TEORI PERKEMBANGAN FIZIKAL KANAK-KANAK  UMUR 6-12 TAHUN

Perkembangan fizikal merujuk kepada perubahan saiz fizikal, kadar pertumbuhan bahagian-bahagian badan, fungsi anggota-anggota badan dan  perawakan manusia. Semasa pembesaran kanak-kanak akan mengalami perubahan dalam ketinggian, berat badan, menjadi lebih kuat dan dapat melibatkan diri dalam kegiatan fizikal yang lebih kompleks. Perubahan-perubahan ini mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak secara langsung dan tidak langsung.  


TEORI JEAN PIAGET

      Selain mengemukakan teori perkembangan kognitif kanak-kanak, Piaget juga turut mengemukakan teori perkembangan fizikal kanak-kanak. Bagi perkembangan fizikal peringkat akhir kanak-kanak yang berusia 7-12 tahun, beliau berpendapat kanak-kanak lebih berupaya mengawal otot-otot yang kecil dengan baik.
Seperti yang terkandung di dalam prinsip perkembangan kanak-kanak iaitu perkembangan  berlaku secara menyeluruh. Ini terjadi di mana otot-otot besar akan berkembang terlebih dahulu berbanding dengan otot-otot kecil. Jadi, pengawalan otot pada peringkat ini menjadi lebih baik setelah otot-otot kecil mula berkembang.

Teori yang dikemukakan Piaget ini dapat dibuktikan melalui tulisan kanak-kanak yang menjadi lebih kemas dan teratur.  Seorang kanak-kanak kecil bermula dengan menggenggam sebatang pensel sebelum dia dapat memegangnya, dan kemudian diikuti dengan menulis. Di sini, kita dapat lihat bagaimana berkembangan otot-otot kecil menjadi lebih baik serta mereka berupaya mengawalnya. Ketika bermain alat muzik juga memperlihatkan kawalan otot yang baik. Mereka sudah boleh bermain alat muzik dengan baik .Begitu juga semasa menggunakan pelbagai jenis alat pertukangan seperti penukul, paku dan sebagainya. Jika di Malaysia, penerapan penggunaan alat-alat pertukangan ini diterapkan ke dalam matapelajaran Kemahiran Hidup bagi kanak-kanak berumur 11-12 tahun. Antara lain, ketika peringkat ini pertumbuhan mata menjadi lebih baik berbanding dengan pertumbuhan jantung. Penglihatan yang lebih baik membolehkan kanak-kanak menjalankan kerja yang halus.


Selain itu,peringkat ini juga kanak-kanak lelaki lebih suka melibatkan diri dalam aktiviti yang kasar dan lasak seperti bertumbuk dan bermain kasar. Ini kerana mereka mempunyai kekuatan fizikal yang jauh lebih baik berbanding kanak-kanak perempuan. Mereka gemar bermain gasing, pistol mainan ataupun kapal terbang. Berbeza bagi kanak-kanak perempuan, mereka lebih pasif dan lebih gemar memerhati aktiviti kanak-kanak lain di sekeliling mereka. Mereka juga lebih suka kepada aktiviti menjahit , memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Ini  merupakan satu tempoh yang tenang sebelum berlaku lonjakan pertumbuhan bagi remaja.

TEORI ROBERT HAVIGHURST

Havighurst dalam bukunya Human Development and Education (1953) menyenaraikan tugas-tugas perkembangan kanak-kanak dari peringkat bayi hingga ke peringkat remaja., Antara tugas-tugas perkembangan kanak-kanak pada peringkat (6-12 tahun) ialah membentuk fizikal untuk permainan.
Mengikut Havighurst, kanak-kanak perlu belajar kemahiran fizikal untuk permainan biasa. Pada peringkat ini, pertumbuhan tulang dan otot kanak-kanak telah bersedia untuk seseorang individu mempelajari kemahiran yang lebih lasak menangkap, menendang, berguling dan juga berenang.  Ketika ini, kanak-kanak lebih cenderung untuk bermain atau melakukan sesuatu aktiviti yang lebih menggunakan tenaga kerana kanak-kanak pada ketika ini amat aktif. Oleh sebab itu, kanak-kanak memerlukan fizikal yang lebih kuat untuk melakukan aktiviti-aktiviti dan permainan yang lasak. Antara contoh permainan yang lasak adalah seperti bola sepak, berenang, menunggang kuda dan sebagainya. Melalui aktiviti-aktiviti seumpama ini, ianya dapat menguatkan otot, daya tahan serta membina pergerakan yang lebih cekap bagi perkembangan kanak-kanak pada peringkat umur ini.



Sebenarnya, jika mengikut ajaran Islam sendiri, aktiviti seperti berenang, memanah dan menunggang kuda memang amat digalakkan. Sebelum Havighurst memperkenalkan teori ini, Rasullullah SAW terlebih dahulu telah bersabda berkenaan galakan melakukan aktiviti dan permainan seumpama ini. Diriwayatkan oleh Thabrani dengan jayid bahawa Rasullullah SAW bersabda :
“Segala sesuatu yang tidak berkaitan dengan zikir, maka itu adalah senda gurau belaka, kecuali empat perkara : berjalannya seorang antara dua tujuan (memanah) latihan menunggang kuda, bersenda gurau dengan isterinya dan belajar berenang.”

Diriwayatkan dari Umar bin Khatab Radhiyallahu Anhu nahawa dia berkata :
            “Ajarilah anak kamu berenang, memanah dan berkuda secara lincah”

            Dari riwayat ini, jelaslah bahawa perkembangan fizikal ini telah disebut oleh Rasulullah SAW secara khusus. Bersesuaian dengan teori yang dikemukakan oleh Havighurst, pendidikan jasmani dan fizikal ini mempunyai peranan tersendiri dalam kehidupan kanak-kanak. Selain itu Havighurst berpendapat bahawa kanak-kanak pada peringkat umur ini  juga mula membentuk konsep diri yang sihat. Hal ini kerana badan yang aktif akan menjadikan tubuh badan kanak-kanak lebih sihat dan cergas. Kemahiran-kemahiran fizikal yang sudah tersemai dalam diri kanak-kanak memberi dorongan yang kuat kepada mereka bagi membentuk  konsep diri yang  sihat.



0 comments:

Post a Comment