PRINSIP PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
Menurut Mok Soon Sang(2009), pertumbuhan dikatakan berlaku dalam dua arah iaitu dari atas ke bawah dan dari tengah ke tepi. Misalnya, perkembangan dari arah kepala ke kaki (cephalocaudal), iaitu mengikut struktur dan fungsi (kepala dahulu sebelum badan dan kaki) dan dari arah tengah ke tepi (proximodistal), iaitu dari tengah menghala ke tepi anggota badan (tangan bergerak dahulu sebelum jari tangan bergerak).


Seterusnya, Mok Soon Sang menjelaskan bahawa perkembangan dan pertumbuhan boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu peringkat pralahir (prenatal) iaitu ketika dalam kandungan selama 9 bulan, peringkat bayi iaitu ketika berumur 0 hingga 2 tahun, peringkat awal kanak-kanak ketika berumur 2 hingga 3 tahun, peringkat pertengahan iaitu ketika kanak-kanak berumur 6 hingga 9 tahun, peringkat akhir kanak-kanak iaitu ketika berumur 9 hingga 11 tahun, peringkat awal remaja ketika berumur 11 hingga15 tahun, peringkat pertengahan remaja iaitu ketika berumur 16 hingga18 tahun, peringkat akhir remaja ketika berumur 18 hingga 21 tahun, peringkat dewasa ketika berumur 21 hingga 60 dan peringkat tua selepas berumur 60 tahun keatas. Perubahan dari segi bentuk fizikal dan tingkah laku saling berkait dengan proses perkembangan. Ini bermakna, perubahan ini melibatkan perubahan jasmani, emosi, mental dan sosial dari segi kuantiti serta kualiti.

Menurut Haliza Hamzah, Joy N. Samuel dan Rafidah Kastawi (2008), terdapat lima prinsip perkembangan kanak-kanak. Prinsip pertama, proses perkembangan berlaku mengikut aturan.Misalnya seseorang bayi pada peringkat awal boleh duduk dengan bantuan, kemudian merangkak diikuti dengan kebolehan berdiri dan seterusnya berjalan. Proses perkembangan bayi adalah sama dalam semua peringkat melainkan bayi yang lahir awal, mungkin akan lambat dalam beberapa aspek. Perkembangan juga bermula daripada konkrit kepada abstrak terutamanya dalam perkembangan kognitif dan bahasa.

Prinsip kedua, perubahan dalam pertumbuhan dan perkembangan beransur daripada keadaan umum kepada yang lebih spesifik.Contohnya, seorang bayi boleh menggenggam objek dengan tangan sebelum belajar menggunakan jari tangan.Pertumbuhan berlaku dengan otot-otot kasar terlebih dahulu sebelum beransur ke otot-otot halus.

Seterusnya, mereka menyatakan bahawa pertumbuhan dan perkembangan adalah satu proses yang berlaku secara berterusan. Dengan kata lain, pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak berlaku secara berterusan daripada lahir sehingga mati. Dalam proses perkembangan, seorang kanak-kanak akan menambah kemahiran sedia ada. Pada setiap peringkat, kanak-kanak akan mendapat kemahiran yang tertentu. Kemahiran yang ada padanya sekarang juga merupakan asas untuk mencapai kemahiran-kemahiran baru kelak.

Prinsip yang keempat pula ialah corak dan aturan perkembangan adalah hampir sama tetapi kadar perkembangan manusia berbeza untuk setiap individu. Sebagai contoh, sesetengah kanak-kanak dapat berjalan pada umur 10 bulan manakala ada yang hanya boleh berjalan pada 18 bulan. Ini akan menjejaskan perkembangan emosi dan sosial kanak- kanak tersebut.Perkara ini adalah salah satu faktor yang membawa kepada perbezaan antara manusia seperti yang kita dapat lihat di dalam sebuah bilik darjah.

Prinsip perkembangan yang seterusnya adalah perkembangan adalah hasil interaksi di antara kematangan dan pembelajaran.Kematangan adalah kemunculan potensi yang sedia ada dalam seseorang individu, misalnya merangkak, duduk, berjalan dan kemudian berlari.Ia dipengaruhi oleh faktor-faktor genetik. Pembelajaran adalah hasil daripada latihan, proses peniruan atau identifikasi dan memerlukan usaha.

Selain itu, mereka menyatakan bahawa proses pembelajaran membantu seseorang individu memperkembangan potensi yang sedia ada dalam dirinya. Misalnya perkembangan otot dan saraf anggota badan yang sempurna memungkinkan seseorang itu berenang tetapi dia hanya boleh berenang jika berlatih atau meniru cara-cara berenang.

0 comments:

Post a Comment