Bab 11  Isu Semasa Pendidikan
1.1 : Wang Bantuan RM100 Kepada Pelajar
1.2 : Pemberian Baucar RM200 Kepada Pelajar IPTA, IPTS Dan Politeknik
1.3 : Isu Penempatan GSTT
1.3 : Majlis Bahasa Inggeris
1.4 : Kementerian Kaji Wujud GPK Pendidikan Islam Di Sekolah
1.5 : Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Vokasional



Isu Semasa Pendidikan
2.1 : Wang Bantuan RM100 Kepada Pelajar


Wang Bantuan RM100 kepada Pelajar tahun 2012 dari Kementerian Pelajaran Malaysia

Wang bantuan RM100 ini diberikan lanjutan daripada janji kerajaan pada Bajet Negara yang dibentangkan pada 7 Oktober 2011 yang lalu oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Matlamat pemberian wang bantuan

Matlamat pemberian wang bantuan rm100 ini ialah meringankan beban ibubapa yang terpaksa menanggung beban mengeluarkan perbelanjaan lebih bagi membeli perlatan-peralatan sekolah dan pakaian untuk anak-anak yang bakal memulakan persekolahan pada bulan Disember 2011

Siapa yang layak terima?

Wang bantuan rm100 ni layak diterima oleh ibu bapa pelajar daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Setiap pelajar akan menerima rm100 setiap seorang. Pelajar-pelajar yang layak menerima bantuan rm100 ini ialah mereka yang bersekolah di Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan,Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Persendirian yang berdaftar dengan Kerajaan dan Sekolah Agama Negeri.

Bila wang bantuan rm100 mula dibayar

Ianya mula dibayar mulai 15 November 2011 dan akan berakhir pada tarikh yang akan diumumkan oleh kerajaan kelak.

Bagaimana wang ini dibayar

Wang bantuan ini dibayar dengan cara tunai kepada ibu bapa. Pihak sekolah akan mengeluarkan borang akuan penerimaan/penolakan dan setelah diisi ibu bapa perlu mengembalikannya kepada pihak sekolah.

Tanggungjawab pihak sekolah mengagihkan wang bantuan

Pelajar-pelajar yang layak menerima wang bantuan perlulah dikenalpasti dan disenaraikan .
Pembayaran hendaklah dilakukan secara tunai kepada ibubapa setelah wang dikeluarkan daripada Bank Simpanan Nasional.
Wang bantuan tidak boleh diberikan dalam apa-apa bentuk seperti cek, wang pos, baucar atau lain-lain kecuali tunai sahaja.
Wang bantuan hendaklah diberikan kepada pelajar-pelajar yang layak menerima dalam tempoh 14 hari bekerja daripada tarikh wang tersebut diterima oleh pihak pentadbiran sekolah-sekolah.
Pihak sekolah hendaklah memastikan ibu bapa yang telah menerima wang bantuan rm100 menurunkan tandatangan di dalam borang Akuan Penerimaan/Penolakan Bantuan dan proses ini hendaklah disaksikan oleh oleh 2 orang guru sekolah

2.2 : Pemberian Baucar RM200 Kepada Pelajar IPTA, IPTS Dan Politeknik

Kementerian Pengajian Tinggi ingin memaklumkan pelaksanaan pemberian baucar buku bernilai RM200 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa Pembentangan Bajet 2012 kepada pelajarIPTA, IPTS, Politeknik, Matrikulasi/Asasip Sains dan pelajar Tingkatan 6, seperti berikut:

Semua pelajar warga negara Malaysia yang berdaftar sebagai pelajar aktif di IPTA, IPTS dan Politeknik mengikuti pengajian pada peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Ph.D,matrikulasi/asasi dan pengajian persediaan termasuk pelajar diTingkatan 6 secara sepenuh masa dan separuh masa di institusi pengajian tinggi dalam negeri pada Januari 2012 layak mendapat baucar buku bernilai RM200.

Pengagihan baucar buku kepada pelajar-pelajar dibuat melaluiIPTA, IPTS, Politeknik dan sekolah masing-masing dalam bulanJanuari 2012. Sila hubungi IPT dan sekolah masing-masing untuk untuk mengambil baucar berkenaan.

Semua IPT telah menyediakan senarai nama pelajar, bersertaNombor Kad Pengenalan dan Nombor Metrik / NomborPendaftaran mereka yang layak. Pelajar perlu memastikan nama, no. kad pengenalan dan cop IPT masing-masing diisikan padasetiap keping baucar yang bernilai RM50.00 setiap keping.

Baucar buku boleh ditebus di semua kedai buku yang menyertai program ini dan penyertaan kedai buku adalah terbuka kepada semua.

Baucar ini adalah untuk pembelian buku – buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing;

Tuntutan bayaran balik baucar akan dibuat oleh kedai buku terus kepada Bank Simpanan Nasional (BSN). Tuntutan hanya boleh dilakukan sehingga 30 April 2012;

Tempoh masa sah laku baucar buku ini adalah selama tiga bulan mulai daripada 1 Januari hingga 31 Mac 2012.

Pelajar tidak dibenarkan sama sekali menebus baucar buku ini dengan wang tunai.


2.3 : Isu Penempatan GSTT

ISU PENEMPATAN GSTT


7,079 GSTT ke jawatan tetap

PUTRAJAYA: Seramai 7,079 daripada 13,184 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara akan diserapkan dalam jawatan tetap selepas mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpilih, mulai Januari ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata langkah itu membuktikan komitmen Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyelesaikan isu membabitkan 13,184 guru GSST di seluruh negara.

Beliau berkata, sebenarnya seramai 1,799 daripada 13,184 guru GSTT terbabit sedang mengikuti latihan perguruan menerusi mod kursus dalam cuti (KDC) di IPGM di seluruh negara sejak beberapa bulan lalu.

“Bagaimanapun, pada hari ini (semalam), kita memutuskan untuk memberi peluang kepada 7,079 guru GSTT mengikuti latihan perguruan di IPTA dan IPGM di seluruh negara mulai Januari depan.

“Ia dilakukan selepas proses saringan permohonan daripada GSTT menerusi kaedah penyerapan di bawah Skim Perkhidmatan Pelajaran selesai,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung isu GSTT di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 4,433 GSTT akan mengikuti kursus Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah KPLI (DPLI) di IPTA (mulai Februari 2012).
“Selebihnya akan mengikuti kursus menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di IPGM di seluruh negara mulai 9 Januari depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kementerian menolak 2,788 permohonan lain kerana GSTT terbabit gagal mengemukakan maklumat lengkap atau dokumen asal ketika menghadiri temu duga sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, kementerian bersedia memberi peluang membenarkan guru terbabit membuat rayuan dengan mengemukakan permohonan lengkap bersama salinan sijil asal yang sudah disahkan untuk pertimbangan semula kementerian sebelum tarikh tutup pada 26 Disember ini.

“Kementerian juga menolak permohonan 2,012 calon lain kerana tidak memenuhi syarat minimum iaitu berkhidmat sebagai GSTT sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut.

“Selebihnya, 916 permohonan lagi ditolak kerana berumur lebih 35 tahun iaitu melebihi had ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.


2.3 : Majlis Bahasa Inggeris
2.5 : Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Vokasional

MAJLIS PELANCARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL
BERTEMPAT DI
GERMAN-MALAYSIA INSTITUTE

PADA 06 JANUARI 2012

Assalamu'alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri,
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian

Yang Berbahagia Dato Sri Abd Ghafar bin Mahmud,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Ketua-Ketua Jabatan,

Dif-Dif Kehormat, Dato'-Dato', Datin-Datin,

Tuan-Tuan, Puan-Puan,

Seterusnya para hadirin yang dihormati sekalian

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah izin dan kurniaNya, kita dapat berhimpun dalam satu majlis bersejarah yang menandakan permulaan transformasi pendidikan vokasional, selaras dengan agenda yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh iaitu mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan perhargaan kepada pihak penganjur dan tuan rumah iaitu German Malaysia Institut (GMI) kerana dapat menjayakan majlis yang amat bermakna ini.

2. Aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan berhasrat untuk merealisasikan ‘High Income Economy' atau Ekonomi Berpendapatan Tinggi. Dalam Model Baru Ekonomi yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato` Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, dinyatakan bahawa kejayaan melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu bagi menjana kekayaan negara merupakan faktor yang kritikal, bagi menentukan pencapaian kemajuan dan kemakmuran masa depan negara Malaysia. Pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.

Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan

3. Dalam memenuhi aspirasi ini, pendidikan vokasional adalah laluan yang penting ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif dan mampu menghadapi saingan pada peringkat serantau dan juga global serta relevan dengan keperluan semasa. Dalam hal ini, penekanan terhadap penambahbaikan kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional adalah sangat penting seterusnya menyumbang kepada mencapai hasrat negara berpendapatan tinggi. Peningkatan kemahiran secara berterusan perlu dilaksana bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan. Sehubungan itu, sistem latihan kemahiran dan jalinan usahasama dengan pihak industri perlu diperkukuhkan supaya lebih responsif dan menepati keperluan serta perkembangan ekonomi negara. Untuk itu, peranan yang dinamik dari pihak yang terlibat menjadi faktor penting dalam melahirkan tenaga kerja yang kompetitif dan berdaya saing. Tugas yang paling mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Para hadirin sekalian,

4. Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah proaktif sejak tahun 2009 lagi dengan melihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan negara serantau. Kadar purata enrolmen pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan ( OECD ) adalah 44%, berbanding hanya 10% di Malaysia. Jika kita melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di semua negara ini. Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria, hampir 50 peratus hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (4 -5 tahun) dan program apprenticeship. Malahan di negara tersebut, pelajar-pelajar diberi pilihan untuk mengikuti pendidikan vokasional pada peringkat umur 14 tahun lagi. Di negara-negara serantau seperti Indonesia dan Thailand, enrolmen pelajar yang mengambil aliran ini di peringkat menengah atas mejangkau 40 hingga 60 peratus. Dalam pada itu, pendidikan vokasional di sekolah luar negara juga melibatkan On The Job Training bagi menghasilkan tenaga kerja kepada industri. Apabila tamat pengajian, pelajar mereka dianugerahkan sekurang-kurangnya sijil dan ada negara yang menawarkan sehingga peringkat diploma.

5. Melihat kepada perkembangan yang berlaku di negara maju dan negara serantau, pendidikan vokasional di Malaysia perlu dibuat perubahan besar dan segera. Jika ini tidak dilakukan, kita bimbang negara kita tidak kompetitif di peringkat global dan terus ketinggalan. Kejayaan perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik, tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.

Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan

6. Pendidikan vokasional di Malaysia pada masa ini sedang menuju ke arah konsep Pendidikan Untuk Semua ( Education For All ) seperti yang digariskan oleh UNESCO. Program Pendidikan Asas Vokasional ( PAV ) yang dibentuk bertujuan untuk memberi pilihan alternatif kepada murid yang cenderung kepada pendidikan bercorak hands-on dan berasaskan pekerjaan (work-based) dari peringkat menengan rendah lagi sehingga ke tahap kolej vokasional (KV) atau Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Swasta ( ILKS ). Sebanyak 15 buah sekolah menengah vokasional di setiap negeri telah dinaik taraf menjadi KV rintis pada tahun 2012 seperti yang disebutkan tadi. Dengan terlaksananya transformasi ini, maka aliran vokasional tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua kerana pelajar-pelajar yang keluar nanti adalah pekerja mahir yang mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi.

Hadirin sekalian,

7. Transformasi pendidikan vokasional merupakan usaha merekayasa kurikulum, institusi, pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran, tadbir urus dan sumber manusia sehingga terbina sistem pendidikan vokasional yang baharu. Proses dilaksana menerusi lima strategi, lima inisiatif dan sebelas tindakan. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Buku Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional yang akan dilancarkan sebentar lagi.

8. Lima strategi utama ini merangkumi:
- Transformasi kurikulum pendidikan vokasional
- Transformasi institusi pendidikan vokasional
- Kolaborasi dengan rakan strategik dalam industri
- Transformasi pentaksiran pendidikan vokasional.
- Transformasi organisasi pendidikan vokasional.

9. Dalam usaha memastikan latihan kemahiran memenuhi keperluan industri, Kementerian amat menggalakkan sebarang bentuk jalinan kerjasama (MoU) antara institusi latihan KPM (PAV dan KV) dengan industri kerana dengan adanya perkongsian teknologi dan kepakaran ini secara tidak langsung dapat memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan para pelajar untuk menempuhi alam pekerjaan yang sebenar. Maka pada hari ini akan termeterai perjanjian persefahaman (MOU) di antara KPM dengan 11 rakan strategik iaitu industri, agensi awam, swasta serta IPTA dan IPTS. Syabas diucapkan kepada agensi awam, swasta serta IPTA dan IPTS yang terlibat.

10. Ini merupakan langkah permulaan. Saya percaya selepas ini lebih banyak agensi awam, swasta dan industri akan tampil ke hadapan untuk sama-sama terlibat dalam proses transformasi pendidikan vokasional yang sedang berlaku. Kerjasama pihak industri dalam menyediakan latihan kemahiran amat penting agar latihan melalui "work based learning" dapat diperolehi oleh pelajar. Kepakaran dan kemudahan yang ada pada kedua belah pihak dapat dikongsi bersama serta boleh mengelakkan berlakunya ketidaksesuaian bidang pekerjaan antara industri dengan institusi latihan kemahiran.

11. Di samping itu, amalan standard kualiti persekiran tempat kerja melalui konsep 5S yang berasal dari Jepun iaitu sisih, sapu, susun, seragam dan selalu amal juga telah mula diperkenalkan di sekolah menengah teknik dan vokasional oleh Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2009. Pelaksanaan konsep 5S perlu menjadi budaya dalam pengurusan tempat kerja terutama di bengkel-bengkel dan juga pejabat bagi mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan pengurusan kerja yang lebih teratur. Inisiatif ini juga merupakan langkah ke arah transformasi persekitaran kolej vokasional supaya amalan budaya bekerja yang berkualiti diterapkan kepada pelajar KV. Kita mengharapkan graduan KV akan mengamalkan budaya ini apabila mereka bekerja atau menjalankan perniagaan nanti. Saya difahamkan 8 buah sekolah akan menerima Sijil 5S dari Malaysia Trodiction Council (MPC) pada hari ini. Sayabas diucapkan.

12. Akhir sekali saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, kementerian dan agensi-agensi lain dalam usaha menjayakan transformasi pendidikan vokasional ini. Kepada seluruh warga Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, KPM, SMT/V dan Kolej Vokasional, saya mengucapkan Selamat Maju Jaya, Tingkatkanlah usaha dan bekerjalah dalam satu pasukan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan vokasional demi masa depan negara. Jadikanlah usaha ini sebagai agenda penting pembangunan modal insan negara yang kita cintai.

13. Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia..

Wabillahi al-Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sekian, terima kasih.

0 comments:

Post a Comment