CIRI-CIRI KAUNSELING INDIVIDU

Bagi memahami bidang kaunseling secara keseluruhan, pengetahuan tentang ciri-ciri kaunseling individu itu sendiri haruslah difahami.

(a) Kaunselor sebaiknya menghormati kejujuran klien yang datang meminta pertolongan.
Klien berjumpa dengan kaunselor untuk menceritakan persoalan bukanlah perkara yang mudah dan dianggap remeh. Kemungkinan sebelum itu, klien berkonflik dengan dirinya untuk membuat keputusan untuk meminta bantuan atau sebaliknya.

(b) Menjadi tugas kaunselor untuk memberi kefahaman kepada klien tentang matlamat serta limitasi kaunseling supaya tidak timbul salah tanggapan atau persepsi yang meleset.

(c)Kaunselor harus menyedari keupayaan dan tanggungjawabnya dengan mengundurkan diri jika tidak berupaya menangani keperluan klien dengan mencadangkan perkhidmatan profesional lain yang lebih dominan dan signifikan dengan konflik yang dialami oleh klien.

(d) Kaunselor harus sentiasa menyedari limitasi dan menghormati etika untuk menyakinkan klien bahawa segala maklumat yang diberikan adalah dirahsiakan di samping klien bebas memberi maklumat serta memilih alternatif yang difikirkan dapat membantu kaunselor untuk membantunya.

(e) Jika didapati keadaan klien mengancam kebajikan atau keselamatan diri dan orang lain, maka adalah menjadi tanggungjawab kaunselor melaporkan kepada pihak tertentu atau dirujuk kepada pihak pihak yang berkaitan dengan mencadangkan perkhidmatan lain dan profesional lain yang lebih berpengalaman.

(f) Kaunselor perlu menyakinkan klien bahawa segala maklumat yang diberikan adalah rahsia. Bagaimanapun, jika didapati keadaan klien mengancam kebajikan atau kesihatan diri sendiri atau orang lain, maka adalah menjadi tanggungjawab kaunselor melaporkan hal itu kepada pihak-pihak yang tertentu atau dirujuk kepada perkhidmatan yang sesuai.

(g) Sebagai seorang yang profesional, kaunselor berhak meminta pandangan dan nasihat daripada professional lain dengan tujuan menjelajah beberapa kemungkinan memberi pertolongan yang berkesan kepada kliennya.



Stewart et al (1978) mengatakan terdapat beberapa elemen yang perlu diberi perhatian dalam kaunseling individu. Elemen-elemen tersebut adalah seperti berikut;

(a) Kerahsiaan
Dialog perbincangan dalam kaunseling tidak boleh melampaui batas. Bilik kaunseling hendaklah jauh daripada gangguan kebisingan dan gangguan orang lain seperti bunyi telefon dan gangguan suara bising. Ini bertujuan untuk melindungi rahsia klien kerana perbincangan antara kaunselor dengan klien adalah sulit.

(b) Wujud status yang sama antara kaunselor dengan klien.
Kaunselor hendaklah peka kepada perkara yang mungkin mencetus persepsi perbezaan status antara kaunselor dengan klien. Contohnya, duduk di kerusi yang lebih tinggi daripada klien atau duduk di belakang meja yang besar.

(c) Kaunseling yang dilakukan tidak terburu-buru
Seringkali dalam kaunseling, dalam masa setengah jam yang pertama, kaunselor tidak akan dapat menangkap apa persoalan sebenar yang diceritakan oleh klien. Oleh itu, kaunselor hendaklah sabar untuk memberi masa kepada klien menyesuaikan diri dan masuk kepada perbincangan sebenar tanpa tergesa-gesa.

(d) Bilik kaunseling yang bersesuaian
Kaunseing dilakukan dalam bilik yang bersesuaian. Bilik kaunseling seboleh-bolehnya tidak digunakan untuk tujuan lain. Ini penting untuk menyakinkan klien tentang kaunseling yang diberikan dan imej profesion kaunseling itu.

(e) Suasana perbincangan adalah menenangkan
Perbincangan antara kaunselor dengan klien sentiasa berlaku dalam keadaan yang menenangkan. Perbincangan yang boleh menimbulkan perasaan segan klien perlulah dielakkan berlaku. Kaunselor juga hendaklah merancang dan mengawal masa kaunseling.

American Counseling Association (dlm Smith, 2001) menjelaskan ciri-ciri kaunseling individu sebagai;
· Kaunseling berkaitan dengan kesejahteraan, perkembangan peribadi, kerjaya dan persoalan patologikal
· Kaunseling dilaksanakan oleh individu yang boleh berfungsi dengan baik dan juga mereka yang mempunyai masalah yang lebih serius
· Kaunseling adalah berdasarkan teori
· Kaunseling adalah satu proses yang bersifat perkembangan atau intervensi.

0 comments:

Post a Comment