KONSEP PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
Manusia adalah merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian.Manusia pertama yang hidup di muka bumi ini adalah Nabi Adam dan Hawa. Secara realiti dan hakikinya, setiap manusia pasti akan mengalami perubahan diri dan cara hidup dengan melalui proses pertumbuhan dan perkembangan mereka. Sifat perubahan ini tidak dapat diukur, tetapi jelas kelihatan berubah mengikut peredaran masa.Perkembangan berlaku daripada peringkat permulaan percambahan sel sehingga akhir hayat organisma.


Menurut Shaffer (1999) seperti yang ditulis oleh Kamarulzaman Kamaruddin(2009) dalam buku bertajuk Psikologi Perkembangan : Panduan Untuk Guru, perkembangan merupakan satu proses perubahan yang berlaku secara kompleks. Menurut beliau, perubahan secara kuantitatif adalah perubahan yang dapat diukur secara konkrit seperti pertambahan saiz, tinggi dan berat. Perubahan ini adalah perubahan kuantiti kerana ia dapat ditentukan dengan ukuran pada satu peringkat ke satu peringkat yang lain.

Santrock (2008) mentafsirkan perkembangan sebagai perubahan dalam corak biologi, kognitif dan sosioemosi individu yang bermula daripada peringkat percambahan sehingga ke akhir hayat.

Menurut Crow dan Crow (1980), perkembangan merupakan perubahan secara ‘kualitatif’ serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Pandangan ini turut disokong oleh Atan Long (1980).

Menurut Karl E. Garrison pula, perkembangan terhasil daripada tindakan yang saling berkait antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Semua perkembangan itu sama ada berbentuk struktur, kemahiran tingkah laku ataupun sahsiah, adalah mengikut beberapa aturan semula jadi dan bersifat sejagat.

Selain itu, Paul Eggan dan Don Kauchak pula berpendapat perkembangan adalah perubahan yang berurutan dan kekal dalam diri seseorang hasil daripada pembelajaran, pengalaman dan kematangan.

Secara ringkasnya, Mok Soon Sang(2008) menjelaskan bahawa perkembangan ialah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat daripada sifat baru yang berlainan daripada peringkat lebih awal.

0 comments:

Post a Comment