1. 9 : Pembestarian Sekolah

Pembestarian Sekolah merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi penggunaan ICT dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan kompetensi guru. Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari iaitu sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi maklumat. Komponen utama Pembestarian Sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian Sekolah ini akan dapat melatih guru dan murid berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).


Pengenalan Pembestarian
Sistem pendidikan sedia ada perlu dimantapkan selaras dengan perkembangan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Beberapa penambahbaikan dalam pelbagai aspek perlu dilakukan supaya modal insan yang dilahirkan mampu berdaya saing dan relevan dengan kehendak semasa. Pewujudan Sekolah Bestari merupakan satu senario dalam pendidikan alaf baru di Malaysia dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial serta budaya masa kini. Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan menggabungkan serta memberikan penekanan terhadap beberapa aspek, antaranya pengajaran dan pembelajaran berbudaya fikir, pemusatan kepada pelajar, penggunaan bahan teknologi secara bijak, strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, serta pengurusan sekolah yang efektif.

Sekolah bestari

Sekolah bestari merupakan satu konsep sekolah di Malaysia. Konsep ini akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah ini bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar - kuat atau lemah, kaya atau miskin - mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Teknologi komputer akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan.

Pada peringkat permulaan, empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, akan diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknolgi terkini sebagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat Pemkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Untuk menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari, guru-guru di sekolah yang dipilih menjadi sekolah bestari, akan diberi latihan dalam perkhidmatan, khasnya dalam bidang pedagogi untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi terkini. Bagi sekolah-sekolah bestari yang ditubuhkan, tenaga pengajar dan pentadbirnya akan dipilih oleh Ketua Pasukan Bertugas Sekolah Bestari di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perkembangan Sekolah Bestari telah menjadi satu arah-aliran dalam perkembangan pendidikan yang tidak dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia. Sekolah Bestari ini merupakan sekolah satu-satunya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cerdik dan berpengetahuan, dan dijangkakan akan mampu bersaing apabila menghadapi cabaran-cabaran Wawasan Negara.

0 comments:

Post a Comment