Rutin Bilik Darjah
Rutin bilik darjah merupakan aktiviti pengurusan bilik darjah. Penekanan terhadap rutin bilik darjah yang sistematik amat penting kerana dapat mewujudkan bilik darjah yang kondusif. Rutin bilik darjah akan diterangkan oleh guru pada setiap awal sesi persekolahan. Ini penting agar pelajar tahu mengenai peraturan dan rutin bilik darjah.

4.1       Jenis-jenis Rutin
Terdapat enam jenis rutin yang terlibat dalam pengurusan bilik darjah:


4.1.1   Rutin Kelas
Rutin kelas boleh dimaksudkan dengan peraturan dan prosedur semasa berada bilik darjah yang bertujuan mewujudkan proses P&P yang berkesan. Kajian mendapati bahawa guru yang efektif mengambil masa pada awal tahun persekolahan untuk mengembangkan peraturan dan prosedur bilik darjah untuk menghasilkan perjalanan bilik darjah yang lancar dan meminimakan gangguan serta memaksimakan masa pembelajaran pelajar (Jones & Jones, 2004).
            Peraturan dan prosedur bertindak sebagai agen pencegahan tingkahlaku yang negatif dalam bilik darjah. Prosedur adalah untuk melatih pelajar untuk melaksanakan tugasan rutin dalam bilik darjah (Bianco, 2002). Contoh rutin kelas yang terdapat di bilik darjah ialah aspek kebersihan, jadual bertugas dan sebagainya. Jika semua pelajar menjalankan tugas mengikut jadual bertugas, maka bilik darjah akan berada dalam keadaan bersih dan guru tidak perlu memberikan arahan untuk membersihkan bilik darjah sebaliknya terus fokus kepada proses  P&P.


4.1.2   Rutin Pentadbiran
Rutin pentadbiran melibatkan peranan guru dalam mengurus dan mentadbir bilik darjah. Guru perlu cekap mentadbir bilik darjah untuk memastikan bilik darjah adalah kondusif. Rutin pentadiran adalah seperti guru mengurus kehadiran pelajar, pungutan yuran sekolah, menyediakan laporan akademik pelajar (buku laporan prestasi), menyediakan kad 001 dan kad kesihatan pelajar (Pengurusan Bilik Darjah, n.d.). Ini amat penting dalam pengurusan bilik darjah. Jika guru mengambil sikap sambil lewa dalam hal pentadbiran, pengurusan bilik darjah berada dalam tahap minima dan kucar kacir kerana tidak ada rekod yang dibuat oleh guru mengenai pelajar.

4.1.3   Rutin Pergerakan Pelajar
Rutin pergerakan pergerakan ialah peraturan pergerakan murid di bilik darjah. Rutin pergerakan  meliputi peraturan untuk bergerak ke luar atau masuk bilik darjah secara teratur dan tertib. Guru menekankan untuk beratur semasa pergerakan tersebut kerana pelajar cenderung untuk berebut-rebut semasa aktiviti yang melibatkan pergerakan pelajar khususnya yang melibatkan aktiviti bilik darjah ke luar bilik darjah. Contohnya, aktiviti kelas ke aktiviti kumpulan, pergerakan pelajar ke perhimpunan, pergerakan pelajar ke makmal dan juga pergerakan pelajar semasa latihan kebakaran.

4.1.4   Rutin Pengurusan Tugas
Rutin pengurusan tugasan ialah persediaan, perancangan dan pengurusan guru terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Guru perlu menyediakan sumber P&P, aktiviti P&P dan persediaan untuk P&P. Persediaan penting dalam memastikan proses P&P berjalan lancar. Guru perlu menetapkan objektif pembelajaran memulakan persediaan proses P&P agar setiap langkah perancangan dapat dirancang. Hasil pembelajaran yang diharapkan daripada pelajar perlu dinyatakan dengan jelas. Selain itu, guru perlu memantau akitviti bilik darjah dan menjalankkan proses penilaian ke atas pencapaian pelajar. Penilaian akan menentukan kekuatan dan kelemahan proses P&P tersebut.

4.1.5   Rutin Pembelajaran
Guru perlu memastikan pelajar melibatkan diri secara aktif dalam P&P. Pembabitan pelajar secara aktif dalam P&P penting dalam memastikan proses pembelajaran itu berlaku (Norasiah Abdullah, Nor Risah Jamilah Binti Mat Lazim & Rosnah Ahmad Zain, 2009). Guru memainkan peranan penting dalam memastikan rutin pembelajaran itu berlaku. Guru boleh menyediakan aktiviti seperti perbincangan, gerak kerja berkumpulan, latihan dan latih tubi.

4.1.6   Rutin Interaksi
Proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan menekankan aktiviti yang berpusatkan pelajar. Aktiviti berpusatkan pelajar melibatkan interaksi antara pelajar, guru dan bahan. Oleh itu, guru harus menggalakkan interaksi tersebut berlaku mengikut prosedur dan bersopan. Hubungan personal atau interaksi antara pelajar dengan pelajar adalah sama penting  dengan hubungan guru dengan pelajar. Guru boleh memainkan peranan dengan mewujudkan hubungan (Wragg, 2001). Contohnya, aktiviti yang melibatkan perbincangan, eksperimen, kerja lapangan dan projek.

0 comments:

Post a Comment