PEMBENTUKAN
FALSAFAH PENDIDIKAN
Dari sudut sejarah, falsafah pendidikan negara lahir
daripada proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan bangsa dan negara
Malaysia semenjak merdeka lagi. Umum mengetahui bahawa falsafah pendidikan
negara yang dirumuskan pada tahun 1988 dan disebut dalam Akta Pendidikan 1996
berbunyi:
Pendidikan
di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk
melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat
dan negara.
Falsafah pendidikan negara ini mengambil inspirasi
daripada proses pembangunan bangsa dan negara yang agak panjang. Apa yang
digariskan dalam falsafah ini juga amat berkait rapat dengan perkembangan dunia
Islam dan pembangunan negara Malaysia. Perbandingan falsafah ini dengan
resolusi atau konsensus sedunia Persidangan Dunia mengenai Pendidikan Muslim
Pertama yang diadakan di Jeddah, dari 31 Mac hingga 8 April 1977 tidak jauh berbeza,
petikan daripada ulasan Mohd Kamal Hassan (1988) dalam bukunya Pendidikan
dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu.
Menurut beliau, pengisytiharan Makkah mengenai matlamat
pendidikan adalah meliputi “perkembangan yang seimbang dalam keseluruhan peribadi
insan melalui latihan rohaniahnya, intelek, rasional, perasaan dan indera.”
Sumber kepada pendidikan berkenaan adalah sumber wahyu dan akal sebagaimana
yang diutarakan dalam konsensus Persidangan tersebut. Faktor keseimbangan dan
kesepaduan dalam resolusi ini dapat dimanifestasikan dalam falsafah pendidikan
negara yang dirumuskan 11 tahun kemudian. Sejarah pendidikan juga memainkan
peranan dalam membentuk falsafah berkenaan. Dalam Akta Pelajaran 1961 yang
dilaksanakan berdasarkan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 ada
dinyatakan permulaan kepada falsafah pendidikan negara. Walaupun begitu, ianya
tidak luas dan hanya sesuai dengan zaman pembangunan negara pada tahun-tahun
1970an dan 80an.
Dasar Pelajaran Kebangsaan lebih menjurus kepada usaha
kerajaan menyatupadukan semua kaum:
Tujuan
Dasar Pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak
daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan menggunakan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat
dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur
ansur.
Penyata
Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Laporan Rahman Talib 1960 dan Akta
Pendidikan 1961 yang memungkinkan lahirnya Dasar Pelajaran Kebangsaan ini boleh
dirumuskan sebagai milestone kepada zaman pengukuhan dan
kemaskini dalam sistem pendidikan negara.
Dasar Pelajaran Kebangsaan ini mula diolah kembali bagi
menyesuaikan negara kita dengan perkembangan zaman. Laporan Kabinet 1979 adalah
permulaan kepada pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih jelas.
Sebahagian ciri-ciri Laporan Kabinet 1979 lebih banyak menumpukan kepada
penegasan kepada pendidikan asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), pendidikan
kerohanian dan kurikulum ala, Malaysia.
Zaman
pensejagatan atau globalisasi merupakan satu cabaran baru bagi sistem
pendidikan kita. Lahirnya Akta Pendidikan 1996 adalah satu sahutan kepada
cabaran berkenaan. Buat pertama kalinya, dapat dilihat pelbagai pengukuhan dan
penegasan dilakukan oleh pihak kerajaan termasuklah teras kepada sistem
pendidikan iaitu falsafah pendidikan negara. Pendidikan bertaraf dunia atau
Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dijadikan objektif sistem pendidikan masa
kini sebagaimana maksud beberapa akta pendidikan yang lain.
Buat
pertama kalinya, jelas menunjukkan bahawa bukan isu perpaduan sahaja sebagai
isu utama yang perlu diselesaikan akan tetapi isu yang lebih global seperti
keperluan guna tenaga dan keterampilan ilmu yang sesuai dalam zaman. Apatah
lagi, zaman ini dikenali sebagai permulaan gelombang maklumat dan pengetahuan.
Buat pertama kalinya juga, pendidikan swasta sebagai rakan penyumbang dan ahli
dalam sistem pendidikan kebangsaan diberikan perhatian yang sewajarnya. Era
pra-1996, institusi pendidikan swasta boleh dianggap marginal dan
tidak diiktiraf.
Dalam
zaman pengukuhan dan kemaskini, sistem pendidikan kebangsaan hanya merangkumi
institusi pendidikan yang ditubuh dan diurus oleh pihak kerajaan termasuk
institusi pendidikan vernakular. Dalam zaman pensejagatan ini, sistem
pendidikan kita merangkumi pendidikan pra-sekolah sehingga ke pendidikan tinggi
awam dan swasta. Barangkali, inilah yang dikatakan pendekatan perpaduan yang
lebih relevan iaitu dengan merangkum semua bentuk dan peringkat institusi
pendidikan dalam negara untuk dikawalselia secara lebih menyeluruh dan
bersepadu.
Berikut
disenaraikan beberapa perkara penting yang terlaksana dalam Akta Pendidikan
1996:
(a)
Landasan dan wawasan pendidikan adalah berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan
Negara,
(b)
Sistem Pendidikan Kebangsaan didefinisikan secara jelas yang meliputi semua
peringkat termasuk pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pendidikan
pascamenengah dan pendidikan tinggi,
(c)
Pengukuhan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam sistem
pendidikan kebangsaan,
(d)
Pendidikan swasta dikawalselia melalui akta lain,
(e)
Kurikulum kebangsaan diperuntukan,
(f)
Peruntukan peperiksaan awam yang perlu dipatuhi,
(g)
Bahasa kebangsaan sebagai matapelajaran wajib,
(h)
Peruntukan bahasa Cina, Tamil dan bahasa Orang Asli,
(i)
Tempoh pendidikan rendah antara 5 hingga 7 tahun,
(j)
Pendidikan lepas menengah,
(k)
Pendidikan teknik dan politeknik dipertingkatkan,
(l)
Peruntukan pendidikan khas,
(m)
Maktab-maktab pergururan,
(n)
Pengajaran Agama Islam dan moral
0 comments:
Post a Comment