FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
Mengikut kajian ahli psikologi, perkembangan kanak-kanak dipecahkan kepada lima aspek iaitu aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Kelima-lima aspek ini pula adalah berasaskan kepada dua faktor yang utama iaitu dipengaruhi oleh faktor baka dan faktor persekitaran. Ahli psikologi juga telah berpendapat bahawa tiada individu di dunia ini yang mempunya kadar perkembangan yang sama dan menjadikan faktor baka(nature) dan faktor persekitaran(nurture) sebagai penyebab utama ketidaksamaan kadar perkembangan seseorang individu.


Pengaruh genetik atau baka keatas pertumbuhan dan perkembangan manusia ini sebenarnya dipelopori oleh Johann Gregor Mendel(1822-1889) di Austri. Menurut Haliza Hamzah, Joy N. Samuel dan Rafidah Kastawi (2008) dalam buku ‘Perkembangan Kanak-kanak untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian Empat Tahun”, baka merujuk kepada ciri-ciri biologi, atau gen-gen yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak- anak mereka seperti yang dikatakan oleh R. Hilgard. Amran Schienfed mengatakan bahawa baka menentukan persamaan antara ibu bapa dengan anak-anaknya, di kalangan ahli dalam satu kumpulan keluarga dari segi sifat-sifat seperti kebolehan , minat dan kawalan emosi.
Gen-gen yang terkandung di dalam kromosom ini menguasai perkembangan manusia dan akan memberikan sifat unik bagi setiap individu. Baka ini boleh menguasai penyuburan fizikal dan mental. Baka juga menetapkan had keupayaan, kemampuan mental kita sama ada pandai atau tidak pandai. Oleh sebab itu, menurut hasil kajian ahli-ahli psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Shieldo (1962) setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan intelek yang berbeza.
Kajian ahli-ahli psikologi telah membuktikan bahawa tidak ada dua orang individu mempunyai kadar perkembangan yang sama. Mereka berpendapat baka dan persekitaran adalah faktor-faktor yang menyebabkan perbezaan kadar perkembangan manusia.
Pengaruh genetik atau faktor baka kini dikenali sebagai gen yang terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan baka atau ciri keturunan. Ia terletak di lokus tertentu pada kromosom, iaitu sejenis benda seni berbentuk panjang yang didapati dalam nukleus sel sperma (jantan) dan juga sel ovum (betina). Mengikut kajian, kromosom mengandungi bahan DNA dan RNA dan masing-masing membawa gen-gen yang mengandungi sifat-sifat baka.Individu yang normal biasanya mempunyai 23 pasangan kromosom. Semasa proses persenyawaan, iaitu percantuman sel sperma (gamet jantan) dengan sel ovum (gamet betina) dengan membentuk zigot yang mula mendapat 23 kromosom daripada ibu bapa masing-masing. Seterusnya, proses pertukaran di antara kromosom daripada ibu dan bapanya berlaku dan menjadi ciri-ciri baka tersendiri, kemudian diwarisi oleh bayi yang akan dilahirkan nanti.
Perbezaan kecerdasan di antara individu boleh diperhatikan daripada prestasi pelajar dalam sesuatu kelas.Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka. Biasanya, ibu bapa yang bijak pandai akan melahirkan anak-anak yang juga bijak pandai. Emosi seseorang juga diwarisi daripada baka ibu bapa. Misalnya, ibu bapa yang mempunyai emosi yang kurang stabil dan bersifat pemarah akan melahirkan anak yang agresif dan autokratik. Latar belakang keluarga yang porak peranda akibat perceraian, kematian, perpisahan akan memberi kesan buruk kepada emosi kanak-kanak seterusnya kepada perkembangan personaliti mereka.
Faktor baka juga mempengaruhi sahsiah individu secara langsung. Sebagai contoh, individu yang mempunyai saiz badan yang agak besar akan berasa malu untuk bersosial dengan orang lain kerana banyak aktiviti yang boleh dilakukannya adalah terbatas. Saiz badan akan menentukan sama ada individu sesuai melakukan suatu aktiviti ataupun tidak. Kebolehan melakukan suatu aktiviti akan meningkatkan nilai prestij yang tinggi untuk dirinya. Hal ini menyebabkan individu tersebut akan diminati oleh rakan-rakannya dan seterusnya meningkatkan harga dirinya sekaligus akan membentuk sahsiah sihat.
Contoh seterusnya ialah individu yang berasal daripada keturunan yang berpenyakit. Individu tersebut besar kemungkinan akan mewarisi penyakit, seperti lelah dan kencing manis melalui baka. Jadi, kanak-kanak tersebut sukar menyertai aktiviti sosial dan menyebabkan perkembangan sosialnya terganggu.Justeru, hubungan kanak-kanak tersebut dengan rakan-rakan menjadi berkurangan. Kemudian, dia akan merasa sedih dan sunyi. Impaknya, proses perkembangan sahsiahnya menjadi tidak sihat kerana perkembangan sosial dan emosi terjejas.
Faktor kedua yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak ialah persekitaran. Faktor ini merujuk kepada keadaan semasa proses perkembangan kanak-kanak. Ini termasuklah pengalaman sebelum dan selepas lahir. Pengalaman sebelum lahir merangkumi pemakanan dan kesihatan ibu, gaya hidup ibu, rawatan yang diterima ibu, usia dan keadaan emosi ibu. Faktor-faktor selepas kelahiran pula adalah dipengaruhi oleh cara pemakanan, sosio ekonomi, tahap pendidikan keluarga, rakan-rakan, sekolah, masyarakat, tempat ibadat, media dan persekitaran dunia. Semua perkara ini akan mempengaruhi perkembangan seseorang manusia.
Mengikut penulis Haliza Hamzah, Joy N. Samuel dan Rafidah Kastawi, dalam buku ‘Perkembangan Kanak-kanak untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian Empat Tahun”, apabila kesihatan bayi selepas lahir dijaga, ini akan mempercepatkan pertumbuhan gigi susu pada gusi bawah ketika bayi berumur antara enam hingga lapan bulan.
Seterusnya, khasiat yang diberikan seperti susu ibu amat baik dalam mempengaruhi perkembangan fizikal dan mental bayi tersebut. Pada tahap ini, perkembangan motor yang merangkumi kemahiran- kemahiran kordinasi otot telah mula meningkat. Antara kemahiran motor yang disebut ialah memegang, menyedut, menghisap, duduk, merangkak, berjalan, berlari dan sebagainya.
Selain itu, keluarga, rakan sebaya, status sosio-ekonomi, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat, sumber teknologi, guru dan sekolah turut menjadi faktor perkembangan kanak- kanak. Perbezaaan gaya hidup sesebuah institusi keluarga seperti suasana rumah, makanan, asuhan dan status sosio-ekonomi keluarga akan melahirkan individu yang mengikut perbezaan kadar perkembangannya.
Keluarga yang mempunyai status sosio-ekonomi yang baik akan membantu perkembangan intelek dan fizikal kanak-kanak ke tahap optimum kerana keluarga ini berupaya memberi makanan yang berzat dan seimbang serta kemudahan pendidikan yang sempurna kepadaanak-anak.
Ibu bapa perlu memastikan keperluan kasih sayang anak- anak dipenuhi dengan baik. Gaya hidup yang sihat yang diamalkan oleh setiap ahli keluarga seperti sentiasa menjaga kesihatan, bersenam, tidak merokok akan membentuk sebuah keluarga yang proaktif dan sempurna.
Selain itu, faktor pemakanan juga turut mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.Perkembangan ini meliputi fizikal, mental dan kerohanian kanak- kanak.Pemakanan yang diambil kanak- kanak haruslah berzat, bersih dan seimbang.Makanan yang boleh menjejaskan kesihatan mental, emosi dan fizikal perlu dijauhi supaya tidak membantutkan perkembangan mereka.Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik anak supaya kenal makanan yang baik dan mengamalkan kesederhanaan ketika makan dan minum. Penyusuan susu ibu adalah lebih baik kerana susu ibu bebas dari jangkitan. Ketika sudah mencecah umur 4 tahun, kanak-kanak haruslah disajikan dengan makanan yang mempunyai banyak kandungan tenaga kerana pada masa ini kanak-kanak adalah sangat aktif.
Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989), menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak merangkumi lima jenis sistem ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem, dan kronosistem. Menurut Bronfenbrenner, kelima-lima sistem ekologi ini adalah mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.
Mikrosistem merujuk kepada persekitaran terdekat dimana kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa dan interaksi secara langsung di dalam persekitaran itu.Sebagai contoh hubungan interaksi secara langsung antara kanak-kanak dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.Orang-orang dalam mikrosistem ini memainkan peranan yang tidak kurang penting di dalam perkembangan kanak-kanak.
Mesosistem pula merujuk kepada kaitan antara perhubungan dengan 2 mikrosistem. Hal ini bermaksud satu mikrosistem boleh mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Misalnya keadaan yang berlaku di rumah boleh mempengaruhi sikap atau tingkah-laku di sekolah dan sebaliknya.Mengikut Bronfenbenner juga, kanak-kanak yang diberikan galakan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dalam mesosistem ini menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada kanak-kanak yang kekurangan peluang.
Ekosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan kanak-kanak secara langsung tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut.Misalnya sekolah dengan pasar raya.Kaedah pengurusan, kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasa oleh tempat membeli belah secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut.
Makrosistem pula adalah perkembangan individu yang melibatkan norma-norma, nilai dan amalan masyarakat itu sendiri. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan (Santrock,2008). Di sesetengah negara, kaum lelaki diberi peranan yang lebih dominan dimana mereka diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting.
Kronosistem pula melibatkan perubahan perkembangan dalam suatu tempoh masa.Sebagai contoh situasi kanak-kanak hari ini lebih berfokus kepada permainan-permainan komputer jika dibanding dengan kanak-kanak pada zaman dahulu kala yang lebih gemar bermain di persekitaran rumah.
Secara keseluruhannya, kelima-lima aspek ini adalah saling berinteraksi antara satu sama lain. Setiap unsur-unsur ini mempengaruhi perkembangan individu, maka setiap individu memang tidak dapat dinafikan mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza.

Templateify

Sed ut perspiciatis unde omnis iste natus error sit voluptatem accusantium doloremque laudantium, totam rem aperiam, eaque ipsa quae abtore veritatis et quasi architecto beatae vitae dicta sunt explicabo. Nemo enim ipsam voluptatem quia voluptas sit aspernatur aut odit aut fugit

0 comments