Faktor  Emosi
Faktor emosi amat penting dalam pengurusan bilik darjah. Faktor emosi melibatkan perasaan pelajar terhadap gurunya. Persepsi dan pandangan pelajar terhadap guru disebabkan oleh gaya kepimpinan guru.
Tingkah laku pelajar dalam bilik darjah akan mencerminkan gaya kepimpinan guru semasa bilik darjah. Terdapat tiga jenis gaya kepimpinan iaitu demokratik, autokratik dan laissez-faire. Selain daripada gaya kepimpinan guru, motivasi yang diberikan guru juga menyumbangkan emosi pelajar terhadap guru.

Gaya kepimpinan demokratik menekankan penglibatan bersama antara guru dan pelajar dalam setiap aktiviti bilik darjah.  Ini melibatkan perkongsiaan tanggungjawab antara guru dan pelajar. Contohnya,guru akan menggalakkan pembabitan pelajar dalam aktiviti P&P tanpa memerlukan desakan. Pelajar akan berasa seronok dan tidak tertekan dengan guru. Pencapaian pelajar juga dapat ditingkatkan dengan lebih tinggi. Oleh itu, iklim bilik darjah yang kondusif dapat diwujudkan.

Guru yang menggunakan kepimpinan autokratik merupakan guru yang tegas dan mengawal murid melalui hukuman dan ganjaran. Menurut Hook & Vass (2000), guru yang autokratik akan melahirkan pelajar yang pasif dan tidak berkuasa (disempowered). Interaksi antara guru dan pelajar juga adalah kurang kerana pelajar takut untuk menyuarakan pendapat. Kawalan kelas mungkin dapat dicapai namun iklim pembelajaran yang kondusif tidak dapat dicapai. Guru mengawal kelas menggunakan sistem hukuman dan ganjaran dan ini memberikan tekanan kepada pelajar kerana takut salah dan akan didenda oleh guru. Suasana bilik darjah akan menjadi tegang.

Guru yang menggunakan kepimpinan laisser-faire memberikan dan membiarkan pelajar menjalankan aktviti bilik darjah secara bebas. Ini menimbulkan masalah seperti bilik darjah yang tidak terurus, kucar kacir dan hubungan antara guru dan pelajar tidak mesra. Kawalan kelas adalah lemah dan sekaligus iklim belajar darjah adalah tidak kondusif.

Guru seharusnya bijak memilih gaya kepimpinan yang sesuai semasa memimpin bilik darjah. Perwatakan guru seharusnya mesra dan menyenangkan seperti penyayang, bertimbang rasa, lucu dan peramah. Pelajar akan lebih menghormati guru berperwatakan seperti ini dan hubungan mesra dapat dipupuk. Pelajar tidak akan tertekan dari segi emosi dan iklim bilik darjah yang kondusif akan diwujudkan. Guru juga boleh memberikan motivasi melalui peneguhan positif, memberi galakan, melibatkan pelajar secara aktif dalam P&P seta mewujudkan komunikasi dua hala.

Faktor Sosial
Faktor sosial merujuk kepada pembinaan peraturan, prosedur semasa menjalankan aktiviti, interaksi sosial dan rutin bilik darjah. Bilik darjah melibatkan interaksi antara guru, pelajar dan bahan. Interaksi yang baik antara pelajar dengan pelajar dan guru dengan pelajar akan menghasilkan suasana bilik darjah yang harmoni. Oleh itu, prosedur dan peraturan harus ditetapkan dalam memastikan iklim bilik darjah yang ideal.  Pembinaan peraturan amat penting dalam memberikan gambaran jelas mengenai tingkahlaku yang diharapkan semasa di bilik darjah. Contohnya, “dilarang berbuat bising semasa di dalam bilik darjah”, “hormati orang lain” dan sebagainya dapat memberikan mesej yang melatih tanggungjawab sosial pelajar. Jika pelajar mengikuti peraturan yang telah ditetapkan, maka iklim bilik darjah akan menjadi kondusif untuk proses P&P kerana mempunyai kawalan kelas yang baik. Peraturan bilik darjah juga dapat membantu mengalakkan interaksi antara pelajar dan persekitaran yang kondusif untuk belajar (Levin & Nolan, 1994). Hubungan antara dua atau lebih orang boleh dipengaruhi oleh peraturan dalam satu operasi (Wragg, 1994). Interaksi antara pelajar boleh dipupuk melalui pembinaan peraturan bilik darjah. Menurut Jones & Jones (1995), langkah pertama dalam merangka peraturan bilik darjah ialah untuk mengalakkan para pelajar berbincang untuk merangka peraturan bilik darjah yang boleh dipatuhi oleh semua pelajar. 

Selain itu, prosedur aktivti yang dijalankan dalam bilik darjah boleh meransang interaksi sosial pelajar. Contohnya, aktiviti perbincangan, kaedah Jigsaw, menjalankan eksperimen dan kerja berkumpulan boleh membantu perkembangan sosial pelajar dan kawalan kelas. Semasa menjalankan aktiviti dalam bilik darjah, guru perlu menetapkan rutin atau perkara yang boleh dilakukan oleh pelajar. Contohnya, semasa menjalankan aktiviti berkumpulan, guru menetapkan bahawa pelajar hendaklah melibatkan diri secara aktif dan memberikan kerjasama, tidak boleh merayau-merayau semasa berjalan aktiviti serta cara untuk mendapatkan bahan pembelajaran.


0 comments:

Post a Comment