Model-Model
Modifikasi Pengurusan Bilik Darjah
Dalam
menguruskan bilik darjah, ahli-ahli teoris dan para pendidik telah mengemukakan
beberapa model pengurusan bilik darjah. Model-model ini berlandaskan aras
kawalan yang berbeza, iaitu daripada kawalan luaran sehingga kawalan kendiri.
Berikut merupakan model-model modifikasi tingkah laku yang telah dipelopori
oleh ahli-ahli teoris dalam pengurusan bilik darjah. Antaranya adalah Model
Modifikasi Tingkah Laku Skinner, Model Disiplin Asertif Canter, Model Akibat
Logika Dreikurs, Model Terapi Realiti Glasser dan Model Pengurusan Kelompok
(Kounin).
Namun
begitu, terdapat juga model-model lain yang berkaitan dengan Pengurusan Bilik
Darjah dan tingkah laku pelajar. Antaranya ialah Model Disiplin dengan Digniti
Curwin & Mendler, Model Melangkah Disiplin Kohn, Model Dalaman Disiplin
Coloroso, Program Organisasi Bilik Darjah & Pengurusan Everston, Model
Aliran Kemahiran Goldstein & Mc Ginnis dan Model Penyelesaiaan Konflik
& Mediasi Rakan Sebaya.
1.1 Model
Modifikasi Tingkah Laku Skinner
Menurut
ahli Behavioris, pengukuhan adalah elemen yang sangat berkesan untuk mengajar
tingkah laku baru yang wajar serta mengubah tingkah laku semasa yang kurang
wajar. Model ini menekankan suatu pendekatan yang sistematik untuk mengubah
tingkah laku melalui aplikasi prinsip-prinsip pelaziman yang berbentuk
peneguhan positif dan peneguhan negatif.
Untuk
mendapatkan tingkah laku yang baik, ia boleh dimajukan dengan menggunakan
peneguhan. Teori Tingkah laku Skinner telah mengutarakan satu konsep yang
dikenali sebagai satu pengukuhan kontigensi iaitu hubungan antara tingkah laku
dan kawalan tingkah laku secara berkesan. Dalam konteks bilik darjah,
pengukuhan positif diberikan kepada murid-murid yang melakukan tingkah laku
yang diingini. Pengukuhan positif ini boleh diberi dalam bentuk ganjaran
material dan kata-kata pujian. Manakala, pengukuhan negatif pula adalah
rangsangan yang ditarik balik supaya murid-murid menunjukkan tingkah laku yang
diingini.
Secara
umumnya, terdapat tiga andaian asas yang menerangkan tentang konsekuen tingkah
laku. Pertama iaitu tingkah laku yang diikuti oleh ganjaran iaitu pengukuhan
akan lebih kerap berlaku.Kedua, tingkah laku yang diikuti oleh hukuman tidak
akan berlaku dengan kerap ataupun langsung tidak akan berlaku. Ketiga, tingkah
laku akan dihapuskan atau lenyap sekiranya ianya tidak diperkukuhkan.
Dengan
kata lain, tingkah laku dilazimkan oleh konsekuen yang timbul, ia akan
bertambah teguh jika pengukuhan diberikan dengan serta merta dan sebaliknya
akan menjadi lemah jika pengukuhan tidak diberikan.
1.2 Model
Disiplin Asertif Canter
Model
Disiplin Asertif telah dipelopori oleh Lee and Marlene Canter pada tahun 1976.
Model ini melatih murid-murid untuk menerima konsekuen bagi tindakan mereka.
Model ini mempunyai beberapa prinsip tersendiri.
Pertamanya
adalah guru harus memberi pengukuhan pada tindakan yang wajar. Kedua,
tanggungjawab merupakan nadi disiplin asertif dan guru harus bersifat asertif
ketika mengawal kelas. Selain itu, guru juga haruslah merangka sistem ganjaran
dan dendaan yang boleh dijadikan rujukan murid mengenai tingkah laku yang baik
dan buruk.
Canter
juga memberi pandangan beliau terhadap guru asertif. Menurut Canter, “guru
asertif menggangap murid mereka sebagai pesalah”. Dalam model ini, jika
guru ingin mengawal kelas tersebut dan mengajar dengan berkesan, maka guru
hendaklh sentiasa bersifat tegas. Perbuatan mereka ini mungkin memberi rasa
tidak selesa kepada murid-murid di dalam kelas yang diajar oleh mereka tetapi masalah
tingkah laku akan dapat diselesaikan. Menurut Model Disiplin Asertif
Canter juga, guru berkuasa menetapkan peraturan bilik darjah bagi mengawal
tingkah laku murid-murid.
Ciri-ciri
guru asertif yang ditekankan dalam Model Disiplin Asertif Canter adalah seperti
guru asertif percaya kawalan guru yang tegas dalam sesebuah bilik darjah adalah
yang terbaik untuk murid-murid mereka. Di samping itu, dengan adanya disiplin
asertif, komunikasi di antara guru dengan murid adalah positif dan saling
menghormati apabila tindakan diambil terhadap tingkah laku yang sesuai dalm
bilik darjah. Pandangan guru asertif terhadap murid adalah bukan musuh, dan
tidak menggunakan cara kasar, menyindir, ataupun bermusuhan dalam megawal
kelas. Justeru, guru asertif mendengar secara teliti dan hormat penjelasan
murid, bercakap dengan hormatnya kepada mereka dan melayani setiap individu
secara adil.
Antara cara untuk
mengaplikasikan model Disiplin Asertif Canter adalah jangan layan sebab yang
ingin diterima untuk tingkah laku yang tidak diingini. Seterusnya, tentukan
peraturan yang guru hendak melaksanankannya dalam bilik darjah. Selain itu,
tentukan akibat negatif kerana tidak mematuhi peraturan bilik darjah. Di
samping itu,jangan teruskan menghukum jika teknik perbincangan boleh
mengurangkan situasi ketegangan. Tentukan akibat positif untuk tingkah laku
yang sesuai, misalnya peneguhan positif atau ganjaran kumpulan pun boleh
dipertimbangkan.
2.0 MODEL DISIPLIN
SKINNER
Burrhus Frederic
Skinner (1904-1990) memperoleh Ijazah Kedoktoran dari Universiti Harvard pada
tahun 1931 dalam bidang Psikologi dan banyak menerbitkan artikel dan buku
berdasarkan kajian-kajian beliau terhadap tingkah laku manusia. Beliau
berpendapat tingkah laku manusia banyak dipengaruhi oleh apa sahaja tingkah
lakau yang berlaku sebaik sahaja ditunjukkan. Beliau tidak mengkaji
secara langsung tentang tingkah laku murid di dalam bilik darjah tetapi
pengikut-pengikutnya telah mengaplikasikan konsep modifikasi tingkah laku ke
dalam pengajaran di dalam bilik darjah, perkembangan kanak-kanak dan hubungan
sosial antara individu.
Model Tingkah Laku ini
menggunakan prinsip peneguhan yang menjurus kepada elemen-elemen luaran bagi
mempengaruhi tingkah laku murid iaitu peneguhan yang menjadi rangsangan untuk
meningkatkan tingkah laku yang diingini. Terdapat dua jenis peneguhan, iaitu
peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif berlaku apabila
rangsangan diberikan seperti hadiah, pujian, dan sebagainya yang bertujuan
untuk meningkatkan tingkah laku murid yang diingini. Manakala peneguhan negatif
berlaku apabila rangsangan seperti majalah, komik dikeluarkan supaya murid-murid
kembali menunjukkan tingkah laku yang diingini.
Sebagai contoh, murid
akan diberikan ganjaran yang positif seperti mendapat hadiah dan pujian jika
murid tersebut yang menunjukkan tingkah laku yang baik seperti tidak berbuat
bising, melakukan kerja rumah dengan baik dan menyiapkan tugasan tepat masanya.
Untuk peneguhan negatif pula, guru memberikan hukuman atau dendaan jika
murid-murid melanggar peraturan seperti membaca komik semasa guru sedang
mengajar dan guru merampas komik tersebut dengan harapan supaya murid kembali
menumpukan perhatian kepada pengajaran guru. Komik tersebut bertindak sebagai
rangsangan yang tidak diingini. Guru melakukan peneguhan negatif apabila
murid-murid melakukan rangsangan yang tidak diingini. Apabila rangsangan
dikeluarkan, guru dapat meningkatkan kembali tingkah laku murid yang diingini,
iaitu memberikan perhatian semasa guru sedang mengajar.
Peneguhan berbentuk
positif atau negatif digunakan untuk meneguhkan atau meningkatkan tingkah laku
yang diingini. Peneguhan adalah berbeza dengan dendaan. Peneguhan merupakan
tindakan untuk menghukum tingkah laku yang salah atau tidak diingini manakala
dendaan pula merupakan tindakan yang diambil untuk mengurangkan tingkah laku
yang diingini. Tingkah laku individu banyak dipengaruhi atau dibentuk oleh
peneguhan yang diterima sebaik sahaja tingkah laku tersebut ditunjukkan.
Menurut Skinner, untuk mendapat tingkah laku yang diingini, peneguhan atau
ganjaran perlu diberi selepas seseorang menunjukkan tingkah laku tersebut.
Rangsangan peneguhan ini diperoleh di dalam bilik darjah dalam bentuk kejayaan
yang diraih selepas berusaha, penyetujuan atau penerimaan rakan sebaya, hadiah,
senyuman, anggukan atau pujian yang diperoleh daripada guru.
Perubahan tingkah laku
merujuk kepada tingkah laku yang digunakan oleh guru untuk membentuk tingkah
laku yang diingini melalui peneguhan yang berkala. Tingkah laku yang seterusnya
pula dipengaruhi dengan cara peneguhan itu diberikan. Melalui peneguhan yang
tetap yang diberi setiap kali seseorang murid menunjukkan tingkah laku yang
diingini, hal ini akan membantu membentuk tingkah laku baharu yang diingini.
Sebagai contoh, guru boleh melibatkan murid-murid yang pemalu dalam setiap
aktiviti bilik darjah. Guru perlu menggunakan peneguhan yang tetap dan berkala seperti
memberikan pujian apabila setiap kali murid tersebut mengangkat tangan atau
dapat menjawab dengan betul. Dengan peneguhan ini, murid-murid yang pemalu akan
mula berani untuk mengangkat tangan dan melibatkan diri kerana diteguhkan,
mendapat bimbingan atau mendapat ganjaran selepas dia menunjukkan tingkah laku
tersebut. Apabila tingkah laku yang diingini telah ditunjukkan, guru mungkin
akan mengurangkan peneguhan dan memberikan peneguhan tersebut apabila
diperlukan sahaja, iaitu sebagai pengekalan kepada tingkah laku yang
ditunjukkan. Apabila murid sudah berani melibatkan dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran (P&P) seperti mengangkat tangan apabila soalan diberikan,
guru tidak lagi perlu untuk memberikan pujian setiap kali murid melakukan perkara
tersebut tetapu hanya meneguhkan pada waktu-waktu tertentu sahaja sekadar utnuk
mengekalkan tingkah laku tersebut. Tingkah laku ini juga boleh hilang atau
pupus sekiranya guru tidak memberikan peneguhan dalam jangka masa yang panjang.
Sebagai contoh, murid yang mengangkat tangan tetapi tidak dipanggil oleh
gurunya, lama-kelamaan murid akan berhenti daripada mengangkat tangan dan
melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah.
3.0 MODEL
DISIPLIIN ASERTIF CANTER
Model Disiplin Asertif
Canter merupakan model disiplin yang berasaskan peneguhan terhadap tingkah laku
yang diingini serta penerimaan murid terhadap akibat daripada tingkah laku yang
ditunjukkan. Canter berpendapat guru mempunyai hak untuk menentukan
peraturan-peraturan di dalam bilik darjah serta memastikan murid mematuhi
peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Model disiplin ini dilihat lebih
menyerupai Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner, namun model ini lebih
menekankan penetapan dan penguatkuasaan peraturan serta memastikan murid-murid
mematuhi peraturan tersebut dengan tegas . Model ini juga melibatkan
ganjaran dan dendaan akibat daripada peraturan yang ditetapkan.
Dalam model Disiplin
Asertif, guru perlu mengendalikan bilik darjah dengan berinteraksi secara
tenang, serius dan konsisten dengan murid. Canter menyatakan bahawa murid-murid
berhak untuk mendapatkan suasana pembelajaran yang tenang dan teratur manakala
guru pula berhak untuk mengajar tanpa gangguan. Canter berpendapat pihak
pentadbir sekolah dan ibu bapa murid-murid perlu memberikan sokongan terhadap
sistem pengurusan guru di dalam bilik darjah.
Menurut Canter,
murid-murid memilih untuk bertingkah laku . Oleh yang demikian,
guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang dapat membantu murid
memilih tingkah laku yang sesuai dan bermanfaat. Untuk mencapai persekitaran
yang kondusif, keperluan-keperluan guru dan murid perlu dipenuhi melalui
pengurusan bilik darjah yang asertif. Hal ini boleh dilakukan dengan mengadakan
peraturan tingkah laku yang jelas di dalam bilik darjah. Apabila murid-murid
mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, guru memberikan peneguhan
seperti penghargaan dan pujian. Sebaliknya apabila murid melanggar peraturan,
guru mengenakan peneguhan negatif yang berstruktur, iaitu murid-murid sedaya
upaya akan mengelak daripada akibat dengan mematuhi peraturan.
Dalam Model
Asertif ini, guru-guru diberikan cadangan mengenai cara-cara untuk membimbing
murid-murid supaya murid-murid dapat menunjukkan tingkah laku yang diingini.
Perhatian yang positif perlu sentiasa diberikan kepada murid-murid,
berinteraksi dengan murid-murid serta mewujudkan hubungan saling mempercayai
dan menghormati antara satu sama lain.
Konsep utama dalam
Model Disiplin Asertif Canter, ialah guru mempunyai hak untuk mengajar secara
professional dan tanpa gangguan. Murid-murid pula mempunyai hak untuk belajar
dalam keadaan yang selamat dan tenang. Hak-hak ini boleh dilaksanakan sekiranya
guru bertanggungjawab memastikan tiada perkara atau tindakan yang boleh
menghalang murid-murid daripada mendapatkan hak mereka. Model Asertif Disiplin
menggariskan tiga jenis guru iaitu guru yang agresif, guru yang tidak asertif
dan guru yang asertif.
a) Guru
yang agresif
Jenis guru yang
agresif merupakan kalangan guru yang garang , kasar, tidak mesra, tidak
bertimbang rasa dan sering menganggap murid sebagai musuh. Guru yang bersifat
agresif ini berpendapat, untuk mengekalkan dan menguruskan aktiviti bilik
darjah, mereka sebagai guru mesti menunjukkan kuasa dengan menetapkan peraturan
dan tidak perlu bertolak ansur dengan murid. Mereka hanya memberikan arahan dan
murid-murid perlu mengikut arahan tanpa bantahan. Ekspresi muka mereka sentiasa
serius dan tegas. Guru-guru ini selalu menggunakan arahan-arahan yang keras dan
tegas seperti ‘Duduk’, ‘Diam’, ‘Dengar sini!’..Arahan-arahan
sebegini tidak menunjukkan kemesraan dan membuatkan murid berasa terancam dan
menjadikan murid-murid hilang minat untuk belajar.
b) Guru
yang tidak asertif
Jenis guru yang kedua
pula ialah merupakan guru yang menggunakan pendekatan yang pasif terhadap
murid. Guru jenis ini gagal membantu murid-murid untuk membuat jangkaan tingkah
laku yang diingini dan tidak konsisten dalam menangani tingkah laku murid.
Kadangkala guru yang tidak asertif ini membenarkan suatu tingkah laku yang
ditunjukkan di dalam bilik darjah tetapi pada masa yang lain mereka memarahi
murid yang melakukan tingkah laku terssebut. Mereka selalu menggunakan
frasa-frasa seperti ‘Tolonglah berkelakuan elok sikit’ atau ‘Berapa
kali cikgu cakap, tolong diam!’. Mereka kelihatan kelam-kabut, tidak
konsisten, tidak tegas dan sampai ketikanya murid-murid tidak akan lagi
menghormati guru jenis ini. Kadangkala guru jenis ini akan menjadi putus asa
dan tiba-tiba menjadi terlampau garang dengan murid-murid, tindakan guru yang
tidak konsisten ini akan menyebabkan murid keliru dengan jangkaan dan tindakan
guru. Hal ini menyebabkan aktiviti P&P gagal dan tidak mencapai objektif
yang disasarkan.
c) Guru
yang asertif
Seterusnya, jenis guru
yang asertif pula merupakan guru yang Jelas, yakin dan menyatakan jangkaan dan
arahan yang konsisten dengan tegas. Guru yang asertif sering membina hubungan
saling mempercayai dengan murid-murid dan membimbing murid-murid cara untuk
menunjukkan tingkah laku yang menggalakkan kerjasama antara gur dengan
murid-murid. Canter berpendapat pendekatan yang terbaik untuk menguruskan
disiplin bilik darjah adalah dengan menggunkan pendekatan asertif. Guru yang
mengamalkan pendekatan asertif ini tahu perkara yang diingini daripada
murid-muridnya. Mereka akan menyatakan dengan jelas kemahuan mereka terhadap
tingkah laku murid dan menyokong tindakan-tindakan mereka dengan perlakuan yang
boleh diterima oleh murid. Sebagai contoh, rutin dan perturan bilik darjah
ditetapkan dengan jelas dan diterangkan kepada murid-murid tentang kepentingan
rutin dan peraturan tersebut. Murid-murid juga diberitahu perasaan guru
sekiranya mereka mematuhi atau melanggar peraturan tersebut. Murid-murid
diterangkan akibat-akibat yang munasabah sekiranya mereka melanggar peraturan.
Penjelasan guru diterangkan secara perbincangan dengan murid-murid dan bukannya
berbentuk ancaman.
Murid-murid juga sedar
dan jelas sebab peraturan tersebut diadakan dan tahu akan kesan apabila
peraturan tersebut tidak dipatuhi. Guru yang asertif akan membantu
murid-muridnya untuk memahami bentuk tingkah laku yang dapat membawa kejayaan
dan tingkah laku yang menyusahkan dan ke arah kegagalan. Guru asertif tidak
membawa imej yang garang, kasar atau terlampau tegas. Mereka dapat mengenal
pasti peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh murid-murid dan pada masa
yang sama mengambil berat dan berlaku adil terhadap semua murid. Mereka
memberikan arahan dengan jelas dan tegas. Contohnya,‘Peraturan kelas kita
ialah angkat tangan untuk menjawab soalan’ atau ‘Angkat
tangan dan tunggu dengan senyap, cikgu akan panggil awak’.
Setiap jenis guru ini
akan memberikan kesan kepada pengurusan disiplin di dalam bilik darjah. Guru
yang agresif akan menjadikan bilik darjah suram dan tidak menyeronokkan dan
murid berasa takut dan terancam dengan perwatakan guru dan sering berasa tidak selesa.
Hal ini akan menjadi penghalang kepada hubungan baik antara guru dengan murid.
Hasilnya murid akan memberontak dan menunjukkan kelakuan negatif terhadap
pembelajaran dan guru.
Guru yang tidak
asertif pula akan menjadikan murid berasa kurang selamat dan berputus asa
di dalam bilik darjah. Guru dalam kategori ini tidak dapat memenuhi keperluan
murid dan seterusnya akan memberikan tekanan kepada kedua-dua belah pihak.
Kadangkala jenis guru tidak asertif ini suka bertindak dengan tegas dan
kadangkala hanya membiarkan sahaja tingkah laku tersebut berlaku di dalam bilik
darjah. Hal ini akan menyebabkan murid berasa keliru dan akan membuatkan hilang
rasa hormat murid terhadap guru.
Guru yang asertif pula
akan memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak guru dan murid. Guru
asertif memberikan peluang kepada guru dan murid untuk memenuhi keperluan
masing-masing. Mereka menggalakkan kerjasama dan membantu murid-murid
mengaplikasikan tingkah laku yang diingini. Guru boleh diharapkan untuk
memberikan jangkaan yang sesuai kepada tingkah laku dan kebolehan mereka. Guru
asertif bersifat konsisten, adil dan boleh memenuhi kehendak murid. Hal ini
dapat membantu membina persekitaran pembelajaran yang tenang dan menyokong
perkembangan pembelajaran murid.
Cara pengurusan
disiplin asertif dapat dirumuskan melalui konsep yang telah dibincangkan.
Canter mencadangkan guru-guru perlu membuat perancangan disiplin secara
bertulis dan formal yang menyatakan dengan jelas peraturan dan rutin,
pengiktirafan dan akibat daripada salah laku. Peraturan dinyatakan dengan jelas
tentang tingkah laku yang diingini daripada murid, iaitu tingkah laku ini boleh
diperhatikan dengan jelas oleh guru dan tidak berbentuk akademik seperti
meminta murid menghantar latihan yang sudah siap kepada guru dan mengambil
latihan pengayaan bagi memenuhi masa yang ada.
Menurut Canter,
pengiktirafan perlu digunakan selalu bagi meningkatkan konsep kendiri dan
keyakinan diri murid. Pengiktirafan dilihat merujuk kepada perhatian khusus
yang diberikan oleh guru apabila murid menunjukkan tingkah laku yang diingini.
Dengan cara ini, guru dilihat sebagai penggalak kepada tingkah laku yang
diingini dan boleh membina persekitaran pembelajaran yang positif. Cara
yang boleh digunakan untuk memberikan pengiktirafan kepada murid
termasuklah memberikan galakan, menghargai tingkah laku murid, memberikan komen
positif dan memaklumkan tingkah laku murid yang baik kepada ibu bapa.
Akibat atau tindakan
pembetulan boleh dikenakan kepada murid-murid yang mengganggu hak murid-murid
lain untuk belajar dengan selesa. Tindakan pembetulan bukanlah bertujuan untuk
mendera murid secara fizikal atau psikologi walaupun kadangkala tindakan
pembetulan akan menimbulkan rasa kurang selesa murid. Canter menegaskan
matlamat tindakan pembetulan dapat memberikan keadilan kepada semua dan
tindakan itu perlu konsisten. Apabila tindakan pembetulan hendak dikenakan
kepada murid, murid tersebut perlu diberitahu bahawa disebabkan tingkah laku
yang ditunjukkan oleh mereka bercanggah dengan peraturan yang telah ditetapkan,
maka tindakan pembetulan ini perlu dilaksanakan. Guru perlu merancang dan
melaksanakan pelan-pelan pengurusan disiplin bagi menjelaskan
peraturan-peraturam yang dilaksanakan.
Guru-guru boleh
menggunakan langkah-langkah bagi menerangkan pelan-pelan pengurusan disiplin
kepada murid-murid. Pertamanya, guru perlu menerangkan kepada murid-murid
mengapa peraturan-peraturan tersebut diperlukan. Hal ini bertujuan memberikan
pemahaman kepada murid-murid mengenai kehendak guru terhadap murid-murid.
Seterusnya, guru perlulah menerangkan kepada murid-murid bagaimana peraturan
yang telah dibuat itu perlu dilaksanakan supaya murid-murid faham dan jelas
akan tanggungjawab yang perlu dibuat berdasarkan peraturan tersebut. Guru perlu
menyemak kefahaman murid terhadap peraturan yang telah diterangkan. Guru perlu
menerangkan ganjaran yang akan diperoleh oleh murid-murid jika mengikut
peraturan ataupun melanggar peraturan. Seterusnya, tindakan pembetulan perlu
dikenakan kepada sesiapa yang melanggar peraturan dan guru harus menerangkan
dan menunjukkan mengapa pembetulan perlu dikenakan. Seterusnya, guru perlu
menyemak semula kefahaman murid sama ada murid lebih memahami atau sebaliknya
dan tindakan susulan perlu dilakukan sekiranya murid masih tidak memahami.
0 comments:
Post a Comment