FUNGSI MEDIA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Sesuatu media pengajaran dipilih berasaskan potensinya melaksanakan objektif pembelajaran dengan berkesan. Pengalaman pembelajaran seharusnya dimulakan daripada situasi/media sebenar yang lebih konkrik dan mudah difahami sebelum kepada situasi/media yang abstrak.


Antara fungsi media pengajaran ialah:
(a) Memperjelaskan Penyampaian Mesej
Anggapan, perkataan sudah memadai untuk menyatakan sesuatu mesej seringkali menyebabkan kita menghadapi pelbagai masalah komunikasi. Adalah lebih berkesan jika perkataan disertakan dengan gambar atau simbol yang lebih konkrit maknanya. Dalam era teknologi komputer dan maklumat ini, penjelasan akan lebih berkesan dan menarik seperti melalui penggunaan animasi, bunyi dan muzik dapat dilakukan.

(b) Mengatasi Batasan Ruang, Waktu dan Pancaindera
Antara contoh berkaitan dengan mengatasi batasan ruang, waktu dan pancaindera:
(i) Objek yang terlalu besar atau kecil boleh digantikan dengan model, gambar, transparensi, filem atau video.
(ii) Gerak yang terlalu lambat atau terlalu cepat dapat dibantu dengan timelapse atau high-speed photography.
(iii) Kejadian yang berlaku pada masa lalu dapat ditampilkan dalam bentuk filem, gambar foto mahupun secara lisan.
(iv) Objek yang terlalu kompleks (misalnya mesin) dapat ditunjukkan dalam bentuk model, gambar rajah, dll.
(v) Konsep yang terlalu luas atau abstrak dapat divisualkan.

(c) Penggunaan Media Pengajaran Secara Betul dan Bervariasi
Penggunaan media pengajaran secara betul dan bervariasi dapat mengatasi sikap pasif pelajar kerana ia menimbulkan minat, meningkatkan interaksi dan kefahaman pelajar tentang realiti. Pelajar juga boleh belajar sendirian, menurut kemampuan dan keselesaan masing-masing.

(d) Pengalaman dan Persepsi yang Sama
Walaupun kurikulum dan bahan pengajaran ditentukan sama bagi setiap pelajar, sifat unik yang ada pada setiap pelajar, ditambah dengan persekitaran yang berbeza membuatkan guru mengalami kesulitan. Keadaan ini dapat diatasi dengan media pengajaran kerana kemampuannya dalam memberikan rangsangan pengalaman dan persepsi yang sama. Misalnya, sebuah perisian kursus boleh digunakan berulang kali oleh pelajar tanpa merosakkan kandungan asal. Belajar secara berulang kali ini membantu pelajar membentuk persepsi yang sama dan tepat tentang sesuatu konsep atau prinsip.

0 comments:

Post a Comment