Strategi membina hubungan positif guru-murid 

1. Bertindak selaku ketua pegawai eksekutif (CEO) 
Murid akan mencari sebab untuk menghormati dan mematuhi guru. Oleh itu guru perlu menyampaikan mesej bahawa gurulah yang sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengawal bilik darjah dan tingkahlaku murid serta layak dihormati. Walau bagaimana pun mesej ini tidak seharusnya disampaikan kepada murid dalam nada menyombong atau bongkak, autoritatif atau menggunakan pendekatan yang tidak telus.
Untuk mendapatkan keseimbangan antara boleh didekati tanpa menjadi kawan merupakan satu cabaran dan ia merupakan satu seni dalam bidang pengajaran.Guru perlu memaklumkan kepada murid tentang hak mutlak dirinya sebagai guru. Wujudkan sempadan hubungan tanpa kesediaan untuk melanggarnya. Guru perlu menggunakan peluang untuk membentuk peraturan perhubungan sejak awal sesi persekolahan setiap tahun. 

2. Menerima keindividualan murid 
Sekiranya guru bersikap jujur terhadap diri sendiri pasti guru akan mengakui bahawa dengan menerima murid sebagai dirinya dan sebagai individu merupakan satu lagi cabaran yang sukar. Setiap seorang murid mempunyai ciri unik yang tersendiri dan guru tidak seharusnya membuat generalisasi untuk mengatakan bahawa semua murid adalah sama. Guru boleh cuba memahami dan menerima murid-murid melalui pengumpulan maklumat menggunakan borang profil pada awal tahun. Maklumat yang dikumpulkan meliputi hobi, keluarga, impian, bakat, minat, perkara yang disukai dan tidak disukai. Gunakan masa untuk membaca profil murid dan gunakan maklumat yang diperolehi untuk mewujudkan hubungan dan berbicara secara casual dengan murid. Dengan cara menunjukkan minat untuk mengenali kehidupan murid, kebiasaan mereka serta membenarkan mereka “menari mengikut paluan gendang sendiri” merupakan strategi paling berkesan yang boleh digunakan untuk sampai dan membuka pintu hubungan dengan murid. 

3. Wujudkan komuniti di dalam bilik darjah. 
Bantu murid untuk mengenali rakan mereka dan juga diri guru sendiri. Semakin cepat guru dapat memberi kesedaran tentang banyaknya ciri kesamaan berbanding perbezaan di antara ahli kelas, semakin selesa pula murid dengan keadaan serta suasana bilik darjah dan kelas mereka. 

4. Beri peluang kepada murid untuk mengenali diri guru. 
Sesetengah guru tidak bersetuju dengan konsep ini kerana khuatir persamaan mungkin menyebabkan murid dan suasana jadi lebih tidak berdisiplin di dalam bilik darjah. Faktanya ialah semakin murid merasa selesa dengan gurunya, mereka akan merasa lebih selesa dan bersifat lebih terbuka dan boleh menerima. Beri peluang kepada murid untuk mengemukakan soalan yang mereka ingin tanyakan tentang guru. Pilih soalan-soalan yang boleh dikongsikan jawapannya. Gunakan sedikit waktu sebelum waktu pembelajaran tamat untuk menjawab soalan-soalan secara rawak. Guru boleh berseronok dengan aktiviti ini dan murid akan melihat guru sebagai seorang manusia sebenar dan bukan berpura-pura. 

Tidak menjadi kesalahan sekiranya guru dapat meluangkan sedikit waktu untuk bersama dalam aktiviti kokurikulum seperti perkhemahan, bermain bola di padang, menghias sekolah dengan bunga-bungaan dan pokok hiasan sambil berhibur, berbual atau berbincang atau memasukkan isi kandungan pelajaran secara santai. Bagi sesetengah murid, aktiviti bersama di sekolah menjadi pendorong untuknya hadir dan terus belajar di sekolah. 

5. Ingat nama kesemua murid dalam kelas dalam tempoh 48 jam. 
Kebanyakan murid merasakan diri mereka seumpama tidak wujud semasa berjalan di koridor sekolah tanpa berkomunikasi dengan seseorang. Lazimnya apabila berselisih dengan guru, muridlah yang memulakan komunikasi. Bagi murid yang pemalu, komunikasi permulaan ini tidak mungkin berlaku. Apabila guru boleh menegur murid, khususnya mereka yang pemalu dan pendiam dengan menggunakan nama mereka dan menunjukkan hubungan yang baik, murid akan merasa diri mereka wujud dan dihormati. Murid pula tidak akan merasakan guru sebagai seorang superior yang sombong atau autoriti yang menakutkan mereka. Setelah mengenali dan menghafal nama-nama murid, guru boleh gunakannya di mana-mana dan tidak lagi menggunakan gantinama ketika memulakan komunikasi seperti “Hei awak! boleh tolong cikgu angkatkan buku ini tak?”Sebaliknya penghormatan akan wujud apabila guru mengatakan “Qatratun Nada, boleh tolong saya bawakan buku ini ke kelas?”. Sesetengah murid akan merasa sungguh seronok apabila guru berupaya memanggil mereka menggunakan nama-nama mereka setelah dua hari berjumpa. Kesannya adalah amat besar terhadap perhubungan yang positif dan harga diri murid-murid. 

6. Perhatikan dan perbaiki elemen komunikasi bukan lisan. 
Kita semua tahu bahawa betapa lemah dan mengecewakan apabila seorang penceramah atau pembentang gagal menggunakan komunikasi bukan lisan dan bercakap umpama sebatang tiang yang tidak menarik minat serta terasing dan tidak ada hubungan dengan pendengar. Seorang guru yang mengajar dan memberikan penerangan umpama sebatang tiang yang tidak menimbulkan rasa ingin tahu, motivasi dan minat untuk memberikan perhatian kepada murid adalah seorang guru yang gagal dalam profesionnya. Bahasa badan, nada dan intonasi suara, kekuatan volume suara, mimik wajah dapat menyampaikan mesej tentang kesungguhan, keseronokan dan kepuasan murid. Sesetengah gerak bahasa badan dapat memudahkan kefahaman tentang perkara yang dibincangkan. 

Senyuman adalah sedekah dan tenaga yang digunakan untuk senyum adalah lebih kecil berbanding tenaga yang digunakan untuk menunjukkan raut wajah marah, bermuka masam dan merunsingkan. Senyuman merupakan satu petanda kesediaan untuk menerima dan bertenaga. Murid, khususnya mereka yang datang dari latar belakang sosioekonomi yang rendah, bergantung tinggi kepada komunikasi bukan lisan dan akan mendapatkan isyarat bukan lisan di sekeliling mereka. 

7. Layan semua murid dengan hormat sepanjang waktu. 
Apakah yang akan dirasakan oleh guru sekiranya bilik darjah menjadi sebuah tempat yang bebas daripada bising, jeritan dan laungan? Sebagai seorang dewasa yang matang guru boleh berperanan sebagai rol model kepada murid-muridnya. Walau bagaimana kecewa sekali seorang guru di dalam bilik darjah, guru tidak seharusnya menjerit atau merendah-rendahkan martabat murid dengan suara yang lantang dan tinggi. Apabila seorang guru menyelitkan adab dan akhlak yang baik dalam bilik darjah dan mengekalkan sikap secara konsisten, guru sebenarnya menunjukkan rasa hormat dan membantu murid untuk memahami kuasa positiviti dan interaksi yang sihat. 

0 comments:

Post a Comment