2.2 : Pendidikan Swasta

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menyediakan segala kemudahan untuk proses pengajaran dan pembelajaran kepada semua kanak-kanak di Malaysia khususnya di sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan. Antara kemudahan-kemudahan yang dimaksudkan termasuklah keselesaan bangunan, kerusi meja, buku teks, makmal komputer dan guru bertauliah serta bilangan guru yang mencukupi.


Seiring dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan peluang pendidikan untuk semua, sektor swasta turut sama menyumbang kepada usaha tersebut. Banyak institusi pendidikan swasta atau ringkasnya IPS, beroperasi di seluruh negara bagi menyediakan peluang pendidikan kepada warganegara Malaysia dan juga warganegara antarabangsa.

Pendidikan swasta adalah pendidikan yang disediakan kepada pelajar oleh institusi pendidikan swasta. Institusi pendidikan swasta adalah institusi bukan bantuan Kerajaan dan ia dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta. Penubuhan, pengurusan dan pengoperasian institusi pendidikan swasta adalah tertakluk di bawah Akta Pendidikan 1996 dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.


SEJARAH PERKEMBANGAN :-


Pendidikan swasta telah wujud di Malaysia semenjak tahun 1950an. Pada ketika itu banyak sekolah pondok didirikan untuk mengajar pelajar-pelajar sebagai persediaan untuk menyambung pelajaran di luar negeri khususnya dalam bidang agama. Pada awal 1970an, perkembangan semasa peranan dan fungsi sistem pendidikan telah mewujudkan sekolah swasta bagi menampung pelajar-pelajar untuk meneruskan pelajaran di peringkat menengah.


Tahun 1980an telah menyaksikan suatu perubahan yang penting di mana pendidikan swasta turut sama menyediakan peluang pendidikan di peringkat pendidikan tinggi sebagai alternatif kepada mereka yang tidak terpilih memasuki institusi-institusi pendidikan tinggi awam (IPTA). Pada hari ini pendidikan swasta di Malaysia telah berkembang dengan begitu pesat dengan penubuhan lebih banyak institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dan IPS.



KATEGORI INSTITUSI :-


Sistem pendidikan kebangsaan merangkumi daripada peringkat prasekolah hinggalah kepada peringkat pendidikan tinggi. Institusi pendidikan swasta secara amnya terdiri dari dua kategori utama yang dibahagikan mengikut peringkat pendidikan yang ditawarkan.


Institusi Pendidikan Swasta seperti sekolah swasta, sekolah antarabangsa, tadika, pusat-pusat kemahiran termasuk pusat bahasa, pusat tuisyen, pusat latihan komputer, pusat kemahiran teknikal dan pusat perdagangan adalah di bawah seliaan dan tanggungjawab Kementerian Pelajaran Malaysia.


Operasi institusi pendidikan swasta dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta. Walau bagaimanapun proses penubuhan dan pendaftaran, pengurusan dan operasi sesebuah IPS adalah tertakluk di bawah Akta Pendidikan 1996.


Kategori kedua merupakan institusi pendidikan tinggi swasta yang terdiri dari institusi pendidikan bertaraf kolej, kolej universiti dan universiti yang terletak di bawah kawalan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.


Ringkasnya dua kategori utama institusi tersebut adalah terdiri daripada Institusi Pendidikan Swasta yang di bawah seliaan KPM, dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang di bawah seliaan KPTM. Kesemua institusi pendidikan berkenaan perlu berdaftar dengan Kementerian berkaitan terlebih dahulu sebelum dibenar beroperasi.


Institusi pendidikan yang tergolong dalam kategori ini menawarkan pendidikan dari peringkat pra sekolah, sekolah rendah hinggalah ke peringkat menengah. Jenis-jenis institusi pendidikan swasta dalam kategori yang perlu didaftarkan dengan Kementerian Pelajaran termasuklah:


1.           Tadika swasta yang mengikuti Kurikulum Kebangsaan Prasekolah Kementerian Pelajaran Malaysia
2.           Sekolah rendah dan menengah swasta yang mengikuti Kurikulum Kebangsaan dan penilaian yang dicadangkan
3.           Sekolah rendah dan menengah agama swasta yang mengikuti Kurikulum Kebangsaan
4.           Sekolah persendirian Cina yang mengikuti garis panduan Kementerian Pelajaran
5.           Sekolah Ekspatriat
6.           Sekolah Antarabangsa
7.           Pusat tuisyen yang menyediakan bantuan pelajaran kepada para pelajar mengikut Kurikulum Kebangsaan
8.           Pusat bahasa, pusat latihan komputer, pusat kemahiran/ perdagangan, sekolah gaya pos dan lain-lain

1 comments:

  1. hai.. boleh ka share tentang rasional penubuhan dan pelaksanaan pendidikan swasta ?

    ReplyDelete