuk
menjalankan kaunseling atau bila masanya untuk dirujuk kepada kaunselor lain.
Adalah tidak realistik, sekiranya kaunselor memikirkan bahawa dia mampu untuk
mengendalikan sesi kaunseling untuk semua klien yang mempunyai pelbagai masalah
kerana kita tidak boleh menjadi ‘pakar’ dalam semua perkara.
rujukan
ReplyDelete