TUJUAN KAUNSELING
Para profesional di bidang kaunseling dan psikoterapi
mempunyai pendapat yang berbeza tentang kaunseling dan psikoterapi.
Kaunseling mempunyai dua jenis tujuan, iaitu tujuan proses dan tujuan
terakhir.
Tujuan atau matlamat proses merupakan yang ingin dicapai dalam
masa yang singkat. Tujuan proses terus melibatkan klien di dalam proses kaunseling
sehingga kaunselor dan klien bersetuju bahawa klien tidak lagi memerlukan
perkhidmatan lanjut. Untuk mencapai tujuan proses ini, pertemuan awal
sangatlah penting kerana sekiranya klien tidak merasa selamat atau tidak
percaya dengan kaunselornya, maka dia tidak akan mahu meneruskan proses dan
perhubungan kaunseling tersebut.
Tujuan terakhir mementingkan hasil atau kesan
perkhidmatan kaunseling dalam jangka masa yang panjang. Tujuan terakhir
adalah perubahan atau perkembangan yang akan dialami oleh klien hasil daripada
perkhidmatan kaunseling. Di antara konsep yang diutamakan ialah kesedaran
kendiri, penyuburan kendiri, individu yang berfungsi sepenuhnya dan
kesejahteraan kendiri. Tujuan terakhir merupakan persoalan yang dihadapi
oleh manusia dan tidak terhad kepada individu yang mempunyai masalah sahaja,
bahkan merupakan tujuan setiap manusia yang ingin hidup dengan lebih bermakna,
berfungsi dengan sepenuhnya bergerak dan dinamik.
Lima tujuan kaunseling iaitu:
1.
Menolong
mengubah tingkah laku klien.
2. Menambahkan
kemahiran klien mengendalikan kehidupannya sendiri, terutama mereka yang
terlalu bergantung kepada orang lain atau terlalu bimbang dan ragu-ragu tentang
dirinya.
3. Menambahkan
kemahiran klien membuat keputusan pada saat-saat penting. Klien diharapkan
dapat menilai sesuatu situasi, membuat pemilihan dengan bijaksana, tahu
bagaimana dan mengapa keputusan tertentu mesti dibuat, apakah kemungkinan
akibat atau kesannya dan sedia menghadapi sebarang risiko akibat keputusan
tersebut.
4. Membaiki
perhubungan klien dengan ahli-ahli masyarakatnya. Ramai orang menghadapi
masalah dalam perhubungan dengan individu-individu lain. Masalah ini
mempunyai hubungan yang rapat dengan konsep kendiri, sama ada konsep kendiri
yang rendah atau sebaliknya. Diharapkan proses kaunseling dapat menolong
klien meningkatkan kualiti perhubungannya dengan orang lain, misalnya
perhubungan dalam keluarga, perkahwinan, rakan sebaya dan seterusnya dalam
masyarakat. Perhubungan yang berkesan meningkatkan mutu kesejahteraan kehidupan
individu.
5.
Membantu
perkembangan bakat klien. Kaunselor membantu klien mengenal pasti
kebolehan dan bakatnya supaya dia dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.
Kaunseling mementingkan perubahan yang tertentu tetapi
keseluruhan perubahan pada diri seseorang individu itu hingga menyebabkan dia
merasa sejahtera. Objektif kaunseling yang utama ialah untuk memberi
inspirasi kepada klien bagi menilai, membuat, menerima dan mengambil tindakan
terhadap pilihan atau keputusan yang dibuatnya. Bagi mereka, kaunseling
menolong klien mempelajari proses membuat keputusan, sehingga akhirnya dia
dapat membuat keputusan tanpa sentiasa mengharapkan bantuan orang lain.
Pelbagai tujuan telah diutarakan oleh mereka yang banyak pengalaman,
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini. Satu hakikat yang nyata ialah
tujuan itu tidak sama pada semua orang. Di dalam perkembangan proses
kaunseling, tujuan bagi seseorang klien itu mungkin diubahsuai dari semasa ke
semasa. Usaha membina tujuan mestilah dianggap sebagai suatu tindakan
yang tidak kaku, statik atau tetap; dan perlu dibuat penilaian bersama oleh
klien dan kaunselor mengikut keperluan klien.
Secara umumnya, bolehlah disimpulkan bahawa kaunseling
menolong seorang klien:
- Memahami diri dan situasinya;
- Mengenal pasti keperluannya;
- Menerima realiti hidupnya;
- Membuat rancangan yang realistik untuk mengendalikan hidupnya;
- Bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya;
- Dan seterusnya menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya.
Tujuan terakhir supaya klien bertanggungjawab ke atas
diri dan perbuatannya sehingga menjadi individu yang berfungsi sepenuhnya tidak
mungkin dapat dicapai dalam masa yang singkat. Ia merupakan tujuan hidup
setiap insan yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia. Walaubagaimana
pun tidaklah dapat dinafikan bahawa setiap klien dan kaunselor mempunyai
tujuan-tujuan jangka pendek yang lebih khusus yang ingin dicapai dalam masa
yang singkat.
Setiap manusia mesti dilihat menurut konteks sesuatu
situasi di antara diri dan situasi yang menimbulkan masalah-masalah berkenaan,
difahami bagaimana, mengapa dan kenapa, supaya dapat diterima hakikat yang
sebenar dan dapat dibina tujuan-tujuan hidup yang lebih realistik dan lebih
bermakna. Jika dilihat dari segi ini, tujuan juga merupakan suatu proses
yang dinamik, di dalam perjalanan hidup di dunia ini yang penuh dengan cabaran
dan ketidakpastian. Masalah individu yang berhubung dengan kerunsingan,
psikologi, peribadi dan ketidaksejahteraan, kebanyakannya berpunca dari dalam
diri individu itu sendiri kerana tidak memahami diri dan situasi serta tidak
mempunyai jangkaan atau harapan yang realistik terhadap hidup.
Persoalan-persoalan asas seperti siapakah aku, dari
manakah asalku, apakah tujuan hidupku, siapakah yang menjadikan aku, untuk
apakah aku dihidupkan dan seumpamanya sepatutnya diberi perhatian yang wajar.
Diharapkan klien dapat belajar mengendalikan hidupnya
sendiri daripada pengalaman dalam proses dan perhubungan kaunseling.
Dalam proses kaunseling, klien belajar tetapi kaunselor tidak mengajar.
Fungsi kaunselor adalah sebagai ‘pemandu’ yang pada mulanya diperlukan untuk
menunjuk jalan dan menemani klien dalam perjalanannya, memahami diri dan
situasinya serta mengenal pasti keperluannya. Setelah tujuan ini
tercapai, barulah fungsi dan peranan kaunselor tercapai dengan
sempurnanya. Semakin berkurangan sehingga sampai klien tidak lagi
memerlukannya kerana dia sudah dapat meneruskan perjalanannya sendiri tanpa
bantuan daripada kaunselor lagi.
Assalamualaikum. Ingin bertanya. Apakah yang dimaksudkan klien belajar tetapi kaunselor tidak mengajar? Kaunselor hanya memberi pandangan dan panduan sahaja?
ReplyDelete