Tokoh-tokoh Pendidik Negara
Pendita Za’ba, tokoh bahasa dan pemikir Melayu

Za'ba (Tan Sri, 1895-1973) ialah tokoh bahasa dan pemikir Melayu. Nama sebenarnya ialah Zainal Abidin bin Ahmad. Dia lahir pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, batu Kikir, Negeri Sembilan. Ibunya Intan Awaluddin berketurunan Minangkabau. Ayahnya yang berketurunan Bugis Linggi merupakan orang yang berharta, berpengetahuan agama, dan satu-satunya penduduk di kampung itu yang tahu membaca dan menulis Jawi.

Pendidikan Awal
Pendidikan awal Za'ba bermula di rumahnya sendiri, termasuk pelajaran asas agama dan tulis-menulis (Jawi). Pada bulan Julai 1907, Za'ba belajar di Sekolah Melayu di Batu Kikir dan kemudiannya dia bersekolah di Linggi. Di samping meneruskan pendidikan sekolah Melayu pada waktu pagi, Za'ba belajar agama dan nahu bahasa Arab di Masjid Linggi pada waktu petang daripada Abas bin Zakaria, ulama terkenal di Negeri Sembilan. Za'ba muncul sebagai pelajar sekolah Melayu terbaik dalam peperiksaan Darjah Lima, semasa di Linggi.
              Za'ba juga menduduki peperiksaan untuk menjadi guru atau untuk memasuki sekolah Inggeris seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar, dan sekolah Inggeris di Seremban. Dia muncul sebagai pelajar terbaik daripada 265 orang calon. Pada mulanya Za'ba memilih untuk menjadi guru, tetapi akhirnya dia memilih memasuki sekolah Inggeris, iaitu St. Paul's Institution, Seremban. Di sini dia belajar selama enam tahun (1910-1915), sehingga memperoleh sijil Senior Cambridge. Dia banyak menerima hadiah kerana kecemerlangan pencapaiannya, dan akhirnya muncul sebagai anak Melayu Negeri Sembilan yang pertama berjaya dalam peperiksaan tersebut.

Sumbangan Za’ba
Za'ba ditawarkan bekerja sebagai guru sementara di sekolahnya, dan selepas itu dia memasuki perkhidmatan perguruan di English College, Johor Bharu (Jun 1916-September 1918). Dia pernah menjadi guru di Maktab Melayu Kuala Kangsar (Oktober 1918-April 1923), dan pada peringkat inilah Za'ba lulus peperiksaan ikhtisas perguruan (Normal Class, pada tahun 1921); penterjemah di Pejabat Pengarah Sekolah-Sekolah Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Kuala Lumpur (Mei 1923-Mac 1924), dan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim (April 1924-September 1939). Kemudian dan menjadi penterjemah dan juruhebah di Pejabat Penerangan Singapura serta menjadi penyelenggara buku pendidikan Melayu di Jabatan Pelajaran Singapura (Oktober 1939-Januari 1941).
              Semasa pendudukan Jepun menduduki Tanah Melayu, Za'ba berkhidmat sebagai ketua pengarang dan penterjemah berita Radio Jepun, serta menyelenggarakan penerbitan buku bagi jabatan Pelajaran dan Agama, Bunkyo-ka (Mac 1942-Julai 1945). Selepas perang dunia kedua tamat, Za'ba bertugas sebagai penterjemah di Mahkamah
              Tinggi dalam Pentadbiran Tentera British di Kuala Lumpur (September 1945-Julai 1946); kemudian kembali ke jawatan lamanya sebagai penterjemah kanan bahasa Melayu dan pengarang buku teks di Pejabat pelajaran, Kuala Lumpur (Ogos 1946-Ogos 1947); pensyarah Bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies
              (SOAS), Universiti London (September 1947-hingga bersara pada September 1950). Pada tahun 1953, Za'ba menjadi pensyarah kanan merangkap Ketua Jabatan Pengajian Melayu yang pertama di Universiti Malaya, Singapura (April 1953-Januari 1959). Semasa di University of London, Za'ba memperoleh Sarjana Muda Sastera (1953).
              Za'ba muncul sebagai cendekiawan Melayu yang dihormati sejak tahun 1920-an lagi. Sepanjang kerjayanya selama hampir 40 tahun, Za'ba bergiat secara aktif dalam bidang penulisan dan berbagai-bagai kegiatan sosial serta politik tanah air. Za'ba merupakan penulis rencana dan esei yang berbakat istimewa dan gigih, sama ada  dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Penulisannya yang begitu prolifik mencakupi bidang bahasa, sastera, agama, pendidikan, ekonomi dan politik.
Kegiatan penulisannya sentiasa dibendung oleh kerajaan kolonial British, terutama sepanjang dia berada di MPSI. Walau bagaimanapun, dia tetap aktif dan banyak tenaganya ditumpukan ke arah penerbitan buku sekolah dan buku bacaan umum di Biro Penterjemahan (pejabat Karang Mengarang) MPSI, selain memberi perhatian yang khusus dan lebih serius kepada usaha untuk memajukan bahasa Melayu.

Karya-karya dan hasil penulisan
Beberapa buah buku penting tentang tatabahasa telah dihasilkannya yang digunakan di maktab dan institusi pengajian pada masa itu, bagi mengisi kekosongan yang wujud. Antara karyanya ialah Ilmu Bahasa Melayu (1926), Rahsia Ejaan Jawi (1929), Pelita Mengarang, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Daftar Ejaan Melayu: Jawi-Rumi (1938), dan tiga jilid dalam siri Pelita bahasa Melayu (1940, 1946 dan 1949).
Dia juga terlibat secara aktif dalam gerakan pembaharuan Islam dan menghasilkan beberapa buku tentang agama Islam. Antaranya ialah Falsafah Takdir (1932), Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (1934), dan Asuhan Budi Menerusi Islam (1958). Buku kedua Za'ba itu telah diharamkan pengedarannya di negeri Perak oleh pihak berkuasa pada zaman tersebut.
Sumbangan Politik
Setelah Perang Dunia Kedua tamat, Za'ba bergiat aktif dalam pertubuhan politik tanah air. Dia menjadi Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor (PMS) menggantikan Tengku Ismail. Dia dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Malaya yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 1946, yang kemudian melahirkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Pada tahun 1956, Za'ba mengetuai satu lagi kongres yang penting bagi bangsa Melayu.
Kali ini ialah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ketiga, dan pada akhir kongres ini Za'ba dianugerahi gelaran "Pendeta". Ini dilakukan kerana mengenang jasanya yang tidak terhingga dalam bidang bahasa. Walaupun penglibatannya dalam bidang-bidang lain tidak boleh diperkecil, tetapi sumbangan dan tulisannya dalam bidang bahasa yang paling menonjol. Dalam pendahuluan Pelita Bahasa Melayu Penggal I misalnya, dia mencatatkan kegigihannya menerapkan nahu Arab dan Inggeris kepada bahasa Melayu. Dengan itu dia menjadi sarjana Melayu yang pertama menghasilkan huraian tatabahasa Melayu yang lengkap dan mendalam.
Atas segala khidmatnya Za'ba telah diberikan beberapa anugerah dan ijazah kehormat, iaitu Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya (1959), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (1973), dan darjah Panglima Mangku Negara (P.M.N.) oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri (1962).
Za'ba meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 di Petaling Jaya.






Aminuddin Baki, Bapa Pendidikan Malaysia

Aminuddin Baki (6 Januari 1926 - 25 Disember 1965) ialah "Bapa Pendidikan Malaysia" serta bekas Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan) yang paling muda ketika berusia 36 tahun. Beliau mempertingkatkan mutu pelajaran di negara ini, termasuk menyusun Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Laporan Pendidikan Razak pada tahun 1956, dan Laporan Abdul Rahman Talib pada tahun 1960. Banyak sekolah dan institusi di Malaysia telah dinamakan sempena namanya.

Kehidupan Awal
Dilahirkan di sebuah kampung di Chemor, Perak 1926, Aminuddin memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Chemor pada tahun 1932. Selepas lulus peperiksaan darjah lima pada tahun 1936, beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson yang merupakan sekolah Inggeris yang terbaik di Ipoh ketika itu. Beliau tamat persekolahan menengahnya pada tahun 1941.

Pada sekitar tahun 1945, Aminuddin mula menunjukkan minat dalam persatuan pelajar ketika berasa amat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Institusi Victoria, Kuala Lumpur, walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudian bertukar nama kepada Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu pada 11 Februari 1946, dengan tujuan menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Aminuddin dilantik sebagai setiausaha dan kemudian, menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Perak pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, Aminuddin diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles, kini merupakan sebahagian Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Pada masa ini, UMNO yang telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union menggalakkan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar untuk berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948.

Walau bagaimanapun pada tahun 1949, Aminuddin terpaksa menghentikan kegiatan persatuan pelajarnya kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura. Pada ketika itu, beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh. Semasa di universiti, Aminuddin berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman, beliau mendaftar sebagai guru sambilan di Sekolah Malam Anglo-Melayu. Beliau mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Pada tahun 1950, beliau bergiat aktif semula dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan itu. Dalam tahun yang sama, beliau lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dengan Kepujian.


Sumbangan
Selepas menamatkan pelajarannya pada tahun 1951, Aminuddin kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah untuk sebentar waktu dan kemudian, berkhidmat di Sekolah Anderson hingga Julai 1952. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajarannya dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Ratu dan meninggalkan Pulau Pinang menaiki kapal pada 12 Julai 1952.

Aminuddin memperoleh Ijazah Sarjana Kaedah-kaedah dalam bidang pendidikan pada bulan Julai 1953. Selepas pulang ke tanah air, beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Beliau memperkenalkan Sejarah Islam kepada pelajar tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960, beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.

Ketika berusia 36 tahun, Aminuddin dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor pada 1962, dan pada tahun yang sama menjadi Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan). Pada masa yang sama, beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau juga mewujudkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Aminuddin menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada tahun 1963.
Beliau diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)

Aminuddin Baki meninggal dunia pada tahun 1965 ketika berusia 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang.

1 comments:

  1. gooooooooddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddddd

    ReplyDelete