Faktor Fizikal
Faktor fizikal meliputi persekitaran bilik darjah. Persekitaran bilik darjah yang sesuai untuk pembelajaran akan menyebabkan masalah gangguan tingkahlaku pelajar dapat diminimakan. Keadaan bilik darjah yang tersusun membantu guru mengajar 20 hingga 30 pelajar dalam satu waktu untuk lima atau lebih waktu dalam sehari (Emmer & et. al, 1994). Ini menunjukkan bahawa persekitaran bilik darjah yang kondusif memberikan impak kepada pelajar mahupun guru. Ahli psikologi menyatakan bahawa kebanyakan tingkahlaku dipengaruhi oleh keadaan persekitaran sesuatu tempat (Levin & Nolan, 1996). Justeru itu, persekitaran bilik darjah yang kondusif dapat menghasilkan pengurusan bilik darjah yang berkesan.


            Keadaan persekitaran bilik darjah seperti kepanasan, pengcahayaan dan bunyi bising  akan mempengaruhi tingkahlaku pelajar. Guru seharusnya bijak mengatur keadaan bilik darjah sewaktu menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Ini disebabkan manusia mesti dalam keadaan selesa sebelum perhatian mereka telah sedia secara sukarela untuk pembelajaran (Levin & Nolan, 1996).

            Susun letak yang sesuai membantu melahirkan bilik darjah berkesan.  Sebuah bilik darjah juga seharusnya bersih dan kemas kerana bilik darjah yang tidak teratur mendorong pelajar untuk berkelakuan buruk.

3.1.1   Penggunaan  ruang
Guru tidak mempunyai kawalan terhadap saiz sesuatu bilik darjah, namun guru boleh menggunakan ruang yang ada dengan sebaik mungkin. Penggunaan ruang fizikal yang cermat menjadikan perbezaan ketara dalam tingkahlaku bilik darjah (Evans & Lovell,1979; Levin & Nolan,1996).

            Terdapat beberapa perkara membantu guru mendapatkan penggunaan ruang bilik darjah yang baik iaitu:

(a)       menggunakan susunan bilik darjah yang konsisten dengan pengajaran dan aktiviti yang             dijalankan.  Guru seharusnya memikirkan mengenai jenis aktiviti pengajaran yang digunakan dalam bilik darjah dan mengorganisasikan tempat duduk, bahan-bahan dan peralatan yang        sesuai digunakan oleh pelajar.
(b)       memastikan laluan lintas bilik darjah tidak sesak.  Laluan lintas bilik darjah yang sesak  meliputi kawasan kerja berkumpulan, pintu bilik darjah, rak buku, meja pelajar dan juga meja guru. Bilik darjah yang ideal seharusnya tidak sesak, mempunyai ruang dan mudah untuk mendapatkan pelajar.   
                                                                
(c)        memastikan semua pelajar mudah untuk dilihat dan dipantau. Susunan tempat duduk pelajar seharusnya mudah untuk dipantau oleh guru khususnya  semasa berlangsungan proses pengajaran. Guru boleh memastikan pelajar tidak hilangfokus dan melakukan kerja lain semasa proses P&P jika susunan tempat duduk mudah     dilihat. Jika guru tidak boleh melihat semua pelajarnya, adalah sukar untuk guru       mengenalpasti pelajar yang memerlukan perhatian dan pertolongan semasa proses  P&P.

(d)       memastikan pelajar mudah untuk melihat penyampaian pengajaran guru. Kedudukan papan tulis dan posisi guru penting semasa menjalankan proses P&P. Jika pelajar tidak dapat melihat penyampaian guru dengan jelas, maka perhatian pelajar akan tergangu dan penerimaan ilmu juga terganggu.

(e)       penggunaan ruang perabot dan alatan tersusun dengan teratur.  Susunan perabot dan alatan seperti meja guru, meja pelajar, kabinet dan sudut bacaan NILAM mampu mempengaruhi emosi pelajar. Kekemasan dan keceriaan kelas memberikan perasaan senang dan bersedia pelajar untuk menerima pengajaran.

(f)        mempunyai papan buletin untuk mempamerkan hasil tugasan dan bahan P&P. Papan             buletin menyediakan kawasan untuk mempamerkan karya dan tugasan pelajar, bahan             pengajaran, item perhiasan, peraturan kelas ataupun sekolah, jadual waktu, jam dan    pelbagai lagi.


3.1.1.1            Susunan Tempat Duduk

Penggunaan ruang paling banyak sekali dalam bilik darjah ialah susunan tempat duduk pelajar. Apapun susunan tempat duduk yang digunakan, susunan itu hendaklah cukup fleksibel untuk menjalankan dan memantau  pelbagai jenis akitviti dalam bilik darjah. Menurut Emmer & et.al (1994), guru seharusnya memastikan semua pelajar boleh memandang kepada kawasan pengajaran keseluruhan kumpulan (whole-group instruction) tanpa memerlukan pelajar bergerak daripada tempat duduk mereka. Tempat duduk disusun agar semua pelajar boleh melihat pengajaran yang dipersembahkan oleh guru. Sebenarnya susunan tempat duduk boleh berubah-rubah mengikut kesesuaian kaedah pengajaran dan aktiviti yang digunakan oleh guru (Levin & Nolan, 1994).

            Susunan tempat duduk yang efektif membenarkan guru untuk berinteraksi dengan lebih dekat kepada semua pelajarnya.  Susunan tempat duduk mestilah dirancang agar guru mudah untuk mendekati pelajarnya tanpa menganggu pelajar lain. Selain itu, tempat duduk pelajar seharusnya mengelak posisi muka pelajar daripada menghadap punca penumpuan pelajar terganggu seperti tingkap dan pintu.

0 comments:

Post a Comment