KLASIFIKASI PERSONALITI

Menurut Carl Jung (1875-1961), manusia boleh diklasifikasikan kepada tiga kumpulan berdasarkan personaliti peribadi iaitu introvert, ekstrovert dan ambivert.

(i) Personaliti introvert
Seseorang yang mempunyai personaliti ini mempunyai minat dan keupayaan yang tinggi menerokai dunia dalaman seperti pemikiran, perasaan dan pengalaman seseorang. Ia sentiasa suka berseorangan, merenung, memfokus terhadap dirinya, sukakan aktiviti solo, tekun, tegas, malu dan mempunyai pandangan hidup yang pesimistik . Golongan ini sentiasa menyimpan perasaan dan emosinya dalam situasi nyata, tidak banyak bercakap dan banyak masanya ditumpukan untuk mendengar pertuturan orang lain. 

(ii) Personaliti ekstrovert
Individu yang ekstrovert mempunyai minat yang tinggi terhadap dunia luar dan orang. Golongan ini merupakan individu yang ’out-going’, suka bercakap, peramah, mudah bergaul, tidak boleh diharapkan, optimis dan sentiasa sukakan keceriaan. Mereka suka melibatkan diri dalam aktiviti sosial kerana ini membolehkannya bergaul dengan orang ramai. 

(iii) Personaliti ambivert
Individu daripada kumpulan ini mempunyai trait daripada kedua-dua jenis personaliti. Mereka merupakan gabungan kedua-dua personaliti ini dan berkemungkinan bersifat seperti aktif, sensitif, optimistik dan suka kepada kehidupan teratur.

Teori personaliti lain yang mengkaji perkembangan personaliti manusia yang melambangkan diri setiap individu yang wujud di muka bumi ini. Teori psikoanalisis diasaskan oleh Sigmund Freud mempercayai personaliti manusia dibentuk semenjak manusia dilahirkan sehinggalah ke umur lima tahun. Terdapat tiga komponen personaliti iaitu id, ego dan superego untuk mengawal perlakuan

Freud juga mempercayai personaliti seseorang dipengaruhi oleh perkembangan psikososial seseorang. Teori yang bersifat biologi ini melibatkan perkembangan tenaga seksual (libido) dari satu peringkat ke peringkat yang lain. Perkembangan terencat apabila seseorang kanak-kanak mengalami trauma dan kesannya akan membuatkan mereka kurang berupaya berdepan dengan krisis dalam peringkat perkembangan seterusnya. 

(i) Peringkat mulut / oral ( lahir- ½ tahun)
Pada peringkat ini, personaliti lebih tertumpu pada id. Bayi dikawal oleh impuls biologi dan bersifat mementingkan diri. Mereka dikuasai sepenuhnya oleh naluri mereka. Pada tahap ini, kepuasan diperolehi oleh bayi pada bahagian mulut kerana bayi dikawal oleh prinsip seperti menghisap, menggigit dan menelan. Jika bayi mendapat layanan yang baik pada tahap ini, trait personalitinya sebagai optimistik, mesra dan mudah bekerjasama dapat dilihat namun sekiranya dia tidak mendapat kepuasan ini, personaliti individu yang pendiam, pasif dan suka merokok akan ditonjolkan. Manakala bayi yang tidak dapat kepuasan menggigit akan kuat bercakap, kasar, agresif, suka menggigit objek lain seperti kuku dan pensil.

(ii) Peringkat dubur ( 1 ½ - 3 tahun )
Pada usia ini, zon kelazatan beralih ke kawasan dubur dan melibatkan latihan tandas. Maka, membuang dan menahan air besar merupakan satu kepuasan. Kanak-kanak yang sering menahan dari membuang air besar akan berpersonaliti kedekut, merendah diri dan terlalu pembersih manakala kanak-kanak yang membuang air besar merata-rata akan berpersonaliti agresif, zalim, pengotor, suka membuat bising dan bersikap pelampau. Kanak-kanak pada peringkat ini perlu diberi peluang untuk berdikari, mempunyai autonomi dan tahu mengawal diri sendiri.

(iii) Peringkat qubul ( 3 - 6 tahun )
Pada peringkat ini, sumber kepuasan libido berpindah kepada organ kejantinaan.
Keadaan ini dapat dilihat apabila pada peringkat ini, kanak-kanak suka memegang organ seksnya . Ibu bapa yang selalu menghukum dan terlalu melarang anak-anak dari memegang organ seksnya akan menyebabkan anaknya pasif, pendiam, penakut, terlalu bergantung dan menurut perintah. Ibu bapa yang tidak melarang langsung akan menyebabkan anaknya berpersonaliti agresif, tidak bersopan santun, agresif dan kasar. Kanak-kanak juga akan menumpukan kasih sayang kepada insan yang berlainan jantina. Misalnya, anak lelaki dengan ibunya manakala anak perempuan dengan ayahnya. Oleh itu, ibu bapa harus peka terhadap perasaan anak. Mereka perlu membahagikan kasih sayang dan perhatian yang rata dan perlekatan pada tahap ini akan merenggangkan hubungan antara bapa dengan anak lelaki dan ibu dengan anak perempuan.

(iv) Peringkat latency
Peringkat ini bermula apabila kanak-kanak mula bersosial dan mengalihkan perhatian kepada orang lain selain daripada ibu bapa dan keluarga. Mereka perlu diberi peluang bergaul bagi memenuhi keperluan sosial mereka namun masih dalam kawalan ibu bapa. Kanak-kanak yang tidak merasai kepuasan berkawan akan menunjukkan tingkah laku yang negatif apabila dewasa kelak. Mereka sukar bergaul, mengasingkan diri, suka menyendiri dan terkongkong.

(v) Peringkat genital (selepas baligh hingga dewasa)
Tahap kejantinaan ini menampakkan semula kemunculan kecenderungan seks yang dialami semasa individu itu berada pada zaman kanak-kanak. Pada peringkat ini, remaja mula mengambil tahu dan menaruh minat terhadap rakan sebaya yang berlainan jantina. Pada waktu ini juga, remaja juga mula memikirkan isu berpasangan, perkahwinan dan masa depan. Individu pada peringkat ini akan cuba memuaskan segala apa yang tidak dapat dicapai pada masa zaman kanak-kanak dahulu seperti kepuasan seks pada zon mulut, dubur dan qubul. Ini akan mengakibatkan pembentukan personaliti yang dihasilkan oleh konflik-konflik yang berlaku pada zaman kanak-kanak menonjol dan menjadi dominan.

Kesimpulannya, dalam membentuk personaliti yang diinginkan, Freud percaya cara didikan dan layanan yang diterima oleh individu semenjak kecil sangat mempengaruhi personaliti seseorang. Oleh itu, ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling perlu membantu perkembangan kendiri kanak-kanak supaya mereka dapat mengatasi konflik-konflik yang timbul pada setiap peringkat perkembangan.
Teori trait iaitu personaliti, bentuk badan dan perlakuan juga menyumbang kepada pembentukan personaliti. Wiiliam Sheldon (1942) mengklasifikasikan tiga bentuk tubuh atau somatotip dengan tiga set personaliti. 

0 comments:

Post a Comment