CARA GURU MENANGANI MASALAH  PERBEZAAN INDIVIDU DALAM BILIK DARJAH

Rohayaty Mohd. Majzub (2008) menjelaskan  satu aspek perkembangan yang ketara ialah aspek perbezaan individu. Perbezaan individu merupakan ketidaksamaan beberapa aspek perkembangan di antara individu. Perbezaan ini mungkin secara fizikal seperti tinggi dan berat badan. Amatlah penting bagi para pendidik memahami bagaimana individu berbeza di antara satu dengan lain dan kepentingan perbezaan tersebut dalam melaksanakan tugas pendidikan. Perbezaan individu boleh dilihat dari segi beberapa aspek seperti jantina, fizikal, kognitif / mental, sosial, kesihatan,personaliti dan lain-lain. Jadi, pendidik perlu bersedia menghadapi perbezaan individu supaya dapat mengelakkan situasi di mana kanak-kanak diabaikan atau di mana kanak-kanak lain yang cerdas terlalu menerima perhatian guru. Beberapa cara boleh diambil oleh guru bagi mengatasi perbezaan individu dalam bilik darjah.


Antaranya ialah dengan melaksanakan pendidikan pemulihan. Dalam situasi ini, kanak-kanak yang lemah dalam pelajaran mereka akan diberi pengajaran pemulihan sama ada  secara formal atau tidak formal. Amalan ini sangat bermanfaat bagi kanak-kanak bermasalah dalam menguasai satu-satu kemahiran asas dalam pembelajarannya. Cara ini bertujuan mengurangkan masalah pembelajaran yang dihadapi murid serta mengembangkan minat mereka terhadap pelajaran ke tingkat keperluan yang memuaskan. Langkah kedua ialah dengan mengadakan aktiviti pengayaan. Pengayaan merupakan sejenis aktiviti yang memberi peluang kepada murid mengembangkan sifat ingin tahu, semangat berdikari, daya cipta serta bakat kepimpinan. Aktiviti ini selalunya ditawarkan kepada murid selepas mereka berjaya menguasai satu-satu kemahiran asas tertentu. Pengayaan juga bersifat afektif, iaitu menyemaikan sifat berdikari dan minat belajar dalam aktiviti berkumpulan.

Seterusnya, dengan menggunakan kaedah Dalton. Kanak-kanak akan digerakkan dalam pembelajaran mereka dengan terlebih dahulu mengetahui apa yang patut dibuatnya. Dalam kaedah Dalton, guru menjadi pembimbing dan perujuk kepada kanak-kanak. Selain itu, guru juga perlu membina suasana pembelajaran positif dalam bilik darjah. Dalam kaedah ini guru akan menyimpan draf kemajuan harian murid. Langkah yang keempat yang boleh diambil ialah dengan membuat pengumpulan mengikut kebolehan antara kelas. Tujuan pengumpulan tersebut supaya setiap kelas mengandungi murid yang homogennya mengikut markah ujian pencapaian. Rasional mengumpulkan murid sedemikian adalah agar memperbaiki kecekapan dan keberkesanan guru kerana pengajaran guru akan selaras dengan ciri-ciri kebolehan murid. Langkah yang terakhir ialah menggunakan kaedah gerak balas. Kaedah ini melibatkan penglibatan aktif murid dalam suasana pembelajaran. Murid-murid tidak bersifat pasif atau menerima sahaja maklumat daripada pengajaran guru. Sebaliknya digalakkan merancang projek , menyusun dan membuat demonstrasi serta melaporkan hasilnya.


0 comments:

Post a Comment