2.3 : PELAN INDUK
PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2006-2010
1.Membina bangsa negara
2.Membangunkan modal insan
3.Memperkasakan sekolah kebangsaan
4.Memartarbatkan profesion keguruan
5.Merapatkan jurang pendidikan
6.Melonjakkan kercermerlangan institut pendidikan
Pendahuluan
Modal insan berminda kelas pertama merupakan salah satu kunci utama untuk
membolehkan negara mencapai Wawasan 2020 yang telah digagaskan.
Merekalah yang
akan meningkatkan tahap produktiviti dan daya saing negara dalam mendepani
cabaran dan tekanan besar persaingan abad ke 21. Agenda membina dan memupuk
modal insan yang menjadi benih generasi masa depan ini amat bergantung kepada
kualiti sistem pendidikan negara. Justeru, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(PIPP) 2006-2010 telah dirangka untuk melaksanakan dan merealisasikan satu
sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP
telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi
pada 16 Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. PIPP 2006-2010
telah menggariskan enam teras iaitu membina Negara bangsa, membangunkan modal
insan, memperkasakan Sekolah Kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan
profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.
1. Membina negara bangsa
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia
adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara
bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem
nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara
bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme, lingua
franca, integrasi, kewarganegaraan dan demokrasi.
Cabaran globalisasi dan liberalisasi menuntut perubahan dinamik dalam system
pendidikan bagi melahirkan warganegara “glokal” yang bertindak bijak menghadapi
cabaran globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan local atau tempatan. Fokus
utama dalam membina negara bangsa mencakupi usaha-usaha seperti memperkasakan
bahasa kebangsaan sebagai asas perpaduan, integrasi nasional dan bahasa ilmu.
Fokus lain ialah memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa
serta memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan Islam Hadhari dalam
membentuk pemikiran kehidupan. Antara strategi untuk membina negara bangsa
ialah :
Menggerakkan gelombang baru gerakan memperkasakan bahasa kebangsaan. ·
Memantapkan pelaksanaan Dasar Buku Negara. ·
Menyelaras peranan semua pihak terlibat untuk menggiatkan aktiviti kebahasaan,
kesusasteraan, pengkaryaan, penterjemahan dan penerbitan. ·
Mewujudkan bulan bahasa dan sastera negara dalam usaha memperkasakan bahasa
kebangsaan. ·
Bagi memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, pelbagai usaha akan
dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat agar menghormati
Perlembagaan Malaysia, meningkatkan semangat patriotik melalui aktiviti
kokurikulum dan menanam semangat hormat-menghormati sensitiviti masyarakat
pelbagai kaum. Selain itu, memberi kefahaman menyeluruh tentang pentingnya
semangat kejiranan ke arah perpaduan dan integrasi nasional turut
dititikberatkan. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut menyusun program bagi
memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya melalui kurikulum kesenian,
membina sekolah seni, meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan,
Kesenian dan Warisan (KEKWA) serta membudayakan penggunaan tulisan jawi. Bagi
memupuk kefahaman yang jelas tentang pendekatan Islam Hadhari, pelbagai
aktiviti untuk bimbingan melalui siri ceramah, seminar dan penerbitan bahan
bacaan berkaitan Islam Hadhari akan dilaksanakan.
2. Membangunkan modal insan
Pembangunan modal insan bertujuan memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai
ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam
pelbagai jenis pekerjaan. Di samping itu, para pelajar akan dilengkapi
kemahiran, komunikasi berkesan, kebolehan menggunakan teknologi komunikasi
maklumat (ICT) dengan baik, berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta
mampu bertindak secara rasional, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat,
mempunyai nilai tinggi serta berupaya menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga
dan masyarakat. Bagi mencapai dasar dan matlamat tersebut, fokus pembangunan
modal insane sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah :
Mengadakan lebih banyak pilihan pendidikan kepada ibu bapa dan pelajar ·
KPM akan meneruskan kewujudan pelbagai jenis sekolah, aliran, mata pelajaran
dan bidang pengkhususan. Pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah
Agama Negeri (SAN) akan diteruskan. Pelaksanaan mata pelajaran vokasional (MPV)
di sekolah-sekolah akan diperluaskan. Peruntukan belanja mengurus akan
ditingkatkan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
Meningkatkan keupayaan dan minat pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan dan
kemahiran ·
Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah
Menengah (KBSM) akan dikaji semula agar lebih menekankan kemahiran berfikir
aras tinggi. Budaya cintakan ilmu pengetahuan akan dipupuk dengan menggalakkan
tabiat membaca. Penerbitan dan penterjemahan pelbagai jenis bahan bacaan sama
ada dalam bentuk bercetak atau bukan bercetak akan dipergiatkan. Bagi
menjayakan Program Pembestarian Sekolah, infrastruktur yang mencukupi akan
disediakan seperti komputer, televisyen dan cakera video digital (DVD). Bagi
memastikan program ini dapat beroperasi dengan lancar, program latihan dan
bimbingan akan diadakan iaitu Latihan Asas Penggunaan Komputer, Latihan
Penggunaan Komputer untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P), Latihan
Penggunaan Perisian Khusus dan latihan Penggunaan Televisyen Pendidikan (TVP)
dalam P&P. Beberapa pendekatan P&P baru akan diperkenalakn supaya
menarik minat para pelajar seperti program F1 Technology Challenge dan Robotik.
Memupuk pelajar supaya memiliki kemahiran dan ketrampilan ·
Kemahiran berkomunikasi merentas kurikulum dan kokurikulum dengan
memperbanyakkan aktiviti literasi dan secara langsung akan dipergiatkan. MPV
akan diperluas di sekolah-sekolah selain memastikan pelajar menguasai kemahiran
ICT. Bagi membina penampilan diri yang positif, aktiviti bina diri seperti
kerja berpasukan dan pembinaan karakter akan diperbanyakkan. Ceramah, seminar,
motivasi dan bengkel berunsur pembangunan insan akan ditingkatkan bagi memupuk
nilai-nilai murni, budi bahasa dan adab di kalangan pelajar. Kerja amal dalam
masyarakat setempat seperti di rumah orang tua dan anak yatim juga akan
diperbanyakkan. Aspek keselamatan, kesihatan dan kebersihan (3K) turut diberi
keutamaan. Program Amalan Kebersihan Sekolah turut dimantapkan sepanjang RMK-9.
Memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik ·
KPM akan mengubah penekanan peperiksaan awam daripada berasaskan kandungan
kepada kemahiran atau daripada bersifat ujian kepada kebolehan am. Bilangan
mata pelajaran dalam peperiksaan awam juga akan dikurangkan bagi mata pelajaran
tertentu. Sistem penggal akan dikaji semula dan digantikan dengan sistem
semester bagi menjadikan suasana persekolahan tidak berorientasikan
peperiksaan. Bagi memantapkan kualiti system pentaksiran dan penilaian,
standard prestasi kebangsaan bakal diperkenalkan untuk dibandingkan dengan
standard negara lain.
Memantapkan program kokurikulum dan sukan ·
Budaya bersukan dan kokurikulum akan diterapkan kepada pelajar dengan
menyediakan kemudahan serta peralatan sukan yang mencukupi di semua sekolah
tidak kira lokasinya. KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan
(KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melaksanakan program pembangunan
sukan lebih menyeluruh di samping mengenal pasti sekolah yang dapat dijadikan
Pusat Sukan Daerah dan Negeri. Bagi meningkatkan semangat patriotik, Rukun
Negara akan dipelajari dan dihayati dari peringkat awal persekolahan. Penubuhan
Kelab Rukun Negara akan dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah.
Memperkukuh disiplin pelajar ·
Kempen Anti Buli, Kempen Anti Ponteng, kempen melibatkan penglibatan ibu bapa
dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kempen Pencegahan Salah Laku
akan di perhebatkan. Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya 2005 akan
dilaksanakan di sekolah rendah secara berperingkat dengan menerapkannya ke
dalam mata pelajaran bahasa Melayu.
Mempercepat perkhidmatan sistem aduan masalah disiplin denganmempelbagaikan
saluran aduan terus. Saluran aduan terus akan dipelbagaikan termasuk talian
terus, e-mail, faks dan khidmat pesanan ringkas (SMS). ·
Memantapkan kurikulum ·
Pelaksanaan j-QAF kepada murid Islam dan Pendidikan Moral kepada bukan Islam
akan diperluaskan. Selain itu, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan akan
diperluas pelaksanaannya ke Tahap Dua sekolah rendah dan sekolah menengah.
Meningkatkan kerjasama KPM dengan pelbagai agensi. Ini akan dilakukan dengan
menjalankan pelbagai aktiviti bagi membangunkan modal insan. ·
3. Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
Dalam PIPP, tumpuan memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) diberi kepada sekolah
rendah. Ini kerana SK berperanan penting sebagai tapak untuk menyemai serta
memupuk perpaduan di antara kaum dari peringkat awal persekolahan. Ciri-ciri SK
perkasa ialah :
Infrastruktur lengkap dan berkualiti. ·
Pemimpin dan guru cekap, terlatih dan berkualiti, semua pelajar menguasai 3M. ·
Beraspirasi nasional. ·
Menawarkan bahasa Cina dan bahasa Tamil. ·
Pencapaian akademik cemerlang. ·
Sistem sokongan yang kuat dan mencukupi. ·
Iklim dan budaya sekolah yang sihat. ·
Penawaran dan pelaksanaan kurikulum berasaskan pelanggan. ·
Penawaran dan pelaksanaan kokurikulum yang berkesan. ·
Pencapaian sahsiah pelajar cemerlang. ·
4. Merapatkan jurang pendidikan di luar bandar
PIPP bakal merapatkan jurang pendidikan antara lokasi dengan membangunkan
infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar di seluruh negara. Selain
itu, ia turut memfokuskan peningkatan kadar penyertaan dan mengurangkan risiko
keciciran pelajar. Tumpuan akan diberi kepada sekolah-sekolah di pedalaman
Sabah dan Sarawak. KPM turut memfokuskan untuk mengurangkan jurang pencapaian
akademik dengan menambah bilangan komputer, TV Pendidikan, video
teleconferencing, SchoolNet, makmal komputer, kemudahan perkakasan, pengisian
dan tenaga kerja. Ini akan mengurangkan jurang digital yang wujud di kalangan
murid dan guru luar bandar. Beberapa langkah telah dikenal pasti untuk
meningkatkan penyertaan Orang Asli dan minoriti iaitu meningkatkan penguasaan
3M (membaca, menulis dan mengira).
5. Memartabatkan profesion perguruan
Guru-guru yang baru menamatkan pengajian perguruan dari maktab atau institusi
pengajian tinggi akan diwajibkan berkhidmat di kawasan pedalaman dahulu tanpa
sebarang pengecualian. KPM akan menambah baik insentif dan mewujudkan skim
insurans khusus kepada guru yang berkhidmat di pedalaman selain menyediakan
rumah guru dan kemudahan asas yang sempurna. Kurikulum Institut Pendidikan Guru
(IPG) secara berpusat akan digubal bagi memberi penekanan kepada elemen baru
dalam kurikulum pendidikan guru. Ia akan memberi focus kepada membangunkan
infrastruktur yang meliputi Pusat Maklumat Latihan Keguruan, Sistem Penyaluran,
rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Portal Pendidikan Guru dan
Total Campus Management System. Guru tugas-tugas khas bakal menikmati elaun
baru apabila PIPP 2006-2010 dilaksanakan sepenuhnya. Pelbagai keistimewaan
bakal dilaksanakan seperti mewujudkan laluan pantas untuk kenaikan gred DG
berasaskan merit dan prestasi akan dilaksanakan, kemudahan tempat tinggal di
kawasan pedalaman dan Bandar besar akan disediakan dan menempatkan guru
mengikut opsyen dan keperluan.
6. Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan
Bagi melonjakkan lagi kecemerlangan institusi pendidikan dalam system
pendidikan negara, dasar KPM adalah untuk mengadakan pendekatan, piawaian
dan penanda aras yang lebih tepat serta bersesuaian dengan ciri dan keperluan
kluster institusi pendidikan yang ada iaitu mengikut bidang khusus (niche
areas) masing-masing. Hal ini kerana pada masa ini terdapat pelbagai jenis
sekolah dalam sistem pendidikan negara. Institusi-institusi model yang dapat
dijadikan contoh akan dibangunkan supaya dapat dijadikan showcase di peringkat
antarabangsa. Ia bertujuan untuk membuktikan keupayaan sistem pendidikan negara
di samping membantu usaha untuk menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan
Pendidikan. Dalam pada itu, sebanyak 300 buah institusi pendidikan yang
menyerlah dan cemerlang dalam kluster institusi pendidikan tertentu akan
dikenal pasti dan dipilih mengikut elemen berikut :
Elemen utama (pencapaian purata, kokurikulum). ·
Elemen sokongan (pengurusan dan pentadbiran sekolah, ketrampilan guru,
pengurusan kewangan yang cekap, penglibatan ibu bapa dan masyarakat). ·
Kesimpulan
Dengan termeterainya PIPP 2006-2010, diharapkan bidang pendidikan bukan sahaja
dapat melahirkan modal insan yang berpengetahuan, kuat fizikal dan cerdik minda
tetapi juga mempunyai nilai-nilai yang sempurna dan murni untuk memikul amanah
bagi membantu memajukan negara. Modal insan yang mempunyai celik minda dan
nilai-nilai ditambah sangat penting untuk melakukan anjakan besar selain mampu
bersaing untuk berjaya. Negara perlu melahirkan lebih ramai Ulul-Albab
(pemikir) yang bersyukur kerana mereka merupakan golongan yang mampu
melaksanakan amanah bagi membawa kebaikan kepada negara.
Home
»
»Unlabelled
» PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2006-2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- EDU3101 Falsafah dan Pendidikan Di Malaysia
- EDU3102 Perkembangan Kanak-kanak
- EDU3103 Murid dan Alam Belajar
- EDU3104 Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku
- EDU3105 Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
- EDU3106 Budaya Dan Pembelajaran
- EDU3107 Bimbingan dan Kaunseling Kanak-Kanak
- EDU3108 Asas Kepemimpinan dan Perkembangan Profesional Guru
- EDU3109 Guru dan Cabaran Semasa
- FPK
- Frog VLE
- Isu semasa pendidikan
- Nota Temuduga SPP
- Penyelidikan Tindakan / AR
- Pro forma
0 comments:
Post a Comment