Falsafah
Pendidikan Islam
Sebelum
kita meninjau Falsafah Pendidikan Islam, adalah lebih elok diperincikan dahulu
tentang Falsafah Islam itu sendiri dan juga asal perkataan falsafah.
Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani Kuno, dan dalam pengertian
yang bebas ia bermaksud "Cintakan Hikmah"(Al-Syaibany, 1991) Hikmah
ialah satu pandangan dan fikiran yang tinggi atau jauh serta matang.
Pengamatannya tidak dapat dicapai oleh pengetahuan biasa.
Dalam Oxfort
Dictionary (1982) ditakrifkan falsafah sebagai:
"Seeking after wisdom or
knowledge especially that which deals with ultimate reality, or
with the most general causes and principles of things and ideas and human
perception and knowledge of them, physical phenomena and ethics"
Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran, (seeking the
thruth), dan kebenaran itu sebenarnya hanya Allah. Kalau kita cuba
mencari erti hakikat hidup, maka ini adalah falsafah. Hakikat hidup yang
sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Yang kita tahu berdasarkan
apa yang diberitahu oleh Allah, maka itulah yang benar dan mutlak. Yang
kita fikirkan sendiri menjadi falsafah kita dan tidak bersandarkan kepada kitab
Allah, maka itu tidakalah sebenar, ia tidak mutlak dan ianya bersifat
relatif. Sebab itu bermacam-macam falsafah timbul hasil pemikiran
manusia. Seperti Liberalisme, Idealisme, Asetisme,
Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak lagi. Jika
falsasfah itu berpunca daripada Allah atau wahyu, maka ia akan sama sahaja
perinsipnya dan juga matlamatnya.
Falsafah Islam ialah falsafah yang
berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi apabila seseorang Islam
yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada falsafah
hidup atau falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain, perbincangannya tidak
akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam. Sebaliknya, seorang Islam yang
tidak memahami hakikat Islam, malah ia telah lebih dahulu mendalami falsafah
lain daripada Islam, menjadi sangat susah ia menerima falsafah Islam.
Malah falsafahnya yang dikatakan Islam itu dalam banyak hal bertentangan dengan
kehendak Islam.
Jika falsafah itu diertikan dengan "cintakan hikmah atau kebenaran"
maka falsafah Islam bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang berasaskan
ajaran Islam. Dan ajaran Islam itu bersumberkan wahyu, iaitu
Al-Quran dan As-Sunnah. Failasuf Islam dari setiap zaman, apabila
membincangkan tentang falsafah biasanya mereka tidak akan lari daripada soalan-soalan
berikut sebagai asas perbincangan, iaitu: Siapa anda (apa hakikat diri
anda)? Dari mana anda datang? Kenapa anda berada di sini (alam dunia)?
Kemana anda akan pergi? Apa tujuan hidup? Dan apakah hakikat mati?
(Yaljin, 1991).
Perkataan hikmat disebut beberapa kali di dalam Al-Quran dengan maksud yang
berbeza mengikut qarinah ayat berkenaan. Hikmah ada kalanya bermaksud
bijaksana (surah An-Nahli 125). Mengikut Muhammad Nasir (1978) hikmah di
sini bermaksud mengenal golongan. Sheikh Muhammad Abduh pula berkata
bahawa "Hikmah itu ialah memahami sesuatu tentang rahsia dan
faedahnya".
Untuk memahami sesuatu tentulah memerlukan ilmu, kerana ilmulah penyuluh untuk
mengenal sesuatu. Jadi ilmu ini tentulah ilmu yang benar. Dalam
versi yang lain Muhammad Abduh mengatakan bahawa "Hikmah itu ilmu yang
benar yang menjadi pengerak untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang
berfaedah"
Orang yang mempunyai hikmah ini digelar "Hakeem". Ia bermaksud
orang yang mahir dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cukup baik dan
halus (Muhammad Nasir, 1978). Adakalanya hikmah itu bermaksud ilmu, iaitu
ilmu yang tinggi martabatnya. Ini berdasarkan ayat 269 surah al-Baqarah.
Orang yang mempunyai hikmah mempunyai pandangan yang jauh, bukan setakat lima
atau enam puluh tahun ke hadapan, tetapi sampai ke alam akhirat. Ini
jelas seperti cerita Luqman al-Hakeem di dalam Al-Quran.
Falsafah Islam cuba maencari hakikat manusia dan alam semesta ini.
Setelah berusaha mencari dan berfikir berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan
bahawa manusia dijadikan oleh Allah untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan
khalifah, kemudian mereka akan mati dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab
dan amanah yang diberikan oleh Allah. Ini adalah berdasarkan kepada
ayat-ayat 55 surah Az-Zariyat, 30 Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan
lain-lain.
Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh
Ialam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah
Pendidikan Islam (Al-Syaibany, 1991). Jadi, maksud daripada Falsafah
Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan dan ilmu pengetahaun yang
cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui
cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan
khalifah Allah. Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini
dengan baik maka jadilah ia insan yang saleh.
Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang
berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam
kurikulum pendidikan. Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman
dan sebagainya, yang mana setelah menjalani pendidikan beberapa lama akan lahir
seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan
segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun,
pandai berkawan sama ada dengan orang Islam atau pun bukan Islam.
Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam
ialah:
Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal,
Pendidikan Jasmani, Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan
Keibubapaan, Pendidikan Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi.
Jadi, berdasarkan falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan diatas itu
perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan
Islam. Dengan demikian, barulah dapat melahirkan insan soleh yang mampu
melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna
seperti yang dibincang dalam Matlamat Pendidikan Islam. Penyataan
Falsalah Pendidikan Islam yang digubalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia,
nampaknya ada unsur untuk menuju ke arah ini.
Konsep
Pendidikan Islam
Pendidikan
Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid berdasarkan ajaran Islam. Mendidik juga
bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang anak itu menjadi
baik. Baik di sini tentulah baik pada pandangan Islam.
Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan.
Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi
memberi pendidikan.
Mendidik ialah kata-kata nasihat
supaya murid melakukan sesuatu yang baik. Menasihati murid supaya
melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah
pendidikan. Menasihati
murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan. Menjaga
kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan
Islam. Kekemasan diri, bilik darjah, kawasan rumah,
juga tuntutan Islam. Menasihati pelajar atau murid melakukan semua ini
ialah pendidikan Islam namanya.
Berdasarkan kepada takrifan ini
bermakna, tugas pendidikan Islam bukan terletak kepada ibu bapa dan guru
agama sahaja, malah kepada semua orang Islam. Kalau di rumah, ibu bapa
dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam. Manakala
di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi
pendidikan Islam kepada semua murid Islam. Guru agama atau istilah
sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya; pertama
menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan
Islam. Masyarakat pula
bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam
masyarakat. Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan,
urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya.
Kalau di sekolah guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik atau
sesuatu suruhan Tuhan, seperti solat, tutup aurat dan sebagainya, manakala
dirumah ibu bapa tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut
kehendak Islam, bermakna ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan pendidikan
Islam dalam aspek tersebut. Sama juga dengan sekolah.
Jika guru Pendidikan Islam mengajar dan mendidik pelajarnya dengan
perkara-perkara yang dituntut oleh Islam seperti di atas, tetapi guru lain
tidak melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik pelajarnya yang beragama
Islam supaya menghayati ajaran Islam. Ini bermakna, guru tersebut tidak
mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam.
Demikian jugalah dengan masyarakat. Jika masyarakat tidak membanteras
segala perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang wujud dalam
masyarakat tersebut, sebaliknya menganjurkannya pula, bermakna masyarakat
tersebut tidak mendidik anak buahnya dengan pendidikan Islam, malah sebaliknya
meruntuhkan Islam. Kalau inilah yang berlaku, pendidikan Islam yang
dilakukan oleh guru Agama dalam bilik kelas itu tidak akan berkesan.
Dengan demikian, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat,
seperti keruntuhan akhlak dan sebagainya, maka jangan disalahkan orang
lain. Kerana itu yang dikehendakai oleh ibu bapa, guru dan masyarakat.
Setiap orang akan menegakkan benang basahnya dengan mengatakan ia betul dan
orang lain yang salah seperti cerita bangau oh bangau, tetapi kita lupa, bahawa
setiap orang akan menjawabnya di hadapan Tuhan.
Malah, dalam pengajaran Pendidikan Islam itu sendiri, jika guru tidak
hati-hati, guru hanya menyampaikan maklumat atau pengetahuan Islam sahaja, guru
berkenaan tidak mendidik dengan pendidikan Islam. Misalnya, guru
Pendidikan Islam atau guru agama mengajar pelajarnya dengan tajuk Syarat Wajib
Jumaat. Di akhir pelajaran pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat
tersebut, maka ini baru tercapai objektif pelajaran. Guru tersebut,
sebenarnya belum lagi mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam.
Pendidikan itu ialah kata-kata nasihat supaya pelajar menghayati ajaran
Islam.
Kalau dalam tajuk ini, guru hendaklah menasihati pelajarnya (lelaki) supaya
menunaikan solat Jumaat. Lebih baik lagi, guru mengiringi pelajar ke
masjid. Dan sebelum ke masjid, guru patut juga mendidik
pelajarnya. Iaitu menasihatkan pelajar supaya jangan bising di
masjid. Duduk dengan tertib di dalam masjid dan membaca apa-apa zikir
yang baik, seperti membaca al-Quran atau selawat ke atas nabi. Jika ini
berlaku, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan Islam.
Demikianlah seterusnya dalam tajuk-tajuk yang lain, atau pun
pelajaran-pelajaran yang lain yang bukan mata pelajaran agama. Bagi guru
yang kreatif, ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya.
Ini bermakna,
bahawa pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud. Pertama bermaksud
pendidikan Islam khusus. Iaitu yang merangkumi pelajaran tradisional seperti
aqidah, ibadah, tafsir, sejarah, hadis dan sebagainya. Kedua ialah
pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi semua kata-kata nasihat yang
boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata
pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup. Inilah yang dikatakan pendidikan
Islam.
0 comments:
Post a Comment