DEFINISI KAUNSELING INDIVIDU 
Gibson dan Mitchell (2003) mendefinisikan kaunseling individu sebagai satu perhubungan satu dengan satu iaitu antara kaunselor terlatih dan berfokus kepada beberapa aspek penyesuaian klien, perkembangan dan keperluan membuat keputusan. Prosess ini melibatkan satu perhubungan dan ciri komunikasi di mana klien boleh membentuk pemahaman menerokai kemungkinan-kemungkinan dan memulakan perubahan.
Kecekapan kaunselor memungkinan perubahan positif berlaku. Kemahiran kaunselor dan pengetahuan menyediakan satu rangka kerja dan arah yang memaksimakan potensi klien ke arah hasil yang positif.

Rogers (dlm Capuzzi dan Gross, 1991) pula mendapati terdapat beberapa asas kepada pembentukan hubungan antara seorang klien dengan kaunselor dalam kaunseling individu iaitu terdapat dua orang yang mengalami hubungan psikologikal. Pihak pertama ialah klien yang berada dalam keadaan tidak tenteram, risau yang menghadapi sesuatu gangguan atau kesukaran psikologikal.

Pihak kedua ialah kaunselor yang tenang dalam hubungan itu. Kaunselor mengalami pengalaman empati dan faham-memahami terhadap situasi klien dan berbincang mengenai pengalaman dengan klien. Komunikasi yang dilakukan oleh kaunselor dengan klien melalui sifat empati, faham-memahami dan penerimaan positif tanpa syarat sekurang-kurangnya telah mencapai sesuatu keberkesanan kaunseling.

Zuraidah Abdul Rahman (dlm Sapora Sipon dan Wan Anor Wan Sulaiman, 2002) mentakrifkan kaunseling individu sebagai satu perhubungan yang bersemuka di mana seorang klien mendapatkan bantuan daripada seorang kaunselor. Perhubungan tersebut disifatkan oleh ciri-ciri seperti penerimaan klien secara tulen, saling hormat menghormati dan penekanan terhadap keperluan-keperluan serta perasaan klien. Manakala itu, Shertzer dan Stone (1986) menegaskan kaunseling individu sebagai proses interaksi yang memudahkan pemahaman bermakna mengenai diri dan alam sekitarnya lalu menyebabkan penentuan matlamat-matlamat dan nilai-nilai tingkah laku masa hadapan klien.

Kamaruzaman Jamal (dlm Abdul Halim Othman, 1999) mendefinisikan kaunseling individu sebagai perhubungan antara seorang yang lain dalam mana ia menolong yang lain itu menyelesaikan satu konflik, atau pertentangan yang belum diselesaikan. Sementara itu, Muhd Mansur Abdullah (1993) mendapati kaunseling individu merupakan suatu pemusatan hal peribadi, hubungan bersemuka antara dua manusia apabila seorang kaunselor dengan kemampuan yang ada padanya menyediakan satu situasi pembelajaran yang membolehkan kliennya mengenali dirinya, membuat perubahan, menukar sikap, membuat keputusan dan pemilihan bagi memenuhi keperluan diri mereka sendiri.

Secara rumusannya, kaunseling individu merupakan satu pertemuan seorang kaunselor dengan seorang klien untuk mengadakan satu proses perhubungan atau interaksi profesional dan memusatkan tumpuan kepada aspek-aspek penyesuaian dan perkembangan diri klien dan diikuti dengan pembuat keputusan terbaik dari alternatif-alternatif yang diperlukan. Kaunseling individu mewujudkan interaksi dan komunikasi di mana klien akan berpeluang membina kesedaran dan pemahaman melalui penerokaan kendiri serta penjelasan ke atas beberapa matlamat dan alternatif penyelesaian. Tujuan akhir kaunseling individu diberikan ialah mengharapkan klien dapat memenuhi keperluan diri dan persekitarannya dan pada masa yang sama melalui perubahan yang dilakukan.

1 comments:

  1. mana tahun ? saya perlukan tahun untuk dijadikan rujukan ')

    ReplyDelete