Bab 12  Isu Semasa Negara 

3.1 : Sistem Pemerintahan Malaysia ( YDP Agong, Kabinet, Komponen ) 

Dalam sistem pemerintahan Malaysia, terdapat tiga buah badan utama iaitu:-

• Badan Perundangan.
Badan ini hanya membuat undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada mana-mana pihak dan tidak boleh mempunyai kuasa lain;

• Badan Pemerintah.
Badan ini hanya menjalankan kuasa eksekutif dan tidak boleh membuat undang-undang dan penghakiman; dan;

• Badan Kehakiman
Badan ini hanya menjalankan penghakiman dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa eksekutif. Ketiga-tiga badan ini mempunyai kuasa, bidang tugas dan peranan masing-masing. Namun begitu, Badan Perundangan dan Badan Pemerintah berkait antara satu sama lain kerana Malaysia mengamalkan sistem kerajaan di mana ahli-ahli Badan Perundangan adalah juga Badan Pemerintah. Contohnya, Jemaah Menteri bertanggungjawab kepada Badan Perundangan (Parlimen Malaysia). Badan Kehakiman sahaja merupakan sebuah badan berasingan dan bebas daripada politik, bagi menjamin keadilan di negara ini.

Amalan pengasingan kuasa antara tiga badan utama iaitu badan perundangan [legislative],pentadbiran [executive] dan kehakiman [judiaciary] yang dipraktikkan baik di peringkat pusat atau kerajaan negeri yang diamalkan selama ini berasaskan Perlembagaan seseungguhnya telah mengukuh dan melicinkan lagi urusan pemerintahan-pentadbiran negara semenjak merdeka.

KOMPONEN UTAMA DALAM SISTEM KERAJAAN MALAYSIA

Badan Perundangan
Badan Perundangan (Parlimen Malaysia) memiliki kuasa menggubal undang-undang persekutuan dan juga negeri-negeri di dalamnya. Parlimen terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dua Dewan, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Parlimen adalah badan kuasa perundangan untuk persekutuan yang membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh persekutuan. Parlimen juga mengawal kewangan kerajaan. Cukai-cukai dan kadar-kadar persekutuan boleh dinaikkan hanya dengan kuat kuasa Parlimen seperti yang dinyatakan dalam undang-undang persekutuan. Semua hasil yang diperoleh hendaklah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Persekutuan Yang Disatukan dan semua wang hanya boleh dibelanjakan dengan kuasa Parlimen. Parti yang memenangi kerusi majoriti dalam pilihan raya umum dan dapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat akan membentuk kerajaan. Pemimpin parti majoriti yang mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara yang mengambil keutamaan mengatasi semua orang dalam persekutuan dan tidak boleh dikenakan dakwaan dalam apa-apa juga perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut peraturan yang termaktub dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong akan memegang jawatannya selama lima tahun kecuali baginda meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatannya oleh Raja-Raja Melayu.

Sebagai ketua utama negara, baginda mempunyai kuasa eksekutif. Baginda berkuasa memanggil, membatalkan dan membubarkan Parlimen. Dalam melaksanakan kuasa, baginda mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri. Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan tiga perkara mengikut budi bicara baginda sendiri iaitu melantik Perdana Menteri, tidak mempersetujui pembubaran Parlimen dan meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja. Baginda juga mempunyai kuasa pengampunan bagi semua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan dan kesalahan-kesalahan tertentu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Baginda adalah Ketua Agama bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Selain memegang tampuk tertinggi dalam Angkatan Tentera Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga berperanan menentukan rizab orang Melayu dan bumiputera, jawatan perkhidmatan, biasiswa, bantuan keistimewaan pendidikan atau latihan, kadar permit atau lesen dan juga mengisytiharkan darurat.

Dewan Negara

Dewan Negara adalah Majlis Tertinggi yang berperanan membahaskan sesuatu rang undang-undang dengan lebih terperinci. Ia juga bertanggungjawab membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum. Mengikut Perkara 68, Perlembagaan Persekutuan, Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Walau bagaimanapun, Dewan Negara boleh menangguhkan pelaksanaan sesuatu rang undang-undang itu.

Dewan Negara mempunyai 70 orang ahli yang mana 44 orang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong daripada warganegara yang pada pendapat baginda “telah berbakti dengan cemerlangnya atau telah mencapai taraf gemilang dalam perkhidmatan awam, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan, perkhidmatan masyarakat atau wakil-wakil kaum yang terkecil bilangannya atau yang boleh mewakili kepentingan Orang Asli”. Wilayah Persekutuan dianggotai oleh empat orang ahli iaitu dua orang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya juga dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sebanyak 26 orang lagi dipilih oleh Dewan Undangan Negeri dari 13 buah negeri di Malaysia, iaitu tiap-tiap sebuah negeri mengemukakan dua orang Senator.

Seorang Yang di-Pertua Dewan dan Timbalannya dipilih terlebih dahulu bagi mengendalikan Persidangan Dewan dari kalangan ahli-ahli sendiri. Keanggotaan Dewan ini dihadkan kepada warganegara yang berumur 30 tahun ke atas. Tempoh jawatan seseorang Ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan Ahli Dewan Negara boleh dilantik untuk kali kedua dan memegang jawatan Senator bagi tempoh tiga tahun lagi. Hanya dua penggal sahaja dibenarkan bagi setiap Senator memegang jawatannya. Tempoh memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Negara ini tidaklah terjejas dengan pembubaran Parlimen. Parlimen diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk mengubah keahliah Dewan Negara, seperti menambah bilangan ahli-ahli dewan yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri menjadi tiga orang, memperuntukkan supaya ahli-ahli Dewan Negara itu dipilih oleh pengundi-pengundi, atau mengurangkan jumlah ahli-ahli Dewan Negara yang dilantik.

Dewan Rakyat

Dewan Rakyat merupakan majlis khas untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pendapat serta mendapatkan pembelaan menerusi wakil-wakil mereka. Ahli-ahli Dewan Rakyat dipilih secara langsung oleh rakyat keseluruhannya dalam pilihan raya umum. Yang di-Pertua dan Timbalannya dipilih oleh Dewan Rakyat. Namun demikian, terdapat pula satu syarat dalam perlembagaan yang membolehkan Yang di-Pertua dipilih dari luar Dewan Rakyat. Orang yang dipilih seperti ini dianggap sebagai ahli tambahan Dewan dan satu tambahan kepada ahli yang dipilih. Keanggotaan Dewan Rakyat dihadkan kepada warganegara yang berumur 21 tahun ke atas dan tidak boleh menjadi ahli Dewan Negara. Tempoh Dewan ini ialah lima tahun. Walau bagaimanapun, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkuasa, menurut kebijaksanaannya, untuk membubarkan Parlimen sebelum tempoh tersebut iaitu setelah memperoleh nasihat dari Perdana Menteri.

Ahli Dewan Rakyat pada masa ini ialah 222 orang yang mewakili kawasan pilihan raya di seluruh Malaysia. Pecahan kerusi Dewan Rakyat adalah 153 kerusi untuk negeri-negeri di Semenanjung, 25 kerusi untuk Sabah dan 31 kerusi untuk Sarawak, sementara Wilayah Persekutuan pula 13 kerusi iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kerusi), Wilayah Persekutuan Labuan (1 kerusi) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 kerusi).

BADAN PEMERINTAH (EKSEKUTIF)

Badan pemerintah atau eksekutif merupakan badan yang bertanggungjawab melaksanakan kuasa-kuasa eksekutif mengikut Perlembagaan dan undang-undang.

Mengikut Perkara 39, Perlembagaan Persekutuan, kuasa memerintah Persekutuan Malaysia adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa ini boleh dijalankan oleh Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Tetapi Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang lain. Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah Timbalan Ketua Utama Negara. Apabila berlaku kekosongan disebabkan Yang di-Pertuan Agong tidak berupaya menjalankan tugas kerana sakit, tidak berada dalam Persekutuan Malaysia lebih daripada 15 hari atau kerana sebab-sebab lain maka Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.

Jemaah Menteri

Jemaah Menteri merupakan badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di bawah Perkara 43, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik barisan Jemaah Menteri untuk menasihatkan baginda dalam hal ehwal menjalankan tugas-tugasnya. Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut:

a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang daripada ahli Dewan Rakyat yang pada pendapat baginda mendapat kepercayaan sebilangan besar daripada ahli-ahli Dewan itu sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri; dan

b) Atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-menteri lain dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Majlis Raja-Raja

Majlis Raja-Raja mengandungi semua Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Tugas majlis ini seperti yang tercatat dalam Perkara 38, Perlembagaan Persekutuan adalah untuk:-

• Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga, Perlembagaan Persekutuan;

• Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh persekutuan;

• Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang menurut Perlembagaan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Badan Kehakiman

Badan Kehakiman adalah badan ketiga dalam sistem kerajaan Malaysia. Kuasa kehakiman ini terletak pada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Kuasa Kehakiman juga terletak pada Mahkamah Agung yang mempunyai kuasa tertentu seperti yang termaktub dalam Perkara 126, 128 dan 130 Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi Badan Kehakiman

Fungsi Badan Kehakiman bergantung pada taraf mahkamah-mahkamah seperti Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Mahkamah Tinggi terdiri daripada dua buah, iaitu Mahkamah Tinggi Malaya – sebuah bagi Semenanjung Malaysia dan sebuah lagi bagi Sabah dan Sarawak (yang dahulunya dinamakan Borneo). Mahkamah Rendah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak terdiri daripada Mahkamah Seksyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu di Semenanjung manakala, Mahkamah Adat/Negeri di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, terdapat juga Mahkamah Juvana bagi membicarakan kanak-kanak dan mereka yang di bawah umur 18 tahun. Fungsi-fungsi ini dijalankan mengikut kuasa-kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada mahkamah-mahkamah tersebut.

Pelantikan Hakim

Ketua Hakim Negara, Kedua-dua Hakim Besar Malaya dan Sabah dan Sarawak serta Hakim-hakim Besar Mahkamah Persekutuan dan Hakim-hakim lain Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Bilangan hakim di negara ini ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan meskipun keanggotaan mereka boleh diubah atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa.

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri . Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.

Struktur Parlimen Malaysia


Parlimen Malaysia merupakan lambang struktur demokrasi Kerajaan dan mencerminkan aspirasi rakyat melalui perwakilan yang dipilih. Parlimen Malaysia yang merupakan badan penggubal undang – undang tertinggi negara terdiri daripada tiga komponen utama:

1. Yang Di-Pertuan Agong
 
2. Dewan Negara
 
3. Dewan Rakyat


Kini, keahlian Parlimen Kedua Belas bertambah kepada 70 ahli bagi Dewan Negara dan 222 ahli bagi Dewan Rakyat. Parlimen Malaysia akan terus menjadi institusi yang dijunjung tinggi oleh semua rakyat Malaysia dan akan terus menjadi lambang demokrasi berparlimen negara untuk selama-lamanya.


Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong



Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja.

Pemilihan itu berkuatkuasa 13 Disember 2011 untuk tempoh lima tahun. Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Ini kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 September 1975.

Sultan Abdul Halim, 83, menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Senarai Kabinet Terkini
 (Jemaah Menteri)

Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak

Timbalan Perdana Menteri

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Senator Datuk Seri Idris Jala
Senator Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom
YB Senator Dato’ Palanivel a/l K. Govindasamy – Baharu

Timbalan Menteri: Datuk Liew Vui Keong
Timbalan Menteri: Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri: Datuk SK Devamany
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Maslan
Timbalan Menteri: Datuk T Murugiah

Kementerian Kewangan

Menteri I: Datuk Seri Najib Tun Razak
Menteri II: Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Timbalan Menteri: Datuk Dr Awang Adek Hussin
Timbalan Menteri: Senator Datuk Donald Lim Siang Chai

Kementerian Pelajaran
Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Menteri: Datuk Dr Wee Ka Siong
Timbalan Menteri: Datuk Dr Puad Zarkashi

Kementerian Dalam Negeri

Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien
Timbalan Menteri: Datuk Wira Abu Seman Yusop
Timbalan Menteri: Datuk Lee Chee Leong

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
Menteri: Datuk Seri Dr Rais Yatim
Timbalan Menteri: Datuk Joseph Salang Gandum
Timbalan Menteri: Senator Datuk Maglin Dennis D”Cruz

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Menteri: Datuk Seri Peter Chin Fah Kui
Timbalan Menteri: Noriah Kasnon

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Menteri: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Timbalan Menteri: Datuk Hasan Malek
Timbalan Menteri: Datuk Joseph Entulu Belaun 

Kementerian Pengajian Tinggi

Menteri: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Timbalan Menteri: Datuk Dr Hou Kok Chung
Timbalan Menteri: Datuk Saifuddin Abdullah

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Menteri: Datuk Seri Mustapa Mohamed
Timbalan Menteri: Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir
Timbalan Menteri: Datuk Jacob Dungau Sagan

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

Menteri: Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili
Timbalan Menteri: Fadillah Yusof

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

Menteri: Datuk Seri Douglas Uggah Embas
Timbalan Menteri: Tan Sri Joseph Kurup

Kementerian Pengangkutan

Menteri: Datuk Seri Kong Cho Ha
Timbalan Menteri: Datuk Abdul Rahim Bakri
Timbalan Menteri: Jelaing Mersat

Kementerian Pelancongan

Menteri: Dato’ Seri Dr Ng Yen Yen
Timbalan Menteri: Datuk Dr James Dawos

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

Menteri: Datuk Seri Noh Omar
Timbalan Menteri: Datuk Johari Baharum
Timbalan Menteri: Chua Tee Yong

Kementerian Pertahanan
Menteri: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Menteri: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

Kementerian Kerja Raya

Menteri: Datuk Shaziman Abu Mansor
Timbalan Menteri: Datuk Yong Khoon Seng

Kementerian Kesihatan

Menteri: Datuk Seri Liow Tiong Lai
Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin

Kementerian Belia dan Sukan
Menteri: Datuk Ahmad Shabery Cheek
Timbalan Menteri: Senator Gan Ping Sieu
Timbalan Menteri: Datuk Razali Ibrahim

Kementerian Sumber Manusia
Menteri: Datuk Dr S Subramaniam
Timbalan Menteri: Senator Datuk Maznah Mazlan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Menteri: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Timbalan Menteri: Datuk Tan Lian Hoe
Timbalan Menteri: Datuk Rohani Abdul Karim

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Menteri: Datuk Wira Chor Chee Heung
Timbalan Menteri: Datuk Lajim Ukin

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Menteri: Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Timbalan Menteri: Senator Heng Saei Kie

Kementerian Luar Negeri

Menteri: Datuk Seri Anifah Aman
Timbalan Menteri: A Kohilan Pillay
Timbalan Menteri: Datuk Richard Riot Jaem

Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar

Menteri: Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Timbalan Menteri: Datuk M Saravanan

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Menteri: Tan Sri Bernard Giluk Dompok
Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainudin
Timbalan Menteri: Senator Datuk G Palanivel

Perubahan Kabinet baharu ini melibatkan perubahan yang berikut:

Menteri

Datuk Seri Kong Cho Ha dilantik sebagai Menteri Pengangkutan bagi menggantikan Datuk Seri Ong Tee Keat yang ditamatkan pelantikan sebagai menteri;
Datuk Wira Chor Chee Heung yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan pula dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menggantikan tempat Cho Ha.

Timbalan Menteri

Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani;
Senator Datuk Donald Lim Siang Chai sebagai Timbalan Menteri Kewangan;
Senator Gan Ping Shou sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan menggantikan Datuk Wee Jeck Seng yang ditamatkan pelantikan.
Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz dilantik sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
Senator Datuk G Palanivel sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti;
Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri.

Selain daripada pelantikan baru, terdapat juga rombakan dari segi pertukaran portfolio dalam Senarai Menteri Kabinet 2010 yang melibatkan tiga timbalan menteri iaitu:
Datuk Rohani Abdul Karim dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan;
Jelaing anak Mersat dari Kementerian Dalam Negeri ke Kementerian Pengangkutan;
Datuk Lee Chee Leong dari Kementerian Luar Negeri ke Kementerian Dalam Negeri.


Ketua Hakim Negara


Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.


3.2 : Isu Adam Adli


Adam Adli Menurunkan Bendera Perdana Menteri.
Isu Adam Adli, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak yang menurunkan bendera Dato Seri Najib Tun Razak di PWTC. Ia berlaku ekoran ketidakpuasan hati sekumpulan golongan pelajar terhadap akta universiti AUKU. Dengan matlamat untuk memperjuangkan kebebasan akademik, Adam Adli menyatakan dia tidak akan membuat permohonan maaf kepada Perdana Menteri terhadap perbuatannya itu. Tindakannya ini mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan tindakan itu tidak beradap dan lari daripada norma seorang pelajar yang sepatutnya sibuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran di universiti.Tambahan lagi dia merupakan bakal pendidik. Namun terdapat segelintir juga yang menyokong usahanya itu dan menganggap perbuatannya itu sebagai berani dan terkedepan dalam menyuarakan rasa hati pelajar.

Adam digantung tiga semester

Aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim digantung pengajian selama tiga semester atas tuduhan mencemarkan reputasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penggantungan pelajar tahun ketiga jurusan Mengajar Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) peringkat sarjana muda itu berkuatkuasa serta merta.

Pelajar 22 tahun itu ditahan dan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti berkenaan hari ini atas dakwaan terbabit dengan perhimpunan menuntut kebebasan akademik pada 17 Disember lalu.

Adam mencetuskan kegemparan apabila beliau menurunkan bendera yang tertera gambar Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur dan menggantikannya dengan kain rentang propelajar.

Beliau kemudiannya memberitahu pemberita bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan universiti itu.


3.3 : BR1M

Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

Satu program bantuan kewangan untuk rakyat Malaysia yang tinggal dalam isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Syarat Permohonan

Seorang pemohonan yang ingin mendapatkan bantuan ini mestilah:


§     Warganegara Malaysia
§     Lelaki atau perempuan yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah dengan jumlah pendapatan kasar RM3000 dan ke bawah.
§     Berkahwin
§     Ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan
§     Bujang yang mempunyai tanggungan (dalam rumah yang sama)
§     Warga emas (berumur 60 tahun dan ke atas) yang sebatang kara dengan jumlah pendapatan kasar RM3000 dan ke bawah sebulan.

Untuk tujuan pendaftaran, pemohon mesti menyertakan salinan dokumen seperti berikut:


§     Borang Pendaftaran BR1M
§     Salinan MyKad/Kad Polis/Kad Tentera
§     Salinan Penyata Gaji terkini (Bagi pemohon yang menerima gaji sahaja)

3.4 : Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi & Politik 


Program Transformasi Kerajaan (GTP)


Program Transformasi Kerajaan (GTP) diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada bulan April 2009, dan akan diterajui oleh beliau. Dua objektif GTP adalah – pertama, untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat; dan kedua, memacu Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang maju, bersatu-padu dan saksama dengan standard kehidupan yang tinggi untuk semua. Ini sejajar dengan misi nasional ke arah mencapai Wawasan 2020 – untuk Malaysia mencapai status negara maju sepenuhnya.

Enam NKRA telah dikenalpasti untuk menuju ke arah transformasi Kerajaan dan ianya adalah:


• Mengurangkan Jenayah
• Membanteras Rasuah
• Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar
• Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isirumah Berpendapatan Rendah
• Mempertingkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar
• Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar

Mengurangkan kadar jenayah
Mengurangkan jenayah jalanan 20 peratus pada hujung 2010. Pasukan Rela dikemaskini dan diberi latihan secukupnya. CCTV ditambah untuk cegah jenayah. Percepatkan perundangan kes-kes tertangguh.

Memerangi rasuah

Mengemaskini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan. Tender terbuka atau tender terhad dalam semua perolehan kerajaan kecuali kes-kes tertentu.

Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan
 Menjadikan pendidikan prasekloah sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Semua kanak-kanak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke tahun 4 sebelum hujung 2012. Menjanjikan ganjaran kepada semua pengetua dan guru besar sekolah berasaskan pencapaian sekolah masing-masing. Mengenal pasti 100 buah sekolah terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang 2012.

Meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah
Membayar semua bantuan kebajikan untuk rakyat pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan bermula Januari 2010. Menambah jumlah usahawan di kalangan wanita kepada 4,000 orang menjelang tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.

Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman
Membina jalan luar bandar berjumlah 1,500km sebelum penamat 2012. Memastikan kesemua rakyat di semenanjung tinggal tidak melebihi 5km dari kemudahan jalan berturap. Meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun 2012. Meningkatkan liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak kepada 95% pada akhir tahun 2012. Memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir tahun 2012.

Menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana
Meningkatkan bilangan pengguna pengangkutan awam daripada 16% kepada 25% pada penghujung tahun 2012. Menambah 35 set “4-car-train” yang beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya menjelang penghujung 2012.


Program Transformasi Ekonomi (ETP)


Pengenalan 
Program Transformasi Ekonomi merangkumi Model Baru Ekonomi (MBE), 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dan 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP).


Perdana Menteri juga telah melancarkan dokumen Pelan Hala Tuju ETP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Oktober 2010. Kandungan Pelan Hala Tuju ETP ini turut merangkumi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu :


1. Minyak, gas & tenaga
2. Minyak sawit
3. Perkhidmatan kewangan
4. Pelancongan
5. Perkhidmatan perniagaan
6. Elektronik dan elektrikal
7. Pemborongan & peruncitan
8. Pendidikan
9. Penjagaan kesihatan
10. Kandungan & infrastruktur komunikasi
11. Pertanian
12. Greater Kuala Lumpur
Program Transformasi Politik 

KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960dan beberapa akta lain yang dianggap lapuk bukan sahaja mencatat sejarah baru tetapi turut merubah landskap politik negara sepanjang 2011.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak, khususnya barisan pembangkang yang terkesima dan mati akal dengan langkah berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hanya mengambil masa dua tahun untuk menunaikan janjinya bagi melaksanakan Program Transformasi Politik (PTP) negara.

Tanggal 15 September menjadi titik permulaan transformasi politik negara yang dilakukan Najib apabila beliau mengumumkan pemansuhan ISA, Akta Buang Negeri 1959, dan kajian semula yang membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967, semasa menyampaikan perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia.

ISA akan digantikan dengan dua undang-undang baru yang sesuai dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Mac tahun depan.

Kata Najib, dua akta baru yang akan menggantikan ISA bakal mewujudkan perseimbangan antara hak asasi individu, kebebasan sivil dan menjaga keamanan awam.

Langkah itu juga, kata Perdana Menteri membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang progresif dengan lebih baik dan dihormati negara lain. Pada Oktober, pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 diluluskan Dewan Rakyat tanpa sebarang pindaan selepas akta itu yang telah 34 tahun tidak diguna pakai, diyakini sudah lapuk dan tidak boleh digunakan lagi.

Ini diikuti dengan pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933, yang mana serentak itu Najib turut mengumumkan pembebasan kesemua 125 individu yang ditahan mengikut akta itu dengan serta-merta manakala lebih 200 waran yang belum diserahkan dibatalkan.

Menurut Najib, pemansuhan akta itu dan beberapa akta lain merupakan sebahagian daripada permulaan PTP negara dan pelengkap kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan. Kesungguhan kerajaan melaksanakan proses transformasi politik itu menurut Perdana Menteri tidak dipengaruhi atau didesak mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun luar.

“Tiada siapapun yang mempengaruhi kita, tiada siapapun yang mendesak kita.

Kerajaan ini membuat keputusan atas kehendak dan fikrah sendiri dengan memulakan proses islah dan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata teras utama PTP mengambil kira aspirasi nasional ke arah sebuah Malaysia moden, demokratik, progresif lagi maju dan memiliki demokrasi yang berfungsi.

Ia juga bertujuan menyeimbangkan keperluan keselamatan nasional dan kebebasan individu dengan mengambil kira kemajmukan negara, yang kompleks sifatnya, dan ancaman keganasan global pasca tragedi 11 Sept 2001, katanya. Transformasi politik Najib juga jelas kelihatan melalui pendekatan matang pentadbiran beliau berdepan gesaan badan bukan kerajaan dan desakan daripada pembangkang, berhubung kebebasan mengadakan perhimpunan termasuk perhimpunan haram 9 Julai — Bersih 2.0.

Seiring dengan semangat ‘merasai denyut nadi rakyat’, Najib dilihat berjaya meneruskan momentum transformasi politiknya apabila berupaya menggantikan pertentangan dengan dialog, sekatan dengan keterbukaan, dan mengatasi authoritarian dengan demokrasi.

Buktinya langkah kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 bagi menggantikan Seksyen 27 Akta Polis yang bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata.

Rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat pada hujung bulan lepas adalah satu daripada usaha kerajaan melakukan transformasi terhadap kerangka undang-undang sedia ada berhubung hak perlembagaan warganegara untuk berhimpun.

Turut diluluskan bulan lepas ialah usul untuk memansuhkan tiga Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada tahun 1966, 1969 dan 1977.


Usul yang dibentangkan Najib itu bertujuan membatalkan tiga proklamasi yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan selepas keadaan darurat dan kini dimansuhkan kerana ancaman keselamatan seumpamanya tidak lagi wujud.

Selaras dengan kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan PTP fasa kedua dengan pemansuhan tiga Proklamasi Darurat itu, seramai 36 orang tahanan di bawah Ordinan Darurat dibebaskan.

Tidak terhenti di situ, ruang demokrasi turut dibuka Najib kepada golongan mahasiswa apabila kerajaan memutuskan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.

Mengumumkan perkara itu semasa membentangkan usul memansuhkan Proklamasi Darurat, Najib berkata keputusan itu dibuat kerana kerajaan percaya kepada kematangan dan kebijaksanan para mahasiswa.

“Dengan itu bagi menghormati hak Perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi negara yang telah mencapai umur baligh undang-undang atau ‘age of majority’, kerajaan akan pinda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membenarkan mereka menjadi ahli parti politik,” katanya.

Penuntut universiti bagaimanapun ditegah sama sekali membawa politik kepartian ke dalam kampus.

Langkah itu, dilihat banyak pihak mampu mengembalikan keyakinan sebahagian pengundi muda yang sebelum ini lebih cenderung kepada agenda pembangkang.

Biarpun langkah-langkah transformasi Najib mungkin diterjemah sesetengah pihak sebagai strategi kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi, namun tidak dapat dinafikan pembaharuan yang dibawakan anak sulung Tun Abdul Razak Hussein ini akan kekal menjadi legasinya sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam. – BERNAMA


3.5 : Bajet 2012

Semasa Bajet 2011 (Belanjawan 2011) yang lepas kerajaan memperkenalkan konsep Bajet Rakyat kerana pada masa itu Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak mengalu-alukan sumbangan buah fikiran atau pandangan daripada rakyat. Dalam Bajet 2012 ini pula kerajaan sekali lagi meneruskan kesinambungan konsep sebelumnya. Menterjemahkannya sebagai ‘Belanjawan Transformasi untuk Semua Rakyat Malaysia’, sasaran Bajet 2012 ini adalah berusaha mencapai keseimbangan yang bakal memberikan kebaikan kepada pelbagai pihak. Beberapa aspek yang diberi keutaamaan termasuklah janji kerajaan untuk memastikan terdapat keadilan sosial di samping mengukuhkan ekonomi bagi kesejahteraan jangka panjang untuk semua selaras dengan prinsip 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

BAJET 2012

Jumlah bajet – RM232.8 bilion
Perbelanjaan Operasi – RM181.6 bilion
Perbelanjaan Pembangunan – RM51.2 bilion

Peruntukan rancakkan pembangunan

Kerajaan memperuntukan RM978 juta untuk merancakkkan pembangunan untuk lima projek: (1) lebuh raya JB-Nusa Jaya, (2) muzium warisan Taiping, (3) projek agropolitan Besut, (4) projek tandan sawit Lahad Datu dan (5) bekalan air Samalaju.

Kereta hibrid

Pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik akan dilanjutkan sehingga 2013.

RM1 bilion untuk sekolah

Kerajaan akan wujudkan RM1 bilion untuk penambahkaikan sekolah. RM500 juta diberikan pada sekolah kebangsaan. Manakala RM100 juta diperuntukkan masing-masing kepada sekolah jenis kebangsaan (Cina), sekolah jenis kebangsaan (Tamil), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

FELDA Global Ventures Holdings
Peneroka Felda akan terima “durian runtuh”. Jumlahnya akan diumumkan sebelum Felda GVH disenarai di Bursa Malaysia sebelum pertengahan 2012. Penyenaraian dilakukan dalam dalam usaha mengumpul dana menjadikan Felda syarikat konglomerat global.RM400 juta diperuntuk untuk naik taraf infrastuktur bekalan air di kawasan Felda terpilih.

Yuran sekolah
Kerajaan memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan. Ini termasuk pemansuhan bayaran bagi kegiatan ko-kurikulum, insurans takaful dan sebagainya. Semua ini bermula penggal sekolah tahun depan.

Pencen

Seramai 600,000 pesara kerajaan akan menikmati kenaikan pencen tahunan sebanyak 2 peratus. Umur wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Kakitangan awam

Kerajaan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimun lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus.
Kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320.

Polis

RM200 juta peruntukan khas akan diberikan untuk perbelanjaan pembangunan polis, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan.

Keluarga tentera

RM3,000 akan diberi secara one off kepada angggota keluarga, duda dan balu anggota berjumlah 62,000 orang.

Subsidi


§     Beras – Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.
§     Gula – bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen.
§     Minyak masak – harga RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50
§     Tepung – harga asal RM1.90, rakyat bayar RM1.35
Skim rumah pertama
Kerajaan cadangkan had maksimum harga rumah Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia

Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100,000 isu rumah. Pelabur boleh mohon pinjaman RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun.

Subsidi rumah

Kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000 untuk pembelian Program Rumah Mesra Rakyat. Mereka yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usah boleh dapatkan pembiayaan untuk membeli rumah berharga RM65,000 dengan harga RM45,000. RM200 juta diperuntukkan untuk program ini.

Teksi persendirian


§     Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.
§     Pengecualian bayaran balik duti eksasis dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau tukar milik.
§     Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian.
§     Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama berusia lebih tujuh tahun tetapi kurang 10 tahun. Bagi teksi berusia 10 tahun dan ke bawah, bantuan RM1,00 akan diberikan.
Perlindungan kepada gelandangan

§     Kerajaan menyediakan pusat khidmat sosial dikenali Anjung Singgah sebagai perlindungan sementara kepada gelandangan sekitar Kuala Lumpur.
§     Seramai 1,400 orang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 250 dengan Anjung Singgah.
Simpanan persaraan – KWSP
Caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.

Pinjaman TEKUN

Menteri kewangan mencadangkan peruntukan TEKUN ditambah sekali ganda daripada RM120 juta kepada RM300 juta.

Bonus Penjawat Awam
Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM 500 ringgit untuk penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada pesara kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011.

Meringankan Kos Sara Hidup


§     Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit.
§     Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;
§     Bantuan persekolahan RM100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.
§     Pemberian baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.
Rancangan Tebatan Banjir

§     Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit.
§     Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan.
§     Di Perak, tiga projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah.
§     Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.
Jika dibandingkan dengan Bajet 2011, bajet 2012 ini pada saya lebih mengambil kira kepentingan pelbagai pihak, sama ada kakitangan awam, swasta mahupun rakyat secara umumnya. Diharap Dewan Rakyat akan meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 (Bajet 2013) pada persidangan akan datang.

0 comments:

Post a Comment