Peranan sekolah dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
a)  Pentadbiran
Pentadbiran sekolah yang diketuai oleh guru besar merupakan orang penting dalam memajukan institusi pelajaran di Malaysia. Mereka perlu berfikiran kreatif dalam pengurusan dan berhubungan dengan guru dan juga murid. Mereka bertanggungjawab menetapkan falsafah sekolah, membentuk wawasan sekolah, membentuk visi dan misi sekolah yang berlandaskan FPK.


Sekolah yang berkesan dapat dilihat berdasarkan stail kepemimpinan yang bukan sekadar mampu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan tetapi juga harus mampu membawa perubahan. Justeru itu, di mana-mana sekolah, guru besar merupakan individu yang paling berpengaruh dan bertanggungjawab terhadap sesuatu perubahan.
Di sekolah, banyak cara boleh dijalankan untuk membentuk sifat kepimpinan di kalangan murid dan ia termasuklah latihan formal dan latihan tidak formal. Latihan formal ialah latihan yang diperolehi dari kursus, seminar, bengkel dan sebagainya yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Sebaliknya, latihan tidak formal boleh didapati dari pengalaman aktitiviti atau kerja-kerja yang dibuat sehari-hari adalah dipercayai latihan-latihan ini akan meningkatkan potensi memimpin seseorang murid. Pihak sekolah boleh menggunakan perbelanjaan untuk program latihan kepimpinan seperti kem persatuan, kem badan beruniform, seminar ataupun kursus yang dapat mencungkil bakat kepimpinan murid.

b) Budaya Sekolah
Budaya sekolah dibahagikan kepada tiga aspek iaitu fizikal, sosial dan penggunaan bahasa. Namun, guru dan pihak sekolah memainkan peranan penting dalam membentuk budaya sekolah. Dari segi fizikal, kebersihan dan keselamatan dipentingkan. Bangunan dan kawasan sekolah yang bersih serta pakaian murid yang kemas dan keindahan kawasan sekolah dengan adanya taman bunga atau hiasan lukisan dinding memberikan keselesaan kepada orang. Keselesaan dapat diwujudkan dengan jadikan gangguan-gangguan kepada proses pengajaran dan pembelajaran pada tahap minimum. Malah, langkah-langkah keselamatan harus diambil dan peraturan keselamatan harus sentiasa digubal demi menjaga keselamatan sekolah dan murid.
Dari segi aspek sosial budaya sekolah pula, pelbagai nilai murni dapat dipupuk di kalangan murid. Contohnya, guru boleh menerangkan kebaikan jika murid mengamalkan nilai murni tersebut serta kepentingannya melalui sesi moral atau aktiviti kumpulan yang dijalankan. Dari segi aspek penggunaan bahasa pula, bahasa-bahasa asas haruslah diajar agar murid dapat menguasai asas bahasa untuk bertutur dan menulis. Contohnya penggunaan Bahasa Melayu yang baik dan betul di dalam dan luar bilik darjah mendatangkan faedah. Unsur intelek dapat diperkembangkan dengan budaya sekolah di kalangan murid. Sebagai contohnya budaya membaca buku, membaca surat khabar dan bahan rujukan luar, budaya kaunseling atau budaya sukan, ia dapat membentuk kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira di kalangan murid. Dengan mangamalkan amalan tersebut, mereka akan sering berusaha untuk memperoleh dan mengembang ilmu pengetahuan.
c) Ko-Kurikulum
Ko-kurikulum merupakan suatu program pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan, untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.
Penglibatan murid dalam ko-kurikulum dapat memupuk perkembangan diri pelajar melalui aspek psikomotor, kogmitif dan efektif. Ini juga dapat mengembangkan bakat, potensi dan minat dalam bidang atau kegiatan yang dipilih. Selain itu, dalam objektif perlaksanaan ko-kurikulum, ia dapat meningkatkan penguasaan kemahiran asas murid dalam bidang-bidang yang dipilih, kebolehan mengurus dan kepimpinan. Penglibatan dalam ko-kurikulum turut membantu proses penyuburan diri bagi menjadikan pelajar warganegara cemerlang yang berilmu pengetahuan, pengalaman, kemahiran asas, kebolehan mengurus, dan kebolehan memimpin. Ini boleh memberi kesempatan kepada murid-murid memperolehi pengetahuan, pengalaman, kemahiran asas, keboleahan mengurus dan kebolehan memimpin.
Guru dan pihak sekolah boleh menerapkan nilai murni dan melahirkan insan yang seimbang dan harmonis melalui ko-kurikulum. Maka, mereka haruslah memberi tumpuan utama kepada pengembangan watak, peribadi dan sahsiah murid. Ia juga diperlukan untuk memupuk nilai-nilai kewarganegaraan supaya hasrat untuk mewujudkan perpaduan rakyat dan identiti kebangsaan boleh dicapai.  Malah, aktiviti lain yang mencabar seperti berkhemah di hutan, berkayak dan sukan membolehkan murid menguasai kemahiran tertentu, mengisi masa lapang dengan lebih berfaedah serta mewujudkan perpaduan.
d) Guru
Perkhidmatan seseorang guru adalah amat penting kepada masyarakat untuk mendidik generasi muda. Seseorang guru haruslah sentiasa mementingkan perkhidmatannya lebih daripada kepentingan diri sendiri. Contohnya ialah guru-guru sekolah rendah mengorbankan masa cuti sekolah untuk menghadiri kursus KBSR serta menyediakan alat bantu mengajar sehingga larut malam.
Sebagai seorang guru, dia harus mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid. Mereka seharusnya bersikap adil terhadap murid tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, keturunan dan agama. Malah, mereka juga haruslah menunjukkan cara berpakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada murid.
Seseorang guru juga harus menunjukkan tanggungjawab terhadap ibu bapa dengan berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumah tangga. Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara juga penting. Seseorang guru haruslah memberi sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawan masyarakat.
Guru bertanggungjawab dalam memupuk setiap murid dengan sikap dan nilai yang dapat membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang baik. Guru haruslah banyak mendedahkan murid-muridnya kepada ilmu pengetahuan melalui buku atau rujukan serta menerangkan kepada mereka tentang kepentingan ilmu pengetahuan. Malah, guru juga boleh menceriakan suasana pembelajaran dengan menggunakan cara mengajar atau alat bantu mengajar yang lebih menarik untuk menarik minat membaca murid-murid.
e) Prasarana
Suasana sekolah yang selesa, tenteram, mesra, riang di mana proses pengajaran dan pembelajaran boleh dijalankan dengan lancar perlu diwujudkan dengan membekalkan prasarana yang lengkap. Kemudahan prasarana yang sedia ada kini perlu diubahsuai atau dinaiktaraf sesuai dengan keadaan masa kini. Perubahan kemudahan-kemudahan ini perlu supaya murid-murid mendapat peluang mengembangkan potensi mereka dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial, secara menyeluruh dan seimbang. Selain itu juga perubahan aktiviti budaya yang kondusif amat sesuai dalam usaha untuk mewujudkan corak pembelajaran yang sihat dan bermakna kepada murid.
Perubahan iklim sekolah yang kondusif untuk juga dapat melahirkan murid-murid yang mencintakan ilmu sekiranya prasarana yang disediakan menarik minat mereka untuk membaca. Contohnya menyediakan computer cyber yang dilengkapi dengan latihan atau nota yang berkaitan dengan pelajaran. Secara tidak langsung, daripada kemudahan prasarana yang disediakan dapat membentuk budaya membaca di kalangan mereka.
f) Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan amat penting untuk dijadikan satu garis panduan dan rujukan kaum pendidik semasa mereka melaksanakan tugas-tugas pendidikan serta fungsi-fungsi pendidikan masing-masing. Akhirnya, setiap pendidik harus berpegang kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab profession mereka. 

0 comments:

Post a Comment