PENGENALAN PERSONALITI 

Setiap individu tidak kira dewasa atau kanak-kanak mempunyai personaliti tersendiri. Personaliti atau sahsiah melambangkan ciri-ciri keperibadian individu dan mencirikan perbezaan antara setiap individu. Personaliti adalah sifat yang ada pada individu seperti cara berfikir, beraksi, beremosi, persepsi dan memperihalkan sifat-sifat fizikal, emosi dan mental setiap insan.Manusia dibezakan menerusi dua aspek iaitu kemampuan dan personaliti. Aspek kemampuan meliputi pencapaian dalam pembelajaran, kecerdasan dan bakat; manakala aspek personaliti meliputi watak, sifat, penyesuaian diri, minat, emosi, sikap dan motivasi. 

Kesimpulannya, personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan, cara bertindak, tingkah laku yang ditunjukkan dan cara seseorang itu berinteraksi dengan persekitaran dapat membantu mengenali personaliti seseorang. Justeru, perkembangan kanak-kanak amat berkait rapat dengan perkembangan kendiri dan dapat dibahagikan kepada dua aspek iaitu personaliti dan konsep kendiri. 

KONSEP PERSONALITI

Personaliti berasal daripada perkataan Latin, “persona” yang bermaksud topeng yang digunakan oleh penggiat seni semasa pementasan. Ia lebih dikaitkan sebagai watak yang ingin menonjolkan sifat baiknya di luaran dan menyembunyikan keburukannya melalui topeng.
Imam Al-Ghazali (1058-1111) banyak membicarakan tentang hati, akal dan nafsu. Dalam teori ini, kerohanian yang menguasai atau mengawal jasad manusia. Dalam Al-Quran juga terdapat istilah yang berkaitan dengan ilmu ini iaitu nafsu, hati dan akal. Fungsinya untuk mencari dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati dan menghampiri Allah s.w.t. Manusia dilahirkan dalam keadaan suci tetapi perubahan bergantung kepada akal, nafsu dan hati. Insan yang mempunyai personaliti yang sempurna apabila jasmani, akal dan rohnya seimbang. Al-Ghazali menekankan konsep Keabadian Jiwa atau ’Everlasting Nature of Soul’ yang wujud dalam agama dan mempercayai kehidupan selepas mati. 

Allport (1961) menyatakn personaliti sebagai satu organisasi dinamik sistem psikofizik yang ada dalam diri individu. Ia menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaian individu dengan persekitarannya. Crow dan Crow (1983) berpendapat, personaliti biasanya digunakan untuk menghuraikan perwatakan fizikal seseorang, corak pertuturan atau daya penarik yang dimilikinya.
Sigmund Freud mendefinisikan personaliti sebagai sifat-sifat yang mencerminkan diri individu yang bolah diperhatikan oleh orang lain atau merujuk kepada perasaan-perasaan yang dialami oleh seseorang dalam dirinya sendiri.
Kesimpulannya, personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. 

0 comments:

Post a Comment