Perkembangan sistem pendidikan kebangsaan: selepas merdeka

      Sistem pendidikan di Malaysia mengalami banyak perubahan selepas  mencapai kemerdekaan terutamanya di sekitar tahun 1980-an. Berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan (1979), Rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mula dilaksanakan di semua sekolah rendah di seluruh negara mulai tahun 1983. Rancangan KBSR ini menekankan penguasaan terhadap kemahiran asas 3M iaitu membaca , menulis dan mengira.Di samping itu juga, ia juga memberi tumpuan terhadap perkembangan individu secara menyeluruh yang meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).Pada tahun 1989, Rancangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pula diperkenalkan di semua sekolah menengah. KBSM ini dirancang untuk memperkembangkan potensi individu daripada aspek JERIS secara menyeluruh dan bersepadu dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang berilmu, berakhlak mulia serta berupaya memberi sumbangan kepada kemajuan , kesejahteraan serta pembangunan negara.


       Walaubagaimanapun, faktor utama yang menjadi tunjang ke arah pembentukan sistem pendidikan negara selepas mencapai kemerdekaan ialah ‘Perpaduan’. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada penjajah British pada tahun 1957, tugas utamanya ialah untuk menyatukan kembali rakyatnya yang berbilang kaum supaya dapat membina kembali sebuah negara yang aman dan maju serta bebas daripada ancaman konflik antara kaum. Pada tahun 1959, sebuah Jawatankuasa Penyemak Matapelajaran telah dibentuk yang dikenali sebagai Laporan Rahman Talib. Jawatankuasa ini diketuai oleh Menteri Pelajaran ketika itu, iaitu Abdul Rahman Talib.Tujuan perlantikan jawatankuasa ini untuk mengkaji semula polisi pendidikan kebangsaan sebagaimana yang telah dicadangkan dalam Laporan Razak yang dibuat pada tahun 1956. Antara cadangan – cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Rahman Talib ialah yang pertama, menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di setiap sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

        Antara tindakan – tindakan yang diambil ialah mewajibkan semua murid lulus dalam matapelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan awam , kertas peperiksaan ditulis menggunakan Bahasa Melayu dan sebagainya. Ini  bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Yang kedua, jawatankuasa ini mencadangkan agar umur persekolahan murid – murid dinaikkan daripada 12 tahun ke 15 tahun. Ia bertujuan untuk mengelakkan berlakunya masalah penggangguran dan masalah sosial sekiranya murid –murid ini berhenti sekolah terlalu awal.Yang ketiga pula, memberi bantuan kewangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (aliran Bahasa Melayu ) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan ( aliran Bahasa Inggeris). Mana – mana sekolah yang ingkar terhadap sistem pendidikan kebangsaan, bantuan kewangan terhadap sekolah tersebut akan ditarik balik. Di samping itu, Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional telah ditubuhkan bagi melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan jurusan. Laporan Rahman Talib ini kemudiannya dibentangkan di Parlimen dan diluluskan yang mana kemudiannya dikuatkuasakan dalam Akta Pelajaran 1961. Sejak itu, perkembangan pendidikan kebangsaan selanjutnya adalah berdasarkan kepada polisi pendidikan kebangsaan yang tercatat dalam Akta Pelajaran 1961 ini.

       Sistem pendidikan negara terus mengalami perubahan di sekitar tahun 1963 hingga 1975 selaras dengan perlaksanaan rancangan lima tahun Malaysia. Perkembangan sistem pendidikan negara pada tahun ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap Pertama (1963 -1965), Tahap Kedua (1966-1970) dan Tahap Ketiga (1971-1975). Tahap pertama merupakan tahap perlaksanaan rancangan sistem pendidikan yang telah dikuatkuasakan dalam Akta Pelajaran 1961. Tahap kedua pula merupakan tahap perlaksanaan rancangan pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Pertama. Ia digubal dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial yang timbul dalam tempoh ini. Sistem pendidikan pada tahap ini bukan hanya berorientasikan kepada pembasmian buta huruf tetapi juga untuk mencapai matlamat ekonomi negara. Antara matlamat lain yang ingin dicapai ialah memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan sosial, kebudayaan dan politik , menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih bersistematik dan selesa kepada para pelajar, meningkatkan taraf pendidikan di seluruh negara serta melaksanakan pendemokrasian pendidikan tanpa mengira bangsa, kaum mahu pun agama. Pada tahap ini, beberapa buah Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional telah disediakan bagi melatih pelajar dalam bidang pertukangan, pertanian, sains rumahtangga dan perdagangan agar pelajar dapat mengembangkan lagi bakat mereka dalam bidang kemahiran yang telah disediakan.Perkembangan sistem pendidikan dalam tahap ketiga pula ialah merupakan pengubahsuaian sistem pelajaran dan latihan untuk memenuhi keperluan perkembangan ekonomi serta untuk menghasilkan lebih ramai pekerja mahir bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sistem pendidikan pada tahap ini dirancang supaya memberi sumbangan penting bagi menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa. Perubahan – perubahan sistem pendidikan ini adalah akibat dari konflik perkauman yang tercetus pada 13 Mei 1969. Kerajaan Malaysia terpaksa mengkaji semula matlamat – matlamat pendidikan negara dan seterusnya merancang suatu sistem pendidikan yang lebih sesuai dengan harapan boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan dapat mengelakkan tragedi konflik perkauman itu daripada berulang kembali.

      Kesinambungan daripada Rancangan Malaysia yang pertama ini , sistem pendidikan negara terus mengalami arus perubahan dan perkembangan pada Rancangan Malaysia yang kedua (1971-1975). Di bawah Rancangan Malaysia Kedua , rancangan pendidikan negara ditumpukan pada tiga bidang yang berikut iaitu yang pertama , menyatukan sistem pelajaran bagi menggalakkan perpaduan negara. Yang kedua memperluaskan rancangan pelajaran bagi mencapai keperluan negara mengenai tenaga rakyat dan yang ketiga memperbaiki mutu pelajaran ke arah mecapai  masyarakat yang maju berasaskan sains dan teknologi moden. Antara strategi yang dilaksanakan untuk mencapai ketiga – tiga hasrat ini ialah yang pertama melaksanakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama di semua sekolah secara berperingkat. Kedua, mengurangkan jurang perbezaan dalam memberikan peluang pelajaran di antara kawasan – kawasan dan juga antara kaum melalui pembinaan sekolah dan kemudahan yang baru di sekolah luar bandar serta melaksanakan pendemokrasian pendidikan. Yang ketiga, meningkatkan mutu pelajaran. Dalam usaha untuk meningkatkan mutu pelajaran ini antaranya melalui pengurangan bilangan pelajar yang terkandas dalam peperiksaan awam, membuat penilaian secara sistematik, memperbaiki sukatan pelajaran serta memperseimbangkan antara matapelajaran teras dengan matapelajaran elektif  seperti sains dan teknologi. Pada tahun 1974, kerajaan Malaysia telah menubuhkan satu Jawatakuasa Kabinet untuk mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Jawatankuasa ini telah mengkaji semula matlamat dan kesan sistem pelajaran termasuk kurikulumnya untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara ini dapat dipenuhi. Walaubagaimanapun, perkara yang lebih penting ialah untuk memastikan bahawa sistem pelajaran ini dapat memenuhi matlamat negara ke arah pembentukan masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara aspek lain yang dikaji untuk penambah baikkan terhadap sistem pendidikan di negara ini ialah menyeragamkan sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan di semua sekolah, menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menstrukturkan masa persekolahan, meningkatkan kecekapan dalam sistem pentadbiran dan pengurusan serta memasukkan matapelajaran yang baru dalam kurikulum sekolah iaitu matapelajaran Pendidikan Sivik, Pendidikan Islam dan Moral serta memantapkan lagi pembentukan disiplin dikalangan para pelajar.


Pengenalan KBSR dan KBSM

      Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti  pendidikan agar setaraf dengan negara – negara maju yang lain, tahun 1986 hingga awal tahun 1991 adalah merupakan tahap terpenting dalam sejarah pendidikan negara di mana pelbagai perubahan telah dilaksanakan dalam banyak aspek, di samping berusaha untuk menangani cabaran perkembangan semasa yang mana telah mula mengabaikan nilai kerohanian dan juga nilai murni dalam kehidupan masyarakat pada waktu tersebut. Perlaksanaan kurikulum baru KBSR dan KBSM adalah susulan daripada perubahan yang dilakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perlaksanaan Dasar Pelajaran yang dikeluarkan pada tahun 1979. Berikutan itu, Kementerian Pendidikan pada ketika itu telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan perakuan yang terkandung dalam laporan tersebut. Oleh yang demikian, kurikulum di peringkat rendah dan  menengah telah dikaji dan digubal semula dengan tujuan untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan negara. Oleh yang demikian, segala perubahan dalam kurikulum, cita - cita FPN dan pendekatan yang menekankan kesepaduan dalam kurikulum menengah perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat agar hasrat murni yang ingin dicapai melalui pendidikan dapat dijayakan dengan berkesan dan sempurna.

3.1.1 Latar belakang Kurikulum Bersepadu Sekolah
         Rendah (KBSR)

      Penggubalan semula Falsafah Pendidikan Negara yang dahulunya hanya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan, menyebabkan berlakunya keperluan untuk mengkaji semula keseluruhan system dalam pendidikan kebangsaan. Kesinambungan daripada perubahan ini, maka terhasilnya Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang telah dilancarkan sepenuhnya pada tahun 1983. Kurikulum ini digubal bagi memastikan setiap murid diberi peluang untuk mendapatkan kemahiran, pengetahuan, nilai, sikap dan amalan kehidupan yang diperlukan. Falsafah KBSR ialah memberi pendidikan yang bercorak pendidikan asas dengan penegasan terhadap kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. KBSR turut memberi penekanan terhadap perkembangan individu secara menyeluruh dan seimbang dari aspek JERIS serta pemupukan dan perkembangan bakat seseorang individu itu. Antara objektif penting pembentukan KBSR yang perlu dicapai  pula ialah yang pertama, murid dapat menguasai dan menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai alat perpaduan dengan baik dan memuaskan. Yang kedua, murid dapat menguasai kemahiran asas bahasa iaitu kemahiran bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa pengantar sekolah rendah iaitu Bahasa Melayu. Seterusnya yang ketiga pula ialah, melalui KBSR, pembinaan sikap dan perlakuan yang baik berpandukan nilai – nilai kemanusiaan dan kerohanian yang berlandaskan RUKUN NEGARA dapat dipupuk dikalangan murid. Yang keempat, murid dapat bergaul , menghargai hak dan kebolehan orang lain serta mempunyai semangat kerjasama dan toleransi. Dan yang kelima, murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan, kefahaman, minat serta kepekaan terhadap manusia dan alam sekitar.

       KBSR dibahagikan kepada tiga bidang asas iaitu bidang komunikasi, bidang kemanusiaan dengan persekitaran dan bidang perkembangan diri individu. Bidang komunikasi pada asasnya terdiri daripada komponen Kemahiran Asas yang mengandungi mata pelajaran Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris serta matapelajaran Matematik. Bidang Kemanusiaan dan Alam Sekitar pula terbahagi kepada dua komponen iaitu Kerohanian, Nilai dan Sikap serta Komponen Kemanusiaan dengan Alam. Mata pelajaran yang mewakili bidang ini ialah matapelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Bidang yang ketiga pula iaitu bidang perkembangan diri individu terdiri daripada komponen Kesenian dan Reakreasi yang mengandungi matapelajaran Muzik, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani. Berdasarkan perkara yang berkaitan di atas, maka jelaslah bahawa matlamat pendidikan KBSR di sekolah rendah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai – nilai estetika dan sosial selaras dengan falsafah dan dasar pendidikan negara iaitu untuk membangunkan negara dan menyemai perpaduan kaum yang kukuh serta integrasi nasional melalui sistem pendidikan yang tersusun dan bersistematik.


Latar Belakang Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)

      Matlamat utama pendidikan di Malaysia pada dasarnya adalah menuju ke arah penambahan keperluan tenaga kerja serta mencapai perpaduan rakyat melalui perkembangan individu yang menyeluruh. Oleh itu, untuk menjamin akan wujudnya keseimbangan pembelajaran antara kedua – dua peringkat persekolahan iaitu rendah dan menengah, beberapa perubahan terhadap kurikulum sekolah menengah adalah amat diperlukan. Perubahan kurikulum yang menyeluruh bagi peringkat menengah dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mana mula dilaksanakan pada tahun 1988 secara berperingkat – peringkat. Matlamat KBSM ini adalah berteraskan kepada perkembangan diri yang disepadukan dengan orientasi kepada masyarakat dan negara. Perkembangan diri ditujukan kepada kerohanian , pemikiran dan penaakulan, kesejahteraan diri, kemahiran hidup, reakreasi, daya kreatif dan sikap yang positif. Orientasi kepada masyarakat pula ditujukan kepada kemahiran berinteraksi, politik, perpaduan negara, sosio budaya, ekonomi dan modenisasi. Bahkan KBSM digubal berlandaskan kepada konsep pendidikan umum yang memberi penegasan kepada pendidikan yang seimbang dan menyeluruh dalam usaha pemupukan nilai dan kemahiran untuk membolehkan seseorang itu menjadi warganegara yang berguna, bersemangat patriotik, dan bertanggungjawab. Oleh itu, tumpuan khas diberikan kepada pemupukan semangat kewarganegaraan yang bertujuan untuk membina perasaan bangga terhadap bangsa dan negara.

     Aspek kewarganegaraan akan meliputi semua mata pelajaran serta kegiatan kokurikulum dalam KBSM. Antara objekif – objektif yang terdapat dalam KBSM ialah membolehkan pelajar menguasai kemahiran berinteraksi dalam situasi kehidupan sebenar, menekankan pembelajaran ke arah memahami diri, mengembangkan bakat, serta mempertingkatkan peribadi dan watak, memberi keseimbangan antara ilmu pengetahuan dengan unsur nilai, amalan dan rekreasi serta memberi penekanan terhadap kemahiran menyelesaikan masalah dalam situasi kehidupan harian. Unsur – unsur penting yang terkandung dalam KBSM ini ialah yang pertama ‘Unsur ilmu dan kemahiran’. Antara aspek yang terdapat dalam unsur ini ialah memperkembangkan kemahiran belajar, psikomotor dan sosial, mengembangkan intelek , kreativiti dan pemikiran serta kandungan kurikulum ini dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian. Unsur yang kedua pula ialah ‘Nilai – nilai murni’ di mana penerapan nilai murni dalam kurikulum ini adalah yang bersifat sejagat yang berteraskan kepada aspek kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan seperti baik hati, bertoleransi, bekerjasama , rasional dan sebagainya. Gerak kerja kokurikulum seperti aktiviti persatuan , unit beruniform dan permainan adalah unsur ketiga yang terdapat dalam KBSM ini. Antara tujuan gerak kerja kokurikulm ini dilaksanakan adalah untuk memupuk dan mengeratkan hubungan antara murid, sekolah dan masyarakat, mengisi masa lapang murid dengan aktiviti yang berfaedah, mengamalkan  dan mengukuhkan ilmu pengetahuan yang diperolehi dalam bilik darjah serta  memberi peluang untuk memupuk sikap yakin dan berdikari di kalangan para pelajar.

Perpaduan dan Integrasi Nasional

     Perpaduan menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), membawa maksud “sesuatu perihalan atau proses penggabungan dan kesepakatan untuk menjadi satu”. Integrasi pula bermakna “penggabungan atau pergabungan dua atau lebih beberapa kaum menjadi satu kesatuan”. Integrasi Nasional pula membawa maksud “satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok etnik dalam masyarakat melalui pengenalan atau pengwujudan satu identiti yang sama”. Di dalam konteks kehidupan masyarakat Malaysia pada hari ini, pihak kerajaan amat menitikberatkan tentang soal perpaduan dan integrasi nasional di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.    
       Ini  kerana sebagai sebuah negara yang bebas , merdeka dan berdaulat, unsur perpaduan  dikalangan rakyatnya adalah amat penting sekali kerana tanpa perpaduan,sesebuah negara itu akan mudah terdedah kepada pelbagai kelemahan dan juga ancaman anasir – anasir luar yang cuba mengambil kesempatan atau berniat jahat terhadap kedaulatan negara ini. Perpaduan rakyat Malaysia adalah satu isu yang amat penting ,wajar diberi perhatian dan perlu dititikberatkan di dalam penyusunan pembangunan negara.Dengan ini, kemerdekaan dan kedaulatan negara dapat dipertahankan dan dikekalkan serta untuk memastikan supaya semua rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman,tenteram,damai dan harmoni.

Berikut adalah di antara petikan pendapat tokoh-tokoh yang berkaitan dengan perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia.

Kenyataan ini dipetik melalui ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan Umno Pulau Pinang di Kepala Batas.Menurut beliau:
kepimpinan di Sekolah Kebangsaan(SK),hendaklah menghalusi implikasi senario ke arah polarisasi sebagai satu ancaman kepada perpaduan nasional.Keyakinan warga Malaysia terhadap SK perlulah dipulihkan dan ditingkatkan.SK perlu mempelbagaikan kegiatan ko-kurikulum yang melambangkan kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,agama,budaya dan bahasa.SK perlu wujudkan persekitaran budaya yang mencerminkan masyarakat Malaysia yang sebenar.SK sepatutnya merupakan miniature reality sebuah negara Malaysia”

Menurut pendapat Prof. Datuk Wan Hashim,Pensyarah di Fakulti Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),UKM mengatakan
“ mereka yang menentang sekolah wawasan adalah mereka yang tidak ingin melihat tercapainya cita-cita kerajaan dan rakyat Malaysia untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu seperti yang tercipta dalam Wawasan 2020 apabila rakyatnya hidup secara aman dan damai di mana tiada lagi fenomena pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi pada 2020 nanti”

Keberkesanan sistem pendidikan KBSR dan KBSM dalam pembentukan Integrasi Nasional di Malaysia

      Sememangnya KBSR dan KBSM dirancang untuk mencerminkan keinginan Falsafah dan Matlamat Pendidikan Kebangsaan dalam usaha untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang sempurna dan mempunyai keperibadian yang tinggi seperti percaya kepada Tuhan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, setia kepada negara, memberi sumbangan kepada kemajuan negara serta mempunyai semangat perpaduan dan integrasi nasional yang tinggi antara kaum. Integrasi nasional antara kaum adalah antara aspek penting yang perlu ditekankan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa ini. Tanpa semangat perpaduan dan kejelekitan antara kaum, kemajuan dan pembangunan negara pasti akan terjejas dan akhirnya akan menyebabkan berlakunya konflik dan perpecahan kaum. Untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum ini, prasangka yang bersifat perkauman atau prejudis ini seharusnya dikikis dan dihapuskan daripada diri setiap masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, sikap toleransi harus sentiasa diamalkan. Di samping itu, perbezaan kebudayaan, pendidikan, sosial dan ekonomi tidak harus dibiarkan berlarutan atau menjadi batu penghalang terhadap usaha kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan warganegaranya. Malah, sebagai rakyat Malaysia, kita harus berusaha untuk merapatkan jurang perbezaan ini untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, harmonis dan sejahtera.

      Dalam usaha untuk membina suatu sistem pendidikan yang berdasarkan perpaduan ini, kelima – lima prinsip Rukun Negara perlu diterapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Semua perancangan kurikulum sekolah seperti KBSR dan KBSM adalah mempunyai perkaitan dengan prinsip Rukun Negara. Penerapan prinsip Rukun Negara dalam KBSR dan KBSM adalah atas kesedaran bahawa sekolah merupakan agen yang boleh menjalankan tugas penyebaran ilmu pengetahuan dan pembentukan akhlak yang sempurna dalam proses pendidikan serta murid dapat mengamalkannya dalam kehidupan harian mereka demi mewujudkan perpaduan antara kaum. Oleh yang demikian, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran termasuk aktiviti kokurikulum harus menekankan unsur integrasi nasional , iaitu kepatuhan terhadap ideologi Rukun Negara. Dalam situasi ini, pemilihan matapelajaran yang terkandung dalam KBSR dan KBSM seperti matapelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Moral , Sejarah dan Aktiviti Ko-kurikulum adalah sangat penting dalam usaha untuk mencapai cita – cita yang termaktub dalam Rukun Negara.

        Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar yang menjadi nadi penghubung interaksi sosial antara kaum di negara ini. Bahasa Melayu adalah lambang kepada pengenalan identiti bangsa Malaysia yang dikongsi bersama sejak sekian lama dan ia merupakan aspek utama yang menyumbang ke arah pembentukan integrasi nasional di negara ini. Oleh yang demikian, dalam kurikulum KBSR dan KBSM, kedudukan Bahasa Melayu adalah sangat tinggi nilainya dalam sistem pendidikan di negara ini agar setiap kaum memperoleh pengetahuan, nilai dan kefahaman yang saksama dan adil.  Bagi matapelajaran Sejarah yang terkandung dalam KBSM dan matapelajaran Sivik Kewarganegaraan dalam KBSR, ia secara tidak langsung dapat mengukuhkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan kanak – kanak. Pembentukan semangat kenegaraan ini adalah sangat penting untuk pembangunan negara di mana para pelajar dapat menyedari pentingnya sikap kenegaraan dalam diri untuk memajukan negara, memupuk perasaan cinta dan bangga terhadap negara, serta menyedari akan kepentingan bersikap toleransi sebagai asas kehidupan dalam masyarakat yang berbilang kaum. Peneguhan pembentukan sikap kenegaraan di bawah rancangan KBSR dan KBSM ini boleh dilaksankan secara tidak langsung melalui aktiviti berkumpulan di mana murid – murid akan dilatih mengamalkan sikap seperti kerjasama, bertoleransi, hormat menghormati dan juga bertanggungjawab. Sikap – sikap seperti ini adalah penting dalam usaha untuk membentuk integrasi nasional di kalangan pelajar yang berbilang kaum. Melalui aktiviti kokurikulum KBSR dan KBSM, ianya meliputi aktiviti kelab, persatuan, permainan serta unit beruniform. Melalui aktiviti – aktiviti yang dijalankan ini, pelajar mendapat peluang berinteraksi dengan pelbagai kaum, memahami budaya kaum lain, mendisiplinkan diri, serta dapat mengamalkan sikap toleransi dan kerjasama dengan rakan – rakan yang lain. Penerapan nilai – nilai murni ini adalah penting dalam pemupukan individu ke arah mencapai integrasi nasional.

        Seterusnya, integrasi nasional dalam KBSR dan KBSM dapat dicapai melalui “Aktiviti Budaya Sekolah”. Aktiviti budaya sekolah ini merangkumi aktiviti seperti menyanyikan lagu kebangsaan, lagu sekolah dan lagu patriotik secara bersama dalam perhimpunan sekolah,  membaca ikrar dalam upacara rasmi seperti hari sukan, mengibarkan bendera kebangsaan pada setiap pagi hari persekolahan dan melaksanakan program Minggu Bahasa Melayu peringkat sekolah. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan aktiviti – aktiviti budaya sekolah yang dijalankan ini dapat menyumbang ke arah pembentukan integrasi nasional melalui pemupukan semangat patriotisme dan kenegaraan dalam kalangan para pelajar sekolah rendah mahu pun di sekolah menengah.

0 comments:

Post a Comment